2 September 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Langkawi cukup kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan, seperti pantainya yang indah, kisah legenda yang menarik dan syurga membeli-belah. Selain pelancongan, pulau ini turut “dimeriahkan” dengan penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa, seperti Le Tour de Langkawi, LIMA Langkawi, IronMan Malaysia dan sebagainya.

Kini, “kemeriahan” Langkawi ini diteruskan pula dengan penganjuran aktiviti sastera dan kesenian yang dikenali sebagai Langkawi Writers’ Festival anjuran Morne Art Gallery dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, LADA, Balai Seni Negara Langkawi, dan FINAS. Festival yang diadakan di Auditorium Mahsuri ini melibatkan para penggiat seni dan sastera dari seluruh negara, termasuklah penulis, pelukis, pengarca, penyair, penyelidik dan sebagainya.

Langkawi Writers’ Festival yang julung-julung kali diadakan ini dirasmikan oleh Tuan Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA. Dalam ucapan perasmian, Tuan Nasaruddin mengharapkan agar Langkawi Writers’ Festival menjadi acara kesenian ilmiah yang utama dan dapat diadakan setiap tahun di Langkawi.

Tuan Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA merasmikan Langkawi Writers’ Festival.

“Selain ekopelancongan dan geopelancongan, Langkawi turut berhasrat untuk menjadi lokasi pelancongan seni dan budaya bertaraf antarabangsa. Bahkan, Langkawi mendapat anugerah sebagai Malaysia Pride Destination dan perlu memainkan tanggungjawab untuk mewakili Malaysia bersaing dengan lokasi pelancongan lain di seluruh dunia. Maka itu, festival seperti ini dapat menyemarakkan lagi aktiviti kesenian di Langkawi,” kata Tuan Nasaruddin sebelum merasmikan Langkawi Writers’ Festival.

Morne Hashim, pengasas dan pengarah Langkawi Writers’ Festival.

Menurut Morne Hashim, pengasas dan pengarah Langkawi Writers’ Festival, festival penulis seperti ini amat perlu untuk menjalin hubungan akrab antara penulis denga pembaca. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya menulis dan membaca belum “mesra” dengan masyarakat kita.

“Di Australia misalnya, bukti daripada budaya menulis dan membaca itu dapat dilihat melalui penganjuran festival penulis yang rutin diadakan dengan nama-nama yang hadir bukanlah calang-calang. Saya berangan untuk menganjurkan satu festival, dan Langkawi menjelma di fikiran. Hal ini disebabkan oleh Langkawi memiliki daya tarikan ekonomi kreatif. Saya percaya bahawa ekonomi kreatif akan menjadi ekonomi teras bangsa,” ujar Morne.

Festival yang berlangsung selama empat hari ini, iaitu pada 1 September hingga 4 September 2022, diwarnai dengan pelbagai acara dan aktiviti sastera dan kesenian berbentuk ilmiah. Antaranya termasuklah forum, bengkel penulisan, bicara karya, persembahan teater, tayangan filem, pelancaran buku dan pembacaan skrip. Yang menariknya, festival ini turut membawa para tetamu undangan berlayar dengan kapal persiaran sebagai acara penutup.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.