18 Mei 2023, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kaum Melanau adalah antara pelbagai etnik yang terdapat di bumi Sarawak. Mereka ialah penduduk peribumi Sarawak dan termasuk dalam rumpun Austronesia. Masyarakat Melanau kebanyakannya menetap di persisiran pantai, seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Roban, Kabong, Matu-Daro, Pulau Bruit, Mukah, Gua Niah, Taman Negara Mulu, Dalat, dan Bintulu, serta terdapat juga di kawasan bandar besar, seperti Kuching, Sibu dan Miri.

Kebanyakan masyarakat Melanau menetap berhampiran dengan pesisir pantai.

Pada setengah abad yang lalu, daerah Bintulu yang menjadi penempatan kaum Melanau merupakan tanah jagaan bagi kerajaan kesultanan Brunei. Oleh sebab Bintulu merupakan tanah jagaan Sultan Brunei, baginda sering kali datang berkunjung bagi memantau keadaan penduduknya. Dikhabarkan, sedang perahu kerajaan Brunei berlayar menuju ke Kuala Bintulu, baginda ternampak sekumpulan penduduk sedang mendayung perahu menuju ke destinasi yang sama. Maka baginda pun bertanya kepada seorang nahkoda kapalnya “Perahu siapakah yang berada banyak di hadapan kita?” Nahkoda itu pun menjawab “Itu perahu orang memanau, baginda sultan.” Hari demi hari perkataan “memanau” bertukar menjadi Melanau.

Pakaian tradisi perkahwinan masyarakat Melanau.

Masyarakat Melanau amat mementingkan aspek pangkat dalam adat perkahwinan mereka. Status sosial sangat dititikberatkan bagi menjaga maruah dan keturunan mereka. Pasangan pengantin mestilah membawa barangan serta hadiah sebagai tanda tunang dan mas kahwin yang termasuk dalam status sosial perkahwinan kaum Melanau.

Pasangan yang mempunyai status sosial yang sama akan digelar “sama gara” oleh masyarakat Melanau, manakala jika pasangan perempuan dan lelaki itu tidak mempunyai status sosial yang sama digelar “sida adat”.

Bagi adat merisik masyarakat Melanau, keluarga pihak lelaki akan mengunjungi rumah keluarga perempuan bagi mengetahui status sosial keluarga perempuan. Keluarga pihak lelaki juga akan bertanya jika gadis itu sudah berpunya atau belum, dan sekiranya belum pihak lelaki akan meminang dan berbincang tentang mas kahwin.

Majlis persandingan pengantin masyarakat Melanau.

Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju, maka adat pertunangan akan dilaksanakan. Pihak lelaki akan mengumpulkan beberapa orang lelaki dan perempuan daripada anggota ahli keluarganya yang sudah berusia. Mereka ditugaskan bagi mengangkat dulang hantaran peminangan yang berupa sebentuk cincin, sebilah senjata, segantang padi, sebiji kelapa dan beberapa barangan tembaga. Barang-barang hantaran ini diserahkan kepada pihak keluarga perempuan sebagai tanda pertunangan.

Sebelum berlangsungnya pertunangan, kedua-dua pihak keluarga membentuk beberapa persetujuan dan jika salah satu pasangan melanggar persetujuan tersebut maka pertunangan tersebut akan terputus. Sementara itu, jika pihak perempuan memutuskan tali pertunangan tersebut, maka segala barangan hantaran mestilah dipulangkan semula kepada pihak lelaki. Sekiranya pihak lelaki pula yang memutuskan tali pertunangan, maka pihak perempuan tidak perlu memulangkan kembali barangan hantaran.

Segala persiapan perkahwinan mestilah diuruskan sebelum tarikh perkahwinan berlangsung. Hal ini kerana bakal pengantin lelaki mestilah menyerahkan hadiah mas kahwin, iaitu “penyekab” dan “berian” serta hadiah lain, seperti “adat menuga”, “adat mebin” dan “pakan” kepada bakal pengantin perempuan sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Kenduri perkahwinan pula harus diadakan di rumah kedua-dua pihak pengantin perempuan dan lelaki serta dihadiri oleh sanak-saudara, jiran dan sahabat dari kedua-dua belah pihak. Pada sebelah malamnya pula, upacara makan nasi temuan diadakan dan pasangan pengantin menjamah jamuan. Pengantin perempuan juga akan menyuap pengantin lelaki semasa menjamah nasi temuan.

Sebelum kedatangan kesultanan Brunei di penempatan masyarakat Melanau, kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pegangan agama dan tidak percaya akan kewujudan tuhan. Namun begitu, selepas penjajahan keluarga Brooke di Sarawak dan pemerintahan kesultanan Brunei, banyak masyarakat Melanau mula beralih kepada agama Islam dan Kristian. Sebelum masyarakat Melanau memeluk agama Islam dan Kristian, mereka mempunyai kepercayaan terhadap kuasa ghaib serta percaya dunia mempunyai tiga lapisan yang mengandungi unsur baik dan jahat. Masyarakat Melanau dinasihatkan supaya tidak mengganggu lapisan-lapisan ghaib ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan mereka dan akan mendapat bala. Bukan itu sahaja, mereka turut percaya individu yang mengganggu lapisan ghaib ini akan mendapat penyakit.

Masyarakat Melanau juga percaya wujudnya makhluk-makhluk halus yang digelarkan sebagai ipok, amow, tow dan during. Sekiranya masyarakat Melanau diganggu oleh makhluk halus ini maka khidmat dukun atau bomoh akan digunakan bagi mengusir keberadaan makhluk halus tersebut. Namun demikian, kepercayaan kuno ini semakin dilupakan semenjak masyarakat Melanau mula memeluk agama Islam dan Kristian.

Pesta Kaul yang diadakan di Mukah Sarawak

Masyarakat Melanau menyambut perayaan Pesta Melanau atau lebih dikenali sebagai Kaul Melanau. Perayaan ini disambut bagi merayakan semangat laut, tanah, hutan dan kebun bagi kaum Melanau. Perayaan ini merupakan perayaan yang disambut oleh nenek moyang mereka. Perayaan ini disambut secara besar-besaran di persisiran pantai Sarawak. ‘Tibou’ iaitu buaian setinggi 20 kaki akan dibina. Sebanyak tujuh atau lapan orang pemuda Melanau akan bergayut di tali buaian gergasi ini. Pesta Kaul ini akan diserikan lagi dengan bot-bot berhias yang berwarna-warni di persisiran pantai Sarawak.

Sukan pantai turut akan diadakan serta dimeriahkan lagi dengan gerai-gerai makanan tradisional kaum Melanau. Setelah matahari terbenam, pesta Kaul akan diteruskan di dalam rumah masyarakat kaum Melanau. Mereka akan mengunjungi rumah sanak-saudara dan setiap rumah akan menghidangkan sagu yang merupakan juadah istimewa setiap kali perayaan Kaul disambut. Orang Melanau juga terkenal dengan gelaran penebang sagu yang mahir. Perusahaan sagu selalunya dimiliki oleh kaum Melanau di Sarawak.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.