Oleh Azizi Ahmad
20 Disember 2021, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahukah anda bahawa tauhu pernah dianggap sebagai makanan untuk hantu? Itulah satu legenda yang berkaitan dengan asal usulnya. Dicipta pada zaman Dinasti Han kira-kira 2000 tahun yang lalu, produk kacang soya ini dianggap sebagai makanan yang paling sesuai untuk orang yang sudah meninggal dunia kerana teksturnya yang lembut dan hantu dikatakan tidak mempunyai rahang yang kuat.

Jikalau melihat dari sudut sejarah, walaupun dianggap sebagai makanan yang hambar, tidak menarik, tawar, tidak rasa apa-apa oleh Barat, tauhu tetap merupakan satu daripada hidangan makanan yang menarik bagi penduduk negara kita. Jikalau disebut douhua, doufuhua, tow huay atau tau hua, mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya merupakan nama lain bagi sejenis makanan, iaitu taufu fa, yang semestinya sangat enak dan menyelerakan.

Hidangan ini dikatakan mula dihasilkan pada zaman Dinasti Wang Barat dan sejak itu resepinya diubah suai mengikut cita rasa masyarakat semasa. Di Malaysia, taufu fa kebiasaannya dinikmati dengan air gula yang manis, namun di China, ada yang menikmatinya bersama-sama minyak cili, kicap, lada, kacang atau nasi.

Taufu fah diperbuat daripada susu soya tawar. Juadah ini kaya dengan asid lemak asas, protein, vitamin dan mineral yang memberikan tenaga kepada tubuh badan. Bagi wanita, hidangan ini dapat mengurangkan gejala menopaus, risiko serangan jantung, diabetes dan obesiti. Malah, taufu fa juga dikatakan dapat meningkatkan penyerapan kalsium yang berupaya mencegah kehilangan jisim tulang yang menjadi penyebab kepada penyakit osteoporosis.

Dalam hal ini, bagaimanakah berlakunya lonjakan jelmaan tauhu dari timur laut China ke dunia Barat ? Terima kasih banyak kepada Li Yuying, atau dikenali dengan nama kehormatannya Li Shizeng, yang dihantar ke Perancis oleh pihak Dinasti Qing untuk mencuri rahsia ketenteraan pada awal tahun 1900-an.  Sebagai seorang perisik kerajaan pada masa itu, Li melakukan tindakan yang tidak sepatutnya.

Seperti yang berlaku dalam semua kisah pengintipan, beliau telah terpikat dan jatuh cinta terhadap “sesuatu”. Yang menariknya, beliau bukannya terpikat dengan seseorang, tetapi dengan negara Perancis dan kacang soya. Setelah berhenti daripada sekolah ketenteraan Perancis, Li kemudiannya belajar di Institut Pasteur di Paris, di mana dia melakukan penyelidikan mendalam mengenai semua hal kicap kedelai.

Kemudian, dia mengasaskan Usine de la Caséo-Sojaïne, atau Tofu Manufacturing Co.  di luar Paris. Syarikat ini menjadi pengeluar tauhu  pertama di Eropah. Dia juga menjadi seorang anarkis dan vegetarian yang menggunakan syarikatnya untuk menyediakan pekerjaan kepada pelajar dari China untuk membantu menampung pelajaran ketika mereka belajar di Paris.

Walau bagaimanapun, visi masa hadapan Li Yuying  untuk menjayakan sebuah kilang pengeluar kicap kedelai akhirnya tidak kesampaian kerana tidak  memahami diet masyarakat Perancis dan Tofu Manufacturing Co. ditutup setelah beberapa dekad.

Namun begitu, penyelidikan dan usahanya dalam memperkenalkan dunia kepada produk kacang soya menyumbang kepada status tauhu sekarang sebagai makanan utama antarabangsa. Makanan ini yang tidak hanya diraikan sebagai pengisi atau bahan perasa, tetapi sesuatu dengan rasa unik dan perisa sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.