Oleh Lutfi Zahid
25 November 2023, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Mohd Farid Janudin

Melaka – Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, telah merasmikan Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya yang berlangsung dari 24 hingga 26 November 2023 di Swiss Garden Hotel, Melaka.

Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka merasmikan Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya ke-34.

Konvensyen yang memasuki edisi ke-34 pada tahun ini merupakan anjuran Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi lain, antaranya termasuklah Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Warisan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara dan Tourism Melaka.

Menurut YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh, konvensyen bertaraf antarabangsa seperti ini, yang melibatkan komuniti Baba Nyonya dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Australia, mampu memperkasakan kerjasama sesama komuniti ini, seterusnya melonjakkan nama negeri ini.

“Hari ini merupakan hari bermakna bagi saya kerana berpeluang menjalinkan hubungan persahabatan dan persaudaraan dengan dispora Baba Nyonya yang datang dari seluruh dunia. Saya menyeru agar kerjasama yang sudah terjalin ini dapat dikembangkan ke bidang lain, termasuklah kebudayaan, kesenian, warisan dan perdagangan,” kata YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh dalam ucapan perasmian.

Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh beramah mesra dengan komuniti Baba Nyonya dari pelbagai negara.

Tambah beliau, komuniti Baba Nyonya memiliki keistimewaan yang tersendiri dan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah bagi konvensyen pada kali ini amatlah bertepatan dengan permulaan sejarah Baba Nyonya, selain dapat mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024.

“Saya diberitahu bahawa selain memiliki keunikan dalam kebudayaan dan kesenian, komuniti Baba Nyonya juga tidak kurang hebat di persada bidang korporat. Saya yakin lebih ramai yang akan muncul dalam bidang ini kerana Baba Nyonya merupakan komuniti luar biasa,” kata YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh.

Datuk Ronald Gan, Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya dalam ucapan alu-aluannya mengharapkan agar komuniti Baba Nyonya yang ada di seluruh dunia mempertahankan warisan nenek moyang mereka dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak kerajaan negara masing-masing.

Datuk Ronald Gan, Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia.

“Persatuan kami memiliki objektif yang hampir sama dengan persatuan Baba Nyonya lain di pelbagai negara, iaitu mempertahankan, mempromosikan dan menggalakkan pembangunan seni dan budaya Baba Nyonya. Walaupun begitu, yang membezakan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia ialah turut menjalinkan hubungan dengan pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri demi kepentingan komuniti ini,” kata Datuk Ronald Gan.

Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya ke-34 yang bertemakan “Antara Lautan dengan Manusia” ini mengetengahkan pelbagai program keilmuan dan kebudayaan, iaitu pembentangan kertas kerja, simposium, lawatan muzium dan majlis makan malam. Konvensyen ini melibatkan kira-kira 800 peserta yang terdiri daripada komuniti Baba Nyonya dari lima buah negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.