17 April 2023, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan semua pejabat daerah di negeri tersebut sekali lagi menganjurkan Program Pelita Raya Terengganu 2023 (PeliTer @KBT) pada malam tujuh likur di Kampung Budaya Terengganu (KBT) pada tahun ini.

YB Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu bersiaran dalam rancangan Manis Manis Pagi menerusi saluran radio Manisfm.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Yang Berhormat (YB) Ariffin Deraman berkata, program ini bertujuan untuk menghidupkan suasana malam tujuh likur sebagaimana masyarakat pada zaman dahulu menyambutnya.

Tambah beliau lagi, program ini berlangsung selama lima hari bermula dari 14 hingga 18 April 2023, jam 9.00 malam hingga 11.30 malam dengan bertemakan “Comeynya Peliter”. Program ini mengetengahkan konsep “1 Pejabat Daerah, 1 Rumah Tradisi” dengan setiap peserta membabitkan lapan daerah perlu menghiaskan rumah-rumah tradisi dan check point yang terdapat di KBT.

“Pejabat Daerah Dungun perlu menghias Rumah Bujang Serambi Selasar, Pejabat Daerah Hulu Terengganu pula diberi tugas mencantikkan Perahu Besar dan Galeri Pelayaran, Pejabat Daerah Kemaman (Istana Tengku Long), Pejabat Daerah Besut (Rumah Nelayan), Pejabat Daerah Kuala Terengganu (Rumah Bujang Berkembar), Pejabat Daerah Marang (Rumah Limas Belanda), Pejabat Daerah Kuala Nerus (Laman Warisan) dan Pejabat Daerah Setiu pula akan menghias Rumah Tele,” jelas YB) Ariffin Deraman ketika bersiaran dalam rancangan Manis Manis Pagi menerusi saluran radio Manisfm.

Menurut YB Ariffin Deraman, hasil rekaan replika dan dekorasi oleh para peserta perlu menggunakan barangan terpakai dan disyaratkan menggunakan lebih daripada 150 pelita sumbu.

YB Ariffin Deraman turut berkata, para pengunjung yang hadir ke program ini juga boleh melihat dan menikmati pelbagai aktiviti sampingan yang dirangka oleh pihak JPNT seperti demonstrasi dan jualan produk kering Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta turut dapat merasai pengalaman moreh tradisional negeri Terengganu selain melihat sendiri dan bergambar dengan pelbagai replika dan keunikan dekorasi pelita yang dipamerkan oleh para peserta yang melibatkan lapan pejabat daerah di negeri Terengganu.

“Harga bayaran masuk untuk orang dewasa hanya RM1 dan percuma bagi golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak yang berusia bawah 6 tahun,” ujar YB Ariffin Deraman.

Beliau turut berharap agar program ini dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri dan mampu memelihara adat dan budaya masyarakat Melayu dahulukala sekali gus mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan yang menawarkan pelbagai pakej dan produk pelancongan yang berasaskan seni budaya dan warisan.

Program pada kali ini bukan sahaja menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM14 000 kepada pejabat daerah, bahkan kepada para pengunjung yang hadir menerusi Pertandingan Fotografi, videografi dan Tik Tok PELITER@KBT 2023 yang terbuka kepada semua pengunjung bermula pada 14 hingga 18 April 2023 dalam usaha untuk menarik lebih banyak pengunjung untuk hadir ke program tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.