Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sultan Perak, Sultan Nazrin Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan melancarkan buku terbaharu tulisan Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja, Tan Sri Dato’ Seri DiRaja (Dr.) Haji Ramli Ngah Talib yang berjudul The Malays: Pathfinders and Trailblazers, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (IBM) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Sultan Nazrin melalui titah pelancaran buku tersebut berkata, “Buku ini dikarang oleh anak kelahiran Pasir Salak, di sebuah kampung yang sangat bersejarah. Dalam batang tubuhnya mengalir darah penyandang gelaran Datuk Sagor (Ngah Kamdin) yang dijatuhi hukuman mati akibat insiden pembunuhan J.W.W. Birch.”
Kini, pada tahun 2022, Ramli Ngah Talib pula tampil ke hadapan, menyanggah secara intelek dan ilmiah dalam usaha membasuh arang yang diconteng terhadap bangsa Melayu. Beliau menghalakan minda dan tenaga dengan menghasilkan tulisan untuk menyuntik harga diri dan semangat kebangsaan.
Titah baginda, “Buku seperti ini mengingatkan kita betapa pentingnya untuk belajar mengenai sejarah. Buku ini menghamparkan santapan minda tentang perkara yang dapat membantu Melayu melayari sejarahnya.”
Pada majlis tersebut, penulis, Ramli Ngah Talib berkata, “Tuanku Sultan Perak amat mengambil berat tentang buku The Malays: Pathfinders and Trailblazers. Baginda memiliki perpustakaan yang besar dan minat terhadap buku.”
Sepintas lalu, orang Melayu merupakan yang pertama menongkah arus angin dari hadapan. Kebolehan menentang angin orang Melayu adalah lebih pantas. Mereka berlayar merentas selat hingga ke Afrika − semuanya kerana perdagangan. Kemudian, orang Arab menemui orang Melayu yang menggunakan layar yang lebih efisien. Malah, teknik ini turut ditiru oleh orang Mediteranean sehinggakan orang Eropah turut meniru dan menggunakan layar tersebut untuk menakluk orang Melayu.
Pada hakikatnya, teknik pelayaran orang Melayu yang telah mencetuskan perdagangan antarabangsa. Pada abad ketiga, orang Melayu sudahpun mempunyai hubungan perdagangan dengan Timur Tengah, 100 tahun sebelum wujudnya Laluan Sutera.
Kata Ramli Ngah Talib, buku The Malays: Pathfinders and Trailblazers lebih fokus kepada Malaysia. Penulisan buku ini merupakan usaha beliau untuk mencungkil sejarah orang Melayu malah beliau berhasrat untuk melihat orang muda ingin tahu tentang sejarah bangsa.
Pengetahun tentang sejarah kegemilangan bangsa boleh melonjakkan keyakinan dan jati diri dan satu-satunya cara untuk mencapai kemajuan sama seperti kaum lain.