Oleh Aisyah A.
16 April 2022, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis pelancaran lagu Suasana di Hari Raya Famili Kita telah diadakan pada 15 April 2022 bertempat di Wedding Studio Sdn. Bhd. bagi mengumumkan kepada peminat-peminat seni tanah air berkenaan dengan lagu tersebut berserta tayangan video muzik secara rasmi buat kali pertama.

Lagu tersebut yang merupakan nyanyian asal artis Anuar Zain dan Ellina yang diterbitkan oleh Oja, telah diberikan nafas baharu dengan gabungan pelbagai rentak yang bersesuaian dalam genre yang dibawakan oleh semua artis yang terlibat termasuk Adibah Noor, Shidee, Ani Mayuni, Azan Scan, Bandi Amuk dan ramai lagi.

Barisan artis yang menjayakan Suasana di Hari Raya Famili Kita.

Projek lagu raya tersebut merupakan satu hadiah tanda penghargaan kepada para peminat yang telah memberi sokongan tanpa henti kepada kerjaya anak seni tanah air.

Ramai antara mereka yang kehilangan sumber pendapatan dek penularan COVID-19 yang telah memberikan impak kepada ekonomi seluruh dunia. Namun begitu, para peminat tidak putus-putus menyokong dan menghulurkan bantuan dalam perniagaan mereka supaya mereka tidak terkesan berat dengan pandemik itu.

Shidee yang dianggap paling senior dalam kalangan artis yang menjayakan lagu Suasana di Hari Raya Famili Kita berkata, kesempatan itu akan menjadi sebuah memori yang indah dan akan dikenang sepanjang karier beliau kerana berpeluang untuk menyanyikan sebuah lagu raya kegemaran rakyat Malaysia bersama rakan-rakan artis yang terdiri dari pelbagai lapisan umur.

Idea untuk mengolah lagu ini telah dicetuskan oleh Ani Maiyuni dalam perbualan kosong bersama Azan Scan dan kini perkara tersebut menjadi kenyataan apabila sejumlah 16 orang artis bergabung untuk menyampaikan lagu ini. Selain artis tempatan, penyanyi dari negara jiran, Upiak Isil turut diajak untuk menjayakan projek lagu raya ini. Hasilnya, proses rakaman lagu dan video telah dibuat sepenuhnya oleh Upiak di Jakarta sebelum dihantar secara dalam talian ke Malaysia bagi proses suntingan dan master.

Lagu berdurasi empat minit yang disampaikan oleh gabungan artis yang menggelarkan diri mereka “Famili Kita” telah menjalani penggambaran di sebuah inap desa yang berkonsepkan ekopelancongan di 1858, Semungkis di Hulu Langat, Selangor. Berlatarbelakangkan suasana desa, video muzik ini mengisahkan kemeriahan sebuah keluarga yang membuat persiapan menyambut lebaran diselitkan dengan pelbagai aksi lucu yang bakal membuat Hari Raya Aidilfitri para penonton lebih ceria.

Berkongsi pengalaman ketika penggambaran video muzik dijalankan, Nico G. berkata, suasana hari tersebut seolah-olah hari raya sebenar kerana setelah lama mereka tidak bersua muka, akhirnya mereka berkumpul untuk menjayakan projek istimewa ini.

Artis lain yang terlibat dalam menjayakan projek ini ialah Aliff Aziz, Aweera, Saiful Apek, Yassin, Nikki Palikat dan Suki Low. Lagu ini telah mula diedarkan pada 8 April lalu sudah boleh dinikmati di semua medium muzik digital manakala video muzik boleh ditonton di platform YouTube di pautan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.