20 Oktober 2023, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Kumpulan penyelidik Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, mengambil inisiatif menjalankan projek pemindahan ilmu kepada komuniti yang memfokuskan kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chabang Empat yang berlangsung pada 24 Ogos 2023 secara berperingkat.

Murid Sekolah Kebangsaan Chabang Empat menunjukkan hasil pembuatan patung atau gambalan wayang kulit.

Projek ini dijalankan di Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan, milik Muhammad Dain Othman (pakar rujuk) yang terletak di Morak, Tumpat, Kelantan dan mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan yang turut hadir memberikan sokongan.

Proses pembuatan gambalan.

Komuniti ini dipilih berdasarkan lokasi sekolah yang berada dalam daerah Tumpat, iaitu tempat bermulanya wayang kulit di Kelantan. Selain itu, lokasi projek yang merupakan galeri dipilih bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para murid dan guru supaya mendekati kesenian tradisional ini. Projek ini merangkumi sesi memperkenalkan dan menghasilkan satu daripada elemen wayang kulit di Kelantan, iaitu boneka atau lebih dikenali sebagai gambalan, oleh pengamal wayang kulit.

 

Para murid diajarkan teknik dan kaedah pembuatan gambalan. Usaha ini membuahkan hasil apabila mereka dapat menjalani proses pembuatan gambalan dengan sangat baik. Kegembiraan jelas terpancar pada wajah murid sepanjang proses pembuatan dan semakin teruja apabila gambalan yang dihasilkan boleh dibawa pulang bersama-sama mereka.

 

Sebanyak sembilan orang guru, termasuklah guru besar SK Chabang Empat, Encik Zul Azura, terlibat dalam program ini untuk memantau usaha anak-anak didik dan bersama-sama memikul tanggungjawab memelihara warisan tradisional milik Kelantan.

Ketua penyelidik bersama-sama dalang Muhammad Dain Othman (kanan) sebagai pakar rujuk.

Projek ini yang ahlinya terdiri daripada Dr. Fara Dayana Mohd Jufry, Encik Mohammad Naquiddin Tajul Ariffn, Encik Amsalib Pisali dan Dr. Iylia Dayana Shamsudin merupakan inisiatif awal yang diambil oleh UPSI dan akan diteruskan kepada komuniti lain bagi memperjuangkan kesenian ini supaya kekal relevan dalam mengejar arus teknologi.

Projek ini mendapat peruntukan daripada UPSI untuk memindahkan ilmu yang telah digarap dalam penyelidikan supaya komuniti turut mendapat manfaat daripada hasil penyelidikan. Harapan penyelidik bagi projek ini agar aktiviti pemindahan ilmu dapat mendedahkan generasi muda tentang warisan wayang kulit Kelantan bagi memastikan kesenian tradisional ini dapat dilestarikan dan mendapat sokongan penuh masyarakat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.