Oleh Lutfi Zahid
4 Jun 2023, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan pameran “Japan Traditional Dolls” di Ruang International Corner, Galeri 1001, Aras 2, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Kampus Alam UniMAP Pauh Putra yang bermula dari 2 hingga 30 Jun 2023 ini. Pameran ini dianjurkan oleh Bahagian Galeri dan Muzium, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP dengan kerjasama Pejabat Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Pro Canselor, berkenan mencemar duli menyaksikan pameran tersebut ketika berangkat merasmikan Hub Komuniti @ Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Ir Ts Zaliman Sauli dan wakil daripada Pejabat Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Liew Bee Lan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Pemangku Raja Perlis, merangkap Canselor UniMAP, dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis, berkenan mencemar duli menyaksikan pameran “Japan Traditional Dolls”.

Pameran yang dibuka kepada semua pengunjung di UniMAP bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini bertujuan untuk memperkenalkan nilai seni serta budaya Jepun, dan pada masa yang sama meraikan kepelbagaian seni tradisional negara tersebut. Antara bahan yang dipamerkan termasuklah Kyugetsu, Hakata dan Kokeshi. Turut dipersembahkan adalah replika makanan tradisional utama Jepun, seperti Sushi, Tempura, Bento, Soba, Oden, dan juga hidangan mewah seperti Cendawan Matsutake.

Hagoita, ataupun Raket Hanetsuki, yang merupakan permainan tradisional Jepun juga menjadi satu daripada perhatian utama para pengunjung sewaktu pameran ini berlangsung.

Tuanku Pemangku Raja menitahkan bahawa dalam konteks global, perpustakaan seluruh dunia memfokuskan kepada inisiatif pemerkasaan peranan perpustakaan kepada komuniti dan pemegang taruh yang lebih luas. Inisiatif perpustakaan sebagai hub komuniti tidak terbatas kepada perpustakaan awam sahaja, selain memperkasa peranan sebagai hub komuniti sesuai dengan sumber kepakaran, bidang pengajian, kecanggihan teknologi dan perkhidmatan ditawarkan. Tuanku Syed Faizuddin Putra turut memetik kata-kata R. David Lankes, “Bad libraries build collections, good libraries build services, great libraries build communities”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.