Oleh Aminudin Mansor
1 November 2023, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pembangunan sosiobudaya dapat dilaksanakan dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Kehidupan masyarakat kampung di pedalaman memerlukan hiburan dan juga aktiviti yang bercorak kebudayaan. Ahli masyarakat biasanya melakukan aktiviti kebudayaan secara bersama dalam kelompok yang kecil atau besar.

Ahli keluarga atau saudara-mara terdekat memainkan peranan dalam melaksanakan aktiviti kebudayaan melalui majlis yang diadakan sama ada dalam majlis perkahwinan atau majlis tertentu dan dilaksanakan dengan semangat kerjasama serta gotong-royong.

Kajian Mohd Zaki Yusof dan Roslan Yasnain dalam “Pendidikan Islam” menjelaskan budaya Islam mendapati bahawa akidah menjadi teras kehidupan umat Islam di Malaysia. Setiap orang mempunyai matlamat hidup yang jelas iaitu tujuan diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini. Justeru, dikir Pahang juga adalah aktiviti penting masyarakat dahulu yang jelas tidak bercanggah dengan nilai dalam kehidupan umat Islam.

Aktiviti dalam budaya Islam menjurus kepada mencari kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat serta enjadi matlamat utama. Aktiviti berkaitan tingkah laku dan gerak-geri dalam kehidupan seharian dikira sebagai ibadah jika menyerahkan segala urusan hanya kepada Allah.

Kepesatan dan kemajuan teknologi tidak dapat dihalang dan telah mempengaruhi budaya Melayu serta budaya tempatan. Dapat diperhatikan bahawa generasi muda kini telah dipengaruhi oleh kepesatan teknologi digital dan teknologi maklumat.

Menurut Mohd. Taib Osman, tokoh budaya dalam bukunya Globalisasi, Patriotisme dan Isu-Isu Kemasyarakatan, globalisasi telah memberikan kesan dan pengaruh yang besar kepada budaya tempatan. Semua ini telah membawa perubahan besar dalam kebudayaan manusia.

Perubahan ini juga katanya membabitkan pernyataan dan aktiviti budaya seperti peralatan, perlakuan, kesenian dan lain-lain. Berpakaian sahaja sudah menunjukkan ciri kesejagatan seperti kemeja, seluar, kot dan tali leher. Segala yang dicipta di Barat diikuti tanpa saringan dan dianggap sebagai contoh. Justeru itu, budaya Melayu juga semakin berubah dan dilupakan akibat globalisasi dan pertembungan budaya.

Kajian dan penelitian budaya menunjukkan bahawa pada sekitar tahun 1800-an iaitu sebelum kedatangan peralatan muzik moden, dikir rebana menjadi aktiviti kebudayaan penting di Pahang. Dikir rebana yang menggunakan gendang rebana itu berfungsi bagi memeriahkan acara keramaian penduduk tempatan.

Acara keramaian tersebut biasanya termasuklah acara seperti kenduri perkahwinan, kenduri kesyukuran, khatam al-Quran, khatan, cukur jambul bayi, menyambut kedatangan pembesar dan lain-lain.

Lazimnya kumpulan dikir rebana yang dianggotai oleh lima atau sekurang-kurangnya tiga orang pemain gendang rebana akan “menyanyikan dikir” lagu berunsur Islam yang memuji kebesaran Allah SWT dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Acara berdikir ini dilakukan pada awal tengah malam hingga larut malam.

Dikir rebana tersebut ada yang menggunakan lirik dalam kitab zikir atau buku dikir zikir klasik bahasa Arab yang diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Bagi tukang dikir rebana yang kreatif pula ada inisiatif mencipta lirik baharu dalam bahasa Melayu mengikut aspirasi atau tema tempatan.

Gendang dikir rebana berat dan lebih besar daripada saiz kompang.  Kebanyakan gendang dikir rebana diperbuat daripada kayu pokok nangka atau merbau. Manakala kulit kambing kering yang lebih nipis dan berbunyi nyaring apabila dipukul menjadi gendang merupakan pilihan utama dalam pembuatan gendang rebana untuk mengiringi dikir rebana.

Pada zaman dahulu, dikir rebana di Pahang merupakan aktiviti budaya klasik penting dan eksklusif kerana bukan sekadar sebagai penyeri majlis keramaian di kampung, malahan sering mendapat undangan persembahan di istana raja.

Justeru, tidak hairanlah dikir rebana pada zaman silam dianggap berprestij kerana boleh dikatakan setiap kampung di Pahang mempunyai kumpulan dikir rebana. Pada kebiasaannya dikir rebana ini juga dipersembahkan selepas musim menuai padi sebagai hiburan dan tanda kesyukuran.

Persembahan dikir rebana ini disampaikan dalam bentuk irama sentimental dan mendayu-dayu semacam berzanji atau marhaban, berbanding dengan dikir barat di Kelantan yang menggunakan gendang dan nyanyian lagu yang rancak. Dikir rebana Pahang ini kini hanya terdapat di beberapa daerah dan mukim di Pahang seperti di Mukim Kerdau, Lipat Kajang, Chenor, dan beberapa buah kampung di Mela, Jerantut.

Antara lokasi kumpulan dikir rebana yang terkemuka di Pahang adalah di Kampung Paya Rambai, Kerdau, pada sekitar tahun 1970-an yang diketuai oleh guru dikir Mohd. Sidek Chu Ali. Sementara itu terdapat juga kumpulan dikir rebana seperti di kampung Kertau,  Chenor dan Lipis yang masih aktif sehingga kini  dan dilihat terus menghiasi acara keramaian bagi menghidupkan budaya tradisi.

Kumpulan dikir rebana di Kampung Jeram Landak, Mela, Lipis masih aktif menerima undangan majlis keramaian, malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa dikir rebana boleh dijadikan elemen tarikan pelancong yang perlu diketengahkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Kumpulan dikir rebana terbahagi kepada dua kumpulan lelaki dan wanita mengikut kemahiran masing-masing dan berdikir sambil bergendang rebana. Mereka berdikir secara bergilir-gilir yang dimulakan oleh pendikir rebana lelaki dan diikuti oleh pendikir wanita. Biasanya pendikir wanita berdikir di sebalik tabir yang disediakan.

Sekitar tahun 1800-an, kumpulan dikir rebana yang popular terdapat di Mukim Pulau Tawar, Jerantut dan dikatakan pernah dianggotai oleh pahlawan Mat Kilau yang bersuara merdu pada zaman mudanya. Selain itu terdapat juga kumpulan dikir rebana yang aktif di Kampung Durian Hijau, Jerantut hingga awal tahun 1970-an.

Penduduk kampung mengadakan dikir rebana pada sebelah malam bagi memeriahkan suasana sementara menunggu siang di rumah kenduri pengantin perempuan yang kemudiannya diadakan pula majlis persandingan selepas waktu zohor.

Sejarah kedatangan dikir rebana ini dipercayai berasal dari Sumatera sejak awal 1800-an yang menyaksikan orang Minangkabau bertapak di Negeri Sembilan. Mereka turut membawa bersama kebudayaan tersebut dan kemudiannya pengaruh kebudayaan dikir rebana mula tersebar ke Pahang. Pendikir rebana di Pahang dikembangkan di surau dan madrasah antaranya oleh ulama Imam Syahibuddin Zainal Abidin  dari Kampung Berhala Gantang, Temerloh.

Dikir rebana menggunakan gendang rebana dan diterima oleh ulama Islam di Nusantara. Hal ini demikian kerana gendang itu menyerupai alat muzik gendang Arab yang lazimnya terdapat juga di Parsi serta tidak menyalahi syariat agama Islam. Ada kemungkinan dikir rebana Pahang ini dibawa oleh pedagang dan pendakwah agama Islam yang datang melalui sungai Pahang ke kampung-kampung bagi mengembangkan dakwah Islam pada awal tahun 1400 Masihi.

Gendang rebana berlubang di belakangnya, manakala gendang yang dimainkan oleh golongan bukan Islam pula bertutup dengan gendang kulitnya di depan dan belakang. Contoh kemahiran orang Melayu dalam membuat gendangnya sendiri ialah rebana yang digunakan. Budaya dan kemahiran ini sangat penting dalam kehidupan bukan sahaja untuk mengisi masa lapang malah turut meningkatkan kemahiran seni pertukangan orang Melayu.

Profesor Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam bukunya yang berjudul Ciri-Ciri Masyarakat Islam yang Kita Idamkan menjelaskan bahawa seni nyanyian dan muzik iaitu nyanyian yang disertakan dengan muzik atau tidak,merupakan isu yang diperdebatkan oleh para ulama semenjak zaman awal Islam. Mereka bersependapat dalam sesetengah perkara dan berselisih dalam perkara yang lain. Mereka juga bersepakat mengharuskan setiap nyanyian yang menyentuh fitrah yang tidak digandingkan dengan sebarang alat muzik perangsang. Hal tersebut hendaklah berlaku dalam suasana kegembiraan seperti majlis perkahwinan, kembalinya orang-orang yang hilang dan pada hari-hari perayaan

Selain sebagai lambang jati diri, gendang dikir rebana sesuai untuk dimainkan kerana selaras dengan falsafah peralatan muzik gendang patuh syariat yang mengalunkan dikir memuji kebesaran Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW. Matlamat utama orang mukmin khususnya masyarakat Melayu zaman lampau adalah untuk berhibur sambil berdakwah dalam mencapai nikmat iman dan ketakwaan.

Dikir rebana Pahang dimainkan bagi memeriahkan suasana keramaian. Oleh hal yang demikian, budaya ini sewajarnya dipelajari oleh generasi muda supaya tidak luput ditelan zaman dan kekal sebagai tradisi bangsa.

Penulis merupakan pensyarah dari UKM serta pengkaji budaya dan sastera Pahang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.