16 Oktober 2023, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manjung – Murid berkeperluan khas wajar mendapat peluang yang sama rata dalam pelbagai bidang dan kerjaya agar mereka tidak terus dipinggirkan serta mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Selaras dengan matlamat tersebut, Pulih Art Studio yang merupakan rakan pelaksana Projek Pelancongan Lestari oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP – Malaysia, Singapura dan Brunei) yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menganjurkan kelas seni visual yang bertemakan Memperkasa Inklusiviti Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam Ekopelancongan melalui Seni Visual.

“Terdapat tiga komponen kelas seni visual ini iaitu seni lukis, seni kolaj dan seni diorama. Penganjuran ini sangat bermakna bagi saya kerana murid berkeperluan khas mempunyai banyak potensi diri, namun mereka kurang diberi peluang dan ruang untuk mempamerkan bakat masing-masing.

Pengasas Pulih Art Studio , Salwana Sawi mahu masyarakat menyokong usaha memperkasakan murid berkeperluan khas dalam eko pelancongan.

Projek yang julung kali diadakan di daerah Manjung ini berlangsung dari September 2023 hingga Mei 2024, melibatkan 100 orang murid dari 10 buah sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Daerah Manjung yang meliputi 10 siri lawatan sambil belajar dan 10 siri kelas seni visual.

Kelas seni visual tersebut mendapat kerjasama Laman Karya Lumut (LAKAR), disokong oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan PORT Ipoh di bawah Dana Kreatif Perak@PORT 2022,” jelas pengasas Pulih Art Studio yang juga ketua projek, Salwana Sawi.

Tambah Salwana lagi, pelaksanaan projek adalah untuk membantu menangani kesan pandemik COVID-19 terhadap sektor pelancongan domestik dengan membina semula daya tahan sosioekonomi komuniti destinasi dan perniagaan kecil dan sederhana, meningkatkan kesedaran tentang kemampanan, kelestarian alam sekitar dan meningkatkan perpaduan dalam kalangan pihak berkepentingan (pihak berkuasa persekutuan, negeri, tempatan, NGO dan komuniti).

Selain itu usaha tersebut juga dapat membangunkan produk dan perkhidmatan ekopelancongan perintis untuk replikasi selanjutnya di kawasan lain.

“Projek yang bersifat serampang dua mata ini menggabungkan elemen ekopelancongan dan seni visual dengan dua sasaran utama iaitu lawatan sambil belajar di tiga buah lokasi ekopelancongan dan tiga kategori seni visual.

Penganjuran ini mendapat kelulusan dan kebenaran oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan pegawai Pendidikan Khas Daerah Manjung, Norazmila Ali turut hadir dalam program ini.

Muhammad Zafran Razali pelajar berkeperluan khas dari PPKI Sekolah Kebangsaan Seri Bayu menunjukkan hasil karyanya.

Siri pertama berlangsung pada 14 September lalu melibatkan 10 orang murid berkeperluan khas, dua orang guru dan seorang pembantu murid PPKI dari Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Manjung.  Murid terpilih menyertai program tersebut berumur antara enam tahun hingga 12 tahun dalam kategori autisme (lima orang), slow learner (dua orang), diskleksia (seorang), kurang upaya intelektual (seorang) dan masalah pendengaran (seorang),” terang Salwana.

Bagi sesi ekopelancongan, peserta dibawa melawat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari. Mereka didedahkan tentang jenis-jenis penyu, aktiviti-aktiviti konservasi, kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan penyu yang dijalankan di pusat tersebut.

Usai sesi lawatan tersebut, para peserta dibawa ke Pulih Art Studio bagi menjayakan kelas seni akrilik. Dalam kelas ini, pemilik Pulih Art Studio dan juga ketua projek, Salwana mengajar peserta teknik memilih dan memegang berus lukisan dengan betul, mewarna dan teknik melukis penyu dengan mudah.

“Dalam kelas ini, murid berkeperluan khas diajar untuk memegang berus lukisan dengan betul agar mereka dapat menguatkan otot-otot jari masing-masing. Bagi kelas seni kolaj pokok bakau pula, para peserta dilatih untuk menggunting dan menampal kertas. Aktiviti seperti ini dapat mengasah kemahiran motor halus (fine motor skills) mereka.

Dalam sesi itu, peserta dibantu oleh enam orang pembantu dari Pulih Art Studio. Selesai kelas, kami memilih tiga buah lukisan terbaik dari 10 buah lukisan yang dihasilkan oleh peserta , mereka menerima hadiah yang kami sediakan,” jelas Salwana lagi.

 Untuk rekod, tiga sasaran lokasi ekopelancongan di daerah Manjung yang terlibat dalam program tersebut ialah Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (Segari), Taman Paya Bakau Bandar (Lumut) dan Bukit Tiga Ratus (Teluk Batik).

Siti Aina Alisha Muhammad Izzuan pelajar berkeperluan khas masalah pendengaran dari PPKI Sekolah Kebangsaan Seri Bayu teruja menunjukkan hasil karyanya.

Manakala untuk tiga kategori kelas seni visual pula ialah seni akrilik (melukis penyu menggunakan akrilik di atas kanvas), seni kolaj (membuat kolaj pokok bakau) dan seni diorama (membuat diorama Bukit Tiga Ratus, Teluk Batik).

Fokus utama projek ini bukan saja mengangkat seni visual dan ekopelancongan sebagai terapi kepada murid berkeperluan khas tetapi turut menjadi titik permulaan dalam menjadikan daerah Manjung sebagai Pusat Kesihatan Pelancongan.

Setiap projek dimulakan dengan sesi lawatan sambil belajar ke lokasi ekopelancongan. Para pelajar bukan saja dapat meningkatkan pengetahuan tentang alam sekitar dan ekopelancongan tetapi dalam masa yang sama dapat menambah baik sensori murid berkeperluan khas khususnya sensori keseimbangan mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.