Oleh Lutfi Zahid
1 Jun 2023, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis pelancaran buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada petang ini. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu memaparkan perbandingan kesantunan bahasa etnik utama di Malaysia, iaitu Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazandusun.

Buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia.

YBhg. Dato’ Indera Noridah dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa usaha penerbitan buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia “bagaikan pucuk dicita ulam mendatang” bagi beliau kerana pihak Kementerian Perpaduan Negara sedang meneroka  ruang yang pelbagai untuk mempromosikan dan mengukuhkan semangat perpaduan di seluruh negara.

“Apabila bercerita tentang etnik-etnik, pastinya akan terbayang perpaduan di fikiran kita. Kepelbagaian etnik ini merupakan kekuatan dan aset bagi negara. Pihak kementerian sememangnya berusaha untuk mendapatkan hasil kajian dan penulisan berkenaan dengan etnik, termasuklah bahasa. Oleh sebab itu, penerbitan buku ini merupakan permulaan bagi pihak Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP untuk bersama-sama meneroka etnik yang lain,” kata YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim.

YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara menyampaikan ucapan perasmian buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia.

Tambah beliau, Kementerian Perpaduan Negara berpegang kepada tiga prinsip, iaitu “Faham, Hormat dan Terima” dalam usaha mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Melalui prinsip ini, masyarakat dapat memahami dan menghormati perbezaan sesuatu kaum, seterusnya menerima kepelbagaian adat, budaya dan bahasa dengan hati terbuka.

Buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia berteraskan penyelidikan dalam usaha memperkukuh perpaduan pelbagai etnik warganegara Malaysia. Buku ini menghimpunkan penulisan tujuh penulis, iaitu YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, Dr. Ng Chwee Fang, Profesor Madya Dr. Chemaline Osup, Dr. Rosalyn Gelunu, Prakashdas K Ramadas, Liang Yan dan Mohammad Jazuli Madenan.

YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, ketua penyelidik dan editor buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia.

Selaku ketua penyelidik dan editor buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia, YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa daripada kajian yang dilakukan, terdapat banyak persamaan unsur kesantunan bahasa yang ditemukan bagi setiap etnik, iaitu aspek sistem panggilan dan kata sapaan sehari-hari, yang menunjukkan adab dan budi sopan masyarakat Malaysia.

“Persamaan kesantunan bahasa ini perlu dijadikan landasan perpaduan, dan lebih baik kita mencari persamaan berbanding dengan perbezaan supaya perpaduan kebangsaan dapat dicapai dengan sebaik-baiknya,” kata YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan.

YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara melancarkan buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia.

Turut hadir majlis pelancaran ini antaranya termasuklah Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, dan Tengku Fauziah Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa DBP.

Foto: Khairul Azhar Baharuddin, DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.