28 Februari 2024, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terletak bersebelahan dengan Pulau Dayang Bunting, Pulau Tuba semakin mendapat perhatian daripada pelancong dari dalam dan luar negara. Antara tarikan Pulau Tuba adalah kepelbagaian biodiversiti di kawasan hutan paya bakau dan persisiran pantai.

Selain itu, kurangnya pengaruh globalisasi dan modenisasi membuatkan pelawat seakan-akan kembali ke masa lampau. Suasana kampung yang masih mengekalkan seni bina rumah kayu berdiri kukuh selain deretan bot-bot nelayan yang menunggu penumpang untuk berulang-alik dari satu pulau ke pulau yang lain.

Pengangkutan darat di pulau ini amatlah terhad kerana jalannya tidak lebar selain keadaan muka bumi yang berbukit-bukit. Kebanyakan penduduk di sini menggunakan motosikal untuk berulang-alik dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Bagi para pelancong pula, berjalan kaki sambil menelusuri kawasan kampung menjadi pilihan terutamanya pelancong asing yang ingin merasai suasana desa dan perkampungan nelayan.

Hari ini, BesTuba Buggy menjadi salah satu produk pelancongan yang semakin mendapat perhatian terutamanya bagi pelancong yang ingin melihat sisi berbeza Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting menggunakan pacuan empat roda yang comel.

Kesempatan diambil oleh sebahagian mahasiswa dari UiTM Cawangan Perlis untuk mencuba produk terbaharu hasil usaha Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (KOPTUBAS) dan BesTuba. Pelancong yang menggunakan perkhidmatan BesTuba Buggy boleh melihat panorama indah dan kegiatan masyarakat tempatan selama 4 jam.

Kelajuan yang minimum dan dipandu oleh pemandu yang berpengalaman, menjadikan pengalaman menaiki BesTuba Buggy sesuatu yang istimewa. Pengguna BesTuba Buggy hanya perlu membayar RM120.00 bagi menikmati panorama yang sungguh menakjubkan.

Kami memulakan pengembaraan mengeliling Pulau Tuba dengan menunggu BesTuba Buggy di Stesen Penyelidikan Marin (MARES), Universiti Teknologi MARA. Kami terlebih dahulu mendapat penerangan berkenaan destinasi-destinasi yang bakal dilawati oleh pemandu.

Destinasi pertama ialah Jeti Pulau Tuba. Jeti ini menjadi tumpuan utama penduduk tempatan dan pelawat yang berulang-alik dari Pulau Tuba ke Pulau Langkawi atau ke destinasi-destinasi yang lain. Di sini juga terdapat Galeri Geotourism Pulau Tuba yang menempatkan pelbagai pusat jualan produk seni kraf warga Pulau Tuba dan informasi menarik dalam bentuk infografik berkenaan Pulau Tuba dari sudut sosioekonomi, pelancongan dan alam semula jadi.

Antara infografik yang menarik ialah Georintis Gua Wang Buloh, Georintis Pulau Tuba, Georintis Tanjung Peluru, Georintis Kampung Pulau Tuba dan Geopelancongan Pulau Tuba. Kami terpukau dengan panorama alam semula jadi seperti pulau-pulau kecil dan air jernih yang menampakkan dasar lautnya. Kami berkesempatan untuk bergembar di papan tanda Pulau Tuba.

Setelah itu, kami dibawa pula ke Jeti Kampung Tepi Laut. Ketika dalam perjalanan ke sini, kami melihat warga tempatan menggunakan motorsikal sebagai pengangkutan utama. Kami sempat mengunjungi beberapa kampung sambil disapa dengan senyuman oleh penduduk tempatan.

Nyaman dan permai suasana kampung yang masih di kelilingi oleh pelbagai flora menimbulkan nostalgia tinggal di kampung halaman. Pemandu BesTuba Buggy menghentikan kenderaan untuk membawa kami menikmati mi udang. Kami telah dilayan mesra oleh staf Restoran Ombak Rindu. Antara menu pilihan di sini ialah mi dan maggi dengan udang dan sotong bersaiz besar dan segar.

Kami melihat kahadiran warga tempatan dan pelancong asing melewati gigi air untuk mencari kerang dan siput yang bersembunyi di bawah pasir pantai. Turut mencuit perasan apabila melihat kanak-kanak kecil mengejar ketam-ketam yang cuba lari menyembunyikan diri.

Setelah selesai menjamu selera, BesTuba Buggy menghala ke Buffolo Park untuk melihat panorama bendang dan haiwan-haiwan ternakan di sini seperti itik, angsa, ayam dan lembu. Antara yang mencuri tumpuan adalah terdapatnya kerbau-kerbau bersaiz besar yang sedang berkubang.

Dari satu bendang ke bendang yang lain, pemandu BesTuba Buggy memandu dengan berhati-hati apabila melalui batas-batas bendang yang sempit. Sebilangan daripada kami menjerit ketakutan apabila pemandu cuba membelok ke kiri atau ke kanan kerana risau jatuh ke bendang yang dipenuhi dengan najis kerbau. Suasana seperti ini bakal menjadi memori terindah buat kami.

Seterusnya kami dibawa ke Lekoshow. Lekoshow merupakan sebuah restoran dan bengkel hasil Program Keusahawanan Wanita di Wilayah KEDA. Dengan bertemakan “Joyful Experience in Tuba”, Lekoshow telah diuruskan oleh Puan Rosnani Che Ghazali. Kami diberitahu tentang cabaran perniagaan keropok lekor ketika pandemik COVID-19 melanda negara. Beliau dan rakan-rakan yang mengusaha perniagaan ini sempat mempromosikan sos cili hasil inovasi mereka. Kami sempat membungkus beberapa set keropok lekor untuk dimakan di atas BesTuba Buggy ketika melawat destinasi terakhir.

Menjelang lewat petang, pemandu BesTuba Buggy membawa kami untuk melihat suasana matahari terbenam sambil melalui Geopark Bridge yang menghubungkan Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting. Di sini, kami menyaksikan deretan pepohon paya bakau memeluk persisiran pantai kedua-dua pulau ini. Kami dibawa mengelilingi beberapa kampung di Pulau Dayang Bunting. Pemandu BesTuba Buggy sempat menghentikan BesTuba Buggy untuk kami membeli minuman dan makanan untuk dibawa pulang.

Pengembaraan kami mengelilingi Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting berakhir di hujung senja. Pastinya pengalaman menaiki BesTuba Buggy menjadi memori terindah walaupun dengan cuaca panas.

Kadangkala bukan oleh-oleh seperti coklat yang dibawa pulang, tetapi memori dan pengalaman indah yang menggamit perasaan. Keseronokan dan keterujaan menaiki BesTuba Buggy wajar dicuba oleh pelancong tempatan dan antarabangsa apabila datang ke Pulau Tuba.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.