21 Jun 2023, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? yang berlangsung selama dua hari bermula 19 hingga 20 Jun 2023 yang lalu di Melaka International Trade Centre  (MITC)  telah meluluskan tiga resolusi untuk di bawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? yang juga Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, resolusi pertama yang dipersetujui ialah menerima kewujudan sebuah Kapal Agung Kesultanan Melaka dan akan diselaraskan melalui Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) untuk sepersetujuan serantau.

“Resolusi kedua ialah penyediaan dana atau geran penyelidikan yang dibiayai bersama oleh Kerajaan Pesekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta bagi tujuan Research and Development serta pembangunan blueprint Kapal Agung Kesultanan Melaka.

“Seminar juga turut bersetuju membangunkan replika Kapal Agung Kesultanan Melaka sebagai lambang ketamadunan dunia maritim negara dan serantau,” katanya di majlis penutup seminar itu, semalam.

Mohd Razaimi Hamat, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, menyerahkan Resolusi Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? kepada Datuk Akramuddin Ab Aziz, Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka.

Teks resolusi itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Razaimi Hamat yang kemudiannnya diserahkan kepada Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Ab Aziz.

Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? anjuran Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama PERZIM itu dihadiri lebih 400 peserta dan dirasmikan oleh TYT Melaka, Tun Seri Setia  (Dr.) Haji Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan menjelaskan Kerajaan Negeri bercadang membina semula replika kapal Mendam Berahi pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Katanya, kapal yang dipercayai wujud pada zaman Laksamana Hang Tuah itu merupakan antara kehebatan bangsa Melayu dan wajar menjadi tatapan generasi masa ini.

“Antara lokasi utama yang dicadangkan bagi pembinaan replika ini adalah bersebelahan Muzium Kapal Selam di Klebang,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.