15 Oktober 2021, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keistimewaan labu sayong yang sentiasa mengekalkan kesejukan air di dalamnya telah lama diketahui umum. Namun begitu, sedarkah kita ada satu lagi rahsia besar keunikan labu sayong yang telah berjaya ditemui?

Labu sayong yang diperbuat daripada tanah liat mempunyai satu keistimewaan berupaya menyerap kelembapan dengan tindakan kapilari. Walau bagaimanapun, titisan air kecil di permukaan labu sayong yang disebabkan oleh tindakan kapilari tidak dapat diperhatikan. Tindakan kapilari berlaku apabila air dituangkan ke dalam labu sayong. Apabila air penuh, penyejatan pun berlaku. Secara teorinya, dapat disimpulkann bahawa penyejukan air di dalam labu sayong berlaku disebabkan oleh dua proses, iaitu yang pertama, peningkatan air di permukaan labu sayong, dan yang kedua ialah penyejatan.

Dalam hal ini, sekiranya berlaku penyejatan air, suhu air akan lebih rendah daripada suhu udara. Hasil kajian menunjukkan bahawa air di dalam labu sayong lebih sejuk daripada suhu bilik. Perbezaan suhu antara air dan udara hanya bergantung pada jenis tanah liat, suhu udara, kelembapan, dan ketebalan dinding labu sayong. Perbezaan suhu tidak bergantung pada ukuran, bentuk, dan kuantiti air di dalam labu sayong. Berdasarkan teori ini, dapat disimpulkan bahawa labu sayong dapat menjadikan air di dalamnya sentiasa sejuk.

 

Kedudukan ECWS bersama-sama labu sayong ketika kajian dijalankan.

 

 

Yang menariknya, labu sayong bukan sekadar dapat menyejukkan air, tetapi sebenarnya mampu menurunkan suhu bilik supaya lebih nyaman. Hal ini terbukti melalui kajian yang telah dijalankan di Universiti Sains Malaysia. Sistem tetingkap penyejatan penyejukan, ataupun dikenali sebagai Evaporative Cooling Window System (ECWS), menggunakan labu sayong yang disatukan dengan pengudaraan mekanikal dan tenaga dengan menggunakan elektrik suria telah dicipta. Kajian rintis telah dilakukan di bangunan sebenar di bawah iklim tropika yang panas dan lembap. Meskipun memiliki jangka waktu yang terbatas, hasilnya tetap menunjukkan bahawa ada penurunan suhu.

Sebagai kesinambungan daripada kajian rintis, satu siri eksperimen dilakukan dengan menggunakan ECWS bersama-sama labu sayong yang diaktifkan menggunakan kipas pengekstrak tenaga suria yang diciptakan menggunakan bahagian yang berlainan. Kajian ini mengenal pasti keberkesanan ECWS dengan labu sayong dalam mengurangkan suhu dalaman. Sebagai hasilnya, ECWS bersama-sama lima unit labu sayong telah berjaya menurunkan suhu sebanyak -3.70ÂșC, hingga mencapai keberkesanan 53.7% ECWS. Sistem ini terbukti berkesan kerana keputusan yang diperoleh menunjukkan keberkesanan berada dalam julat yang dapat diterima, iaitu antara 50% dengan 75%.

Penemuan ini sememangnya memberi makna kepada penulis sebagai penyelidik. Diharapkan penemuan terbaharu keistimewaan labu sayong ini mampu membuka mata pelbagai pihak untuk lebih menitikberatkan elemen warisan Melayu dalam kehidupan harian. Sesungguhnya banyak lagi rahsia warisan Melayu yang perlu dicungkil dan diinovasikan. Semoga dengan perkongsian ini dapat menyuntik rasa cintakan khazanah warisan Melayu agar terus kekal sepanjang zaman.

***

Penulis merupakan pensyarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam Pengurusan Projek di Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.