Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Inspirasi KL yang diadakan oleh DBP di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama ZRA Strim dan rakan kolaborasi yang lain seperti The Sunburst Store, Serba Serbi dan Luncai Emas merupakan satu inisiatif untuk menggalakkan generasi muda membudayakan ilmu dalam kehidupan mereka. Dalam sesi wawancara bersama-sama wartawan JendelaDBP, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa Inspirasi KL ialah program yang menggabungkan pelbagai keperluan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh generasi muda hari ini. Oleh itu, dalam konteks menggalakkan generasi muda membaca, kita tidak boleh menjual buku semata-mata tetapi perlu mencari nilai tambah untuk menggalakkan generasi muda mendekati buku.
Mengulas lanjut berkenaan dengan penganjuran program Inspirasi KL, YBrs. Dr. Hazami berkata,
Penganjuran program Inspirasi KL ini diharap dapat menarik minat masyarakat untuk mendekati bahan bacaan khususnya terbitan DBP. Menariknya tentang program ini, selain mendapatkan bahan bacaan, pengunjung juga dapat mencari barang lain seperti baju atau makanan yang turut dijual di sini. Pastinya program seperti ini dapat menjana ekonomi masyarakat tempatan, di samping meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat yang mempunyai minat yang pelbagai. Oleh sebab itu, DBP perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak luar dalam penganjuran aktiviti seperti ini lagi pada masa-masa akan datang.
Tambah beliau lagi, dalam konteks galakan membaca, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memilih bahan bacaan anak-anak. Selain itu, penerbit juga harus menyediakan bahan bacaan yang baik agar dapat memenuhi permintaan daripada pembaca. Dalam usaha ini, mana-mana penerbit harus beringat tentang kawalan terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan kandungan terbitannya agar mematuhi garis undang-undang negara. Selain itu, untuk menyebarluaskan bahan bacaan, penerbit perlu mengikuti trend perkembangan teknologi agar setiap karya yang diterbitkan sampai kepada pembaca.
Program Inspirasi KL yang diadakan bermula dari 24 hingga 26 Februari 2023 ini terbahagi kepada tiga segmen, iaitu fesyen, muzik dan perbukuan yang mungkin mencetuskan gerakan budaya yang progresif dan penuh inspirasi. Segmen fesyen menyaksikan kolaborasi antara Sunburst Store, kedai Serba Serbi dan DBP. Pasar karat pula disertai oleh peniaga yang mempamerkan fesyen dan gaya hidup. Antara pengisian program itu termasuklah Pasar Karat “Serba Sunburst”, komuniti buku bersama-sama ZRA Strim, persembahan muzik “Temasya Anak Muda” oleh Luncai Emas, pameran pakaian vintaj Vivienne Westwood, perhimpunan penggemar denim, inspirasi lokal, pameran motosikal klasik, dan trak makanan dan kopi.
Persembahan muzik yang dianjurkan oleh Luncai Emas bertemakan “Tamasya Anak Muda” bakal menampilkan kumpulan muzik daripada pelbagai genre muzik yang mencetuskan inspirasi bagi pendengar. Segmen komuniti buku dan perbukuan pula dianjurkan oleh ZRA STRIM yang mengundang penerbit buku untuk bersama-sama memeriahkan acara ini. Aktiviti INSPIRASI LOKAL pula menghimpunkan jenama lokal dari seluruh Malaysia. Program ini juga dimeriahkan dengan pameran pakaian vintaj oleh pereka fesyen legenda, iaitu Vivienne Westwood yang menggerakkan perubahan fesyen dunia dan merupakan aktivis alam sekitar yang banyak menyumbang kepada kelestarian alam.
Menerusi program tersebut, pempamer buku dari Negeri Sembilan, Nazlan Sulaiman turut meluahkan rasa seronok kerana berpeluang menyertai Inspirasi KL. Menurutnya, beliau amat tertarik dengan konsep penganjuran program ini kerana menghimpunkan banyak barang seperti buku, baju, muzik dan makanan. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah bilangan pembaca dalam kalangan generasi muda kerana apabila mereka berkunjung ke sini, mereka akan dapat melihat pelbagai genre buku yang dipamerkan. Namun demikian, dalam usaha untuk meningkatkan bilangan pembaca buku, penerbit buku haruslah membanyakkan terbitan buku yang menyelitkan nilai serta mesej yang boleh diadaptasi oleh pembaca dalam kehidupan mereka.
Pandangan Nazlan turut disokong oleh Ahmad Khushairi, pengunjung dari Melaka. Bagi Khushairi, aktiviti perbukuan ini sangat sesuai digabungkan dengan pameran lain seperti yang dianjurkan dalam program Inspirasi KL ini. Hal ini disebabkan kelompok peminat buku ini sangat kecil. Gabungan dengan kelompok lain membolehkan kelompok buku lebih berkembang.