25 April 2022, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh – Memang kedatangan Hari Raya Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kesyukuran, serta bertakbir dan bertahmid. Walau bagaimanapun, sejak sekian lama, sambutan “hari kemenangan” umat Islam ini juga seperti tidak lengkap jika tiada dendangan lagu bersempena dengannya, atau lebih mudah disebut sebagai lagu raya.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, pelbagai jenis dan irama lagu raya diputarkan dari yang lama hingga terkini. Antara pihak kedua yang terlibat ialah penyanyi muda dan baharu, Achik (Ukays) yang berpeluang merakamkan semula lagu raya ciptaan komposer Salman Shariff, dan lirik ditulis oleh Khairul Anuar untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri 1443 Hijrah.

Menurut Salman, versi asal lagu ini gabungan rentak Melayu dan Arab, dan telah dirakamkan untuk Amir (UK’s) pada tahun 1995 yang berjudul, Bermaafan di Aidilfitri. Hingga kini, lagu tersebut kekal sebagai sebuah lagu terkenal yang sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun.

“Walau bagaimanapun, untuk versi terbaharu pada tahun 2022, muzik lagu ini digubah kepada rentak yang rancak, moden dan dirakamkan untuk Achik. Judulnya juga diubah sedikit menjadi Bermaafan di Hari Raya dengan tujuan agar lagu ini akan terus terkenal, serta boleh disiarkan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha setiap tahun,” jelas Salman.

Sebenarnya, Salman sendiri yang membuat perancangan awal untuk rakaman semula lagu raya ini, yang kemudian dibawa kepada tenaga produksi Luncai Emas Sdn. Bhd. untuk menerbitkannya. Oleh sebab lagu asalnya dendangan Amir, jadi lagu versi baharu ini ditawarkan kepada Achik.

Achik memang bergandingan dengan kumpulan Ukays untuk menggantikan penyanyi kumpulan tersebut menerusi lagu seperti Terseksa, I Love U I Miss U Raya dan Terpaksa Ku Lepaskan.

Achik (Ukays) mengharapkan Bermaafan di Hari Raya berjaya menyentuh hati para pendengar di seluruh Malaysia.

Mengenai tawaran kepadanya ini, Achik menganggap hal yang demikian agak baik untuk beliau terus menonjol dan kembali aktif. Hal ini dikatakan sedemikian kerana barangkali ada yang menyangka beliau tidak lagi aktif dalam industri muzik tanah air.

“Saya masih berada dalam industri muzik tanah air, dan giat membuat persembahan di seluruh Malaysia bersama-sama Ukays yang kekal dianggotai ahli asal, iaitu Ali, Well dan Tokjie,” jelas Achik yang juga masih giat di media sosial seperti Instagram: achikroslan1 dan TikTok: Achikroslanofficiall.

Mengulas lanjut mengenai tawaran tersebut, Achik memberitahu beliau hampir menitiskan air mata ketika rakaman suara di studio The Bengkel Artwork kerana lagu tersebut sebuah lagu yang ada kaitan dengan dirinya yang amat bermakna.

Sebelum ini, Achik pernah muncul dengan lagu tunggal sulung di bawah Luncai Emas, berjudul Hanya Doa, ciptaan Awang BPR dan I.Kay dengan nama pentas Achik Roslan.

Istimewanya, Bermaafan di Hari Raya turut diterbitkan dalam versi instrumental alunan duet gitar oleh SS dan seruling tiupan Mohar. SS juga bermain bass dan mengendalikan programming, sementara keyboard oleh Bell.

Selain lagu ini, Salman turut mencipta melodi, dan menerbitkan Cahaya Aidilfitri, nyanyian Ramlah Ram, Suasana Hari Raya (Zamani Slam), dan Rindu Syahdu di Hari Raya (Nurul).

Bermaafan di Hari Raya juga bakal menampilkan video liriknya di saluran YouTube Luncai Emas pada penghujung April/Ramadan ini, serta secara jualan digital di pelantar penstriman dan iTunes.

Tentulah Achik, Salman dan Luncai Emas mengharapkan Bermaafan di Hari Raya berjaya menyentuh hati para pendengar di seluruh Malaysia, dan menarik perhatian generasi baharu dalam kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam suasana kelaziman baharu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.