Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJohor Bahru – Badan Keluarga (BAKWIS) Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) menyantuni anak-anak yatim Pusat Jagaan Kasih Setanggi dengan menganjurkan Program Ihya Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa pada 10 April 2023, bertempat di Pusat Jagaan Kasih Setanggi, Johor Bahru, Johor.
Pengerusi BAKWIS, Muhammad Izwan Mohamad Don berkata, program ini julung-julung kali dianjurkan oleh BAKWIS yang bertujuan untuk meraikan golongan yang kurang bernasib baik. BAKWIS turut mengambil peluang melaksanakan aktiviti “Mudahnya Belajar Jawi” dan “Pertandingan Mewarna” bersama-sama anak-anak Pusat Jagaan Kasih Setanggi dengan kerjasama Unit Penerbitan DBPWS.
“Selain itu, BAKWIS turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan sumbangan duit raya bagi menceriakan anak-anak di pusat jagaan tersebut,” jelas Muhammad Izwan lagi.
Di samping itu, Pengarah DBPWS, Encik Mohd. Riduwan Wahab turut hadir menyampaikan sumbangan kepada Pengetua Pusat Jagaan Kasih Setanggi, Puan Juhaida Maskom.
“Saya berharap agar BAKWIS akan meneruskan program seumpama ini lagi pada tahun depan. Sungguhpun sumbangan kami kecil, namun diharapkan dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan. Selain berbuka puasa, staf DBPWS turut meluangkan masa beramah mesra bersama dengan anak-anak Pusat Jagaan Kasih Setanggi.
“Selain mengeratkan silaturahim antara staf DBPWS dengan pihak komuniti setempat, program ini dapat menerapkan rasa simpati, menumbuhkan rasa kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, terutamanya anak-anak yatim yang sangat dahagakan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Semoga dengan kehadiran staf DBPWS dapat memberikan dan menambah keceriaan kepada anak-anak Pusat Jagaan Kasih Setanggi,” kata Pengarah DBPWS lagi.
Pusat Jagaan Kasih Setanggi didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2019 oleh pengasasnya, Puan Juhaida Maskom. Pusat Jagaan Kasih Setanggi mempunyai 37 orang kanak-kanak berumur empat sehingga enam tahun dan dibantu oleh tujuh orang pengasuh. Kepada sesiapa yang berminat untuk memberikan sumbangan boleh menghubungi Puan Juhaida pada talian 018-768 2779.