1 Oktober 2023, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pada 23 September dan 24 September 2023 telah berlangsung pementasan teater Gila karya Fairul Pujangga, adaptasi dan arahan Aninda Nurtedja Ian Andika. Pertubuhan Kesenian Sanggar Pujangga dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis berjaya menambat hati penonton yang datang menonton pementasannya. Pementasan di Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis berjalan dengan lancar atas sokongan banyak pihak.

Antara pelakon dalam teater Gila ialah Azam Muhamad (Che Mat), Arjuna Aiman, Sani Brosan, Tuah Iskandar, Tun Anggerik dan S.Syazan. Lebih menarik lagi, pementasan kali ini menggabungkan elemen tarian dan muzik dalam pementasan bagi membawakan nafas baharu kepada penonton. Barisan penari (artis budaya) JKKN Perlis ialah Mohd Haniff, Tharumaraj a/l Allagan, Wan Mohd Saffuan, Muhammad Kamarulzaman, Ani Nazliana, Nor Haryati, Nor Jalina, Anis Natasya dan koreografer tari Mohd Nazri. Barisan pemuzik pula ialah Azarizal, Mohamad Irfan, Amin Hafuza, Noor Kamalrulzaman dan Mohammad Nor Afham.

Kehadiran penonton amat memberangsangkan setelah lama teater di Perlis kurang mendapat sambutan. Melihat sokongan padu rakyat Perlis dan kehadiran daripada penonton luar memberi impak yang positif kepada kebangkitan teater di Perlis untuk terus berkembang keluar dari zon selesa.

Kerinduan terhadap teater dapat mengubat jiwa masyarakat apabila teater Gila karya Fairul Pujangga membawa mesej tersirat iaitu jangan mudah menghukum manusia tanpa usul periksa. Sanggar Pujangga mementaskan naskhah ini kerana mempunyai mesej yang kuat terhadap kehidupan manusia yang memberikan kesedaran kepada masyarakat agar cakna dengan perkara di sekeliling mereka.

Menurut pengarah teater produksi Sanggar Pujangga, harapan beliau supaya teater di Perlis dapat disemarakkan semula. Justeru, beliau berharap usaha murni ini akan dapat memupuk semangat kecintaan masyarakat pada teater. Matlamat utama teater yang dipentaskan ini dapat memanusiakan manusia sebagai wadah mendidik atau mengkritik masyarakat.

Teater Gila mengisahkan perihal ahli Persatuan Orang Gempak yang dianggap gila oleh masyarakat. Namun, bagi ahli Persatuan Orang Gempak masyarakat di luar sanalah yang gila kerana tidak memahami mereka. Setiap ahli Orang Gempak mempunyai kisah tersendiri punca mereka memilih untuk mengasingkan diri. Karya Gila cuba merungkaikan kebenaran dan punca di sebalik istilah gila yang dilabelkan oleh masyarakat.

Pementasan selama dua hari ini menjadi permulaan kepada produksi Sanggar Pujangga untuk lebih berani mengangkat karya tempatan serta bebas berkarya menggunakan kreativiti yang tidak terbatas. Usaha ini juga bagi menarik minat orang muda untuk terlibat menonjolkan bakat mereka dalam bidang lakonan teater.

Sempena program Colour of Malaysia, Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya (MOTAC) berhasrat menjadikan Kompleks JKKN sebagai Hub Budaya di peringkat negeri. Hal ini membuka peluang kepada pengkarya teater supaya lebih aktif. Semoga pada masa akan datang lebih banyak pihak akan bekerjasama bagi menjayakan pementasan teater agar Perlis tidak ketinggalan berbanding dengan negeri lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.