25 Oktober 2022, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menyambung legasi teater Asrama-Ra, Khairunazwan Rodzy tampil dengan naskhah terbarunya, Asrama-Ra: Dorm Putra (Act II). Naskhah idea asal dramatis itu adalah hasil kolaborasinya bersama-sama Asyraf Syahir Mohd Najib dan akan dipentaskan di PJ Live Arts Jaya One pada 26 hingga 30 Oktober ini. Menurut penerbit produksi, Taqim Zaki, menjayakan projek ini merupakan satu usaha yang melangkaui pentas teater kerana isu malar segar yang dibawakan sangat relevan dengan masyarakat dan memberi kesedaran kepada bukan sahaja golongan pelajar dan guru dalam institusi pendidikan, bahkan turut menerokai akal fikiran golongan muda remaja dan dewasa untuk direnungkan.

Antara barisan pelakon teater Asrama-Ra: Dorm Putra (Act II).

“Selain penjenamaan Asrama-Ra yang sudah mempunyai peminat tersendiri, projek kali ini akan lebih fokus kepada bagaimana isu buli yang tabu ini dapat disampaikan kepada khalayak supaya masyarakat peka untuk menyekat gejala ini daripada menjadi barah,” ujar Taqim Zaki.

Pementasan teater Asrama-Ra yang asal berlangsung hampir satu dekad yang lalu di Menara MARA, Kuala Lumpur. Sejak itu, teater Asrama-Ra menjadi sebuah naskhah sanjungan kontemporari dengan banyak pementasan telah diolah dan dipentaskan oleh dramawan-dramawan tempatan. Teater Asrama-Ra mendapat sanjungan penonton yang lebih luas apabila dipentaskan di pentas berprestij, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) dengan julukan pementasan Teater Asrama-Ra Allstar yang dibarisi pelakon terkemuka tanah air seperti Dira Abu Zahar, Siti Saleha, Nadiya Nissa, Fynn Jamal, Intan Nor Saina, Sharifah Amani, Sherry Al-Hadad dan Amerul Affendi.

“Jika dalam Asrama-Ra pertama, saya menggunakan gaya penyampaian mimpi dalam mimpi untuk menampilkan kelainan, namun pada kali ini saya akan bermain dalam minda wataknya untuk menyentuh isu buli,” kata Khairunazwan.

Isu buli juga adalah isu yang tabu, lebih-lebih lagi dalam konteks perkongsian kebenaran. Dalam pementasan teater ini, penonton diajak untuk melihat dengan lebih kritis tentang bagaimana gejala buli akan meninggalkan mudarat yang berpanjangan. Naskhah ini mengangkat peranan saksi yang melihat kejadian buli serta usaha untuk membuka mata penonton terhadap tindakan, reaksi dan kesan yang berlaku di sekeliling kejadian buli.

“Objektif karya ini adalah untuk menyentuh isu buli yang semakin berleluasa, bukan sahaja dalam kalangan para pelajar, bahkan turut berlaku di tempat kerja. Saya percaya dan yakin bahawa gejala buli turut berlaku dalam kepimpinan negara kita dan dunia politik,” ujar Khairunazwan.

“Memandangkan Asrama-Ra yang lepas mendapat sambutan yang agak tinggi, saya berasa takut untuk menulis naskhah sekuel ini. Namun saya melihat terdapat keperluan untuk menjadikan Asrama-Ra sebagai satu jenama serta penjenamaan yang mengangkat kisah-kisah dan isu-isu yang tabu dalam masyarakat kita untuk disampaikan kepada penonton,” kongsi Khairunazwan lagi.

Poster teater Asrama-Ra: Dorm Putra (Act II).

Khairunazwan juga mengakui bahawa beliau seperti “bertaruh” dengan mengubah gaya dan konsep cerita. Daripada konsep seakan-akan dalam mimpi bagi naskhah pertama, siri sekuel ini pula akan membawa penonton menjelajah ke dalam minda wataknya.

Teater ini dibarisi oleh artis-artis tanah air yang berpengalaman dalam dunia teater dan lakonan, iaitu Nam Ron, Fadhli Masoot, Fimie Don, Han Zalini, Ikhlas Jalil, Idham Maulana, Anwar Rusdini, Nesa Idrus dan Sri Idrina. Hampir kesemuanya pernah bekerjasama dengan Khairunazwan dan beliau meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada mereka kerana persembahan para pelakon tersebut sememangnya berimpak tinggi dalam mengangkat sesuatu naskhah karya. Menerusi naskhah Asrama-Ra: Dorm Putra (Act II) ini, keupayaan mereka dicabar dalam peringkat yang luar biasa.

Fadhli Masot sebagai watak utama, Ijan menyifatkan tanggungjawab yang dipikulnya semakin mencabar dan seram. “Cabaran yang tinggi buat saya apabila kembali ke dunia teater setelah sekian lama fokus pada lakonan drama televisyen. Kedua-duanya adalah ruang peran yang sangat berbeza. Selain itu, untuk menyampaikan cerita naskhah ini, watak Ijan perlu dijiwai dengan fokus dan teliti,” ujar Fadhli.

Han Zalini, pelakon dan dramawan tempatan yang mempunyai hubungan kolaborasi bersama Khairunazwan sebagai penggiat teater hampir satu dekad menyifatkan Khairunazwan sebagai pengarah yang berfikiran kritis dan berkebolehan dalam mengangkat kisah-kisah yang kontemporari. “Beliau sensitif dan cakna terhadap suara masyarakat dan akan bergerak dalam isu-isu terkini. Walaupun sesetengah isu itu dipandang kecil oleh sesetengah orang, namun naskhah karya ciptaan beliau akan bersuara dengan berani,” jelas Han Zalini.

Tiket pementasan teater ini boleh didapati di www.revolutionstage.com dengan tiga kategori harga yang berbeza. Orang ramai juga boleh menonton teater Asrama-RA All-Star (2014) secara dalam talian menerusi laman sesawang tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.