Oleh Rashid Ating
13 November 2023, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bau merupakan kawasan luar bandar di Sarawak. Keadaan geografi Bau sebenarnya agak strategik jika dibandingkan dengan daerah lain di Sarawak. Jarak perjalanan dari Kuching ke Bau dalam lingkungan 42 kilometer dengan masa perjalanan sekitar 40 minit hingga sejam bergantung kepada kesesakan lalu lintas.

Daerah Bau sebenarnya mempunyai beberapa tempat pelancongan yang berpotensi untuk diketengahkan menjadi tarikan pelancong, seperti Tasik Biru, Eco Semambu Park, Paku Rock Maze Garden, New Buddist Village, Kampung Bersejarah Maw San dan Gua Pari-Pari.

Gua Pari-Pari merupakan satu daripada tarikan pelancong yang utama di Bau. Julukan nama pari-pari diberikan kerana struktur stalagmit yang terdapat di pintu masuk gua ini menyerupai seakan-akan dewi masyarakat Cina, iaitu Kuan Yin (Dewi Belas Kasihan) dan Buddha. Gua Pari-Pari yang terletak bersebelahan dengan Gua Angin merupakan destinasi utama bagi para pendaki di Kuching.

Para pengunjung menyaksikan video penerangan tatacara keselamatan sebelum memasuki Gua Pari-Pari.

Gua ini dibuka kepada umum untuk kunjungan orang ramai. Bayaran masuk yang dikenakan agak berpatutan dengan RM1 bagi penduduk Sarawak dan RM5 bagi mereka yang bukan dari Sarawak (termasuk pelancong asing). Masa melawat bermula dari pukul 9 pagi sehingga 4 petang dan beroperasi setiap hari Selasa hingga Ahad, dan Cuti Umum.

Sama seperti gua-gua yang lain, Gua Pari-Pari turut mempunyai struktur stalaktit dan stalagmit yang telah wujud sejak beratus tahun dahulu. Gua ini mempunyai beberapa buah laluan, iaitu Twilight Trail, Dark Trail and Gunung Kapor Summit Trail. Laluan Twilight dan Dark Trail merupakan laluan biasa yang dilalui oleh mereka yang mengunjungi gua ini, manakala Puncak Laluan Gunung Kapor merupakan laluan yang tidak dibuka kepada umum melainkan perlu mempunyai permit terlebih dahulu.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh pengunjung sewaktu mengunjungi gua ini. Yang pertama, perlu membawa lampu suluh yang berkuasa tinggi disebabkan keadaan gua yang gelap. Lampu telefon bimbit sebenarnya sudah mencukupi dan dapat digunakan untuk menerangi laluan perjalanan.

Foto berlatarbelakangkan Gua Angin yang terletak bersebelahan dengan Gua Pari-Pari.

Yang kedua, pemakaian pakaian dan kasut yang sesuai disebabkan oleh permukaan lantai gua yang basah dan licin amat digalakkan untuk para pengunjung. Para pengunjung perlu memakai kasut sukan atau kasut keselamatan bagi mendapatkan cengkaman yang lebih kukuh serta mengelakkan daripada terjatuh sewaktu menelusuri gua ini nanti.

Yang ketiga, para pengunjung digalakkan untuk membawa bekalan air sebelum memasuki gua ini bagi memastikan kekal terhidrat sepanjang masa dan mengelakkan risiko kekurangan air dalam badan. Pengunjung juga dapat memilih untuk membeli air kelapa muda, tebu dan air mineral di beberapa kios yang berhampiran selepas meneroka kawasan gua ini. Walau bagaimanapun, kios dan tandas awam di kawasan gua ini tamat beroperasi pada pukul 4.30 petang.

Selain itu, keadaan tangga yang agak curam pada penghujung perjalanan Dark Trail sebelum sampai ke pintu masuk gua perlu diberi perhatian yang serius bagi mereka yang mempunyai saiz badan yang agak besar. Hal ini ditambah lagi dengan saiz anak tangga yang kecil dan kelebaran tangga sedikit sempit.

Penulis mengambil gambar di pintu masuk pelantar menara dengan berlatarbelakangkan pemandangan alam sekitar bersama-sama rakan dari dalam dan luar negara.

Para pengunjung perlu berhati-hati semasa menaiki dan menuruni tangga ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini terjadi. Perlu diambil perhatian juga untuk tidak menandakan, mengalih, dan merosakkan struktur stalagmit yang ada di dalam gua ini bagi menghormati kepercayaan masyarakat Cina yang datang berdoa di kawasan tersebut.

Sebagai kesimpulannya, pengalaman meneroka Gua Pari-Pari merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan. Sekiranya dilakukan bersama-sama rakan-rakan, pastinya menambah lagi keseronokan semasa menjelajah gua ini. Pengalaman menaiki menara pelantar lima tingkat sebelum memulakan perjalanan dan berjalan selama hampir sejam dari pintu masuk gua melalui Twilight dan Dark Trail, sambil melihat struktur stalaktit dan stalagmit merupakan perkara yang menyenangkan bagi mereka yang ingin melihat pemandangan alam semula jadi. Bagi mereka yang pertama kali memasuki gua ini, sudah pasti memenatkan, tetapi berbaloi untuk dicuba dan diteroka.

Maklumat lanjut tentang gua ini boleh didapati di laman sesawang Sarawak Tourism Board di pautan https://sarawaktourism.com/attraction/bau-history-and-caves/

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.