Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor mencemar duli berangkat merasmikan Pameran Rahsia Kebaya anjuran Jabatan Muzium Malaysia di Galeri Saindera, Muzium Teksil Negara, hari ini.
Pameran Rahsia Kebaya merupakan satu daripada pameran sementara di Muzium Tekstil Negara yang mempamerkan keunikan, keanggunan dan kepelbagaian busana kebaya yang menjadi identiti nasional rakyat Malaysia. Pelaksanaan pameran ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Perpaduan Negara dalam melestarikan perpaduan dengan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah warisan negara melalui inisiatif “Ini Warisan Kita”.
Baju kebaya merupakan pakaian kebangsaan rakyat Malaysia yang menjadi identiti nasional negara. Busana ini telah digunakan oleh pelbagai kaum sejak dahulu lagi dan kekal relevan hingga hari ini sebagai warisan budaya turun-temurun yang menjadi kebanggaan nasional. Malah, busana ini juga menjadi medium perpaduan kaum dan integrasi sosial menerusi budaya dan warisan yang dikongsi bersama.
Menurut YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, penganjuran pameran ini dapat mencapai objektif yang telah disasarkan dan usaha mengangkat serta memartabatkan busana kebaya sebagai warisan, budaya dan tradisi bangsa yang menjadi lambang dan identiti negara ini dapat terus dilestarikan dan dipertahankan.
“Walaupun fesyen moden mendominasi pentas peragaan Malaysia dan antarabangsa, tetapi keunikan baju kebaya tetap menyerlahkan identiti negara yang tidak lapuk dek zaman. Kini, sudah tiba masanya untuk negara kita dikenali melalui aspek budaya dan warisan, khususnya menerusi imej pakaian tradisional, seperti baju kebaya,” kata Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, dalam ucapan alu-aluannya.
Pameran in secara eksklusif memperagakan 60 koleksi baju kebaya, iaitu 42 milik Jabatan Muzium Malaysia dan 18 pinjaman koleksi rakan-rakan kerjasama, antaranya termasuklah Istana Perlis, Istana Selangor, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Lembaga Muzium Negeri Kedah, Lembaga Muzium Negeri Perak, beberapa koleksi peribadi milik Puan Zubaidah Sual, Encik Tan Chai Cheng dan Puan Marina Linda Danker, Kebaya Pramugari MAS Airlines, Arkib Negara Malaysia dan Couture Classic.
Selain bertujuan untuk memperagakan keunikan baju kebaya, pameran in juga diadakan untuk mendukung peranan dan usaha kerajaan dalam mengangkat dan memartabatkan baju kebaya di bawah Senarai Nilai Budaya Warisan Kemanusiaan ke peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Sebanyak lima buah negara telah menghantar Pencalonan Kebaya Bersama, iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand. Keputusan bagi pencalonan in dijangka akan dimuktamadkan dalam Sesi Ke-19 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage pada tahun 2024.
Beberapa program dan aktiviti sisipan berbentuk ilmiah diadakan sepanjang pameran ini berlangsung, iaitu program Bicara@Muzium, aktiviti hujung minggu, seperti Ronggeng Berkebaya, si Cilik Berkebaya, Origami Kebaya, DIY keyChain Kebaya, DIY Kerongsang Kebaya dan Mereka Corak Busana Kebaya.
Turut hadir sama, Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim, dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara.