23 April 2022, 09:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar yang juga Bandar Diraja Perak Darul Ridzuan cukup terkenal dengan labu sayong. Sayong sendiri ialah tempat penghasilan produk warisan tradisional turun-temurun itu.

Bangunan seperti rumah ini menjadi tempat yang meletakkan beraneka peralatan dan bahan, dalam kaedah membuat labu sayong secara tradisional.

Oleh sebab begitu ramai pengusaha labu sayong di sekitar kawasan berkenaan, tindakan atau buah fikiran seorang daripada mereka untuk menampakkan kelainan memang sangat baik dan menarik.

Haron Mat Jidin, pemilik syarikat Koleksi Haron.

Haron Mat Jidin yang telah puluhan tahun menghasilkan labu sayong menerusi syarikatnya yang dinamakan Koleksi Haron, boleh dianggap kreatif apabila meletakkan nama Muzium Labu Sayong pada sebuah rumah kedai di Kampung Kepala Bendang. Kampung di Sayong itu juga merupakan tempat kelahirannya kira-kira 58 tahun lalu.

Sesiapa yang sekadar melihat gambar di media sosial mungkin menyangka bangunan kecil itu ialah Muzium Labu Sayong. Namun demikian, saya yang berpeluang mengunjunginya baru-baru ini mendapati hanya sebahagian daripada premis tersebut yang merupakan milik Koleksi Haron itu. Menurut Haron, beliau meletakkan nama Muzium Labu Sayong itu kira-kira empat tahun lalu.

Rupa-rupanya, ada sebuah bangunan seperti rumah tidak jauh dari situ menjadi tempat yang mempamerkan beraneka peralatan dan bahan, serta memperlihatkan kaedah membuat labu sayong secara tradisional. Di satu bahagian di situ, Haron turut meletakkan gambar Allahyarhamah ibunya yang juga merupakan guru beliau yang banyak berjasa.

Haron Mat Jidin turut meletakkan gambar Allahyarhamah ibunya bersama-sama sebahagian daripada peralatan pembuatan labu sayong secara tradisional di Muzium Labu Sayong.

Di satu bahagian lapang berhampiran dengan rumah kedai kecil itu diletakkan pula peralatan membuat labu sayong secara moden bersama-sama beberapa bahannya. Labu pelbagai bentuk dan rupa yang telah siap dengan harga munasabah diletakkan pula di satu bahagian tidak jauh dari situ.

Selain melawat, para pengunjung turut berpeluang mempelajari kaedah asas membuat labu Sayong daripada Haron sendiri dengan kadar bayaran tertentu yang berpatutan. Dalam hal ini, kebolehan dan bakat Haron tidak boleh disangkal kerana beliau pernah memenangi tempat pertama Hadiah Kategori Produk Hasil Tanah Showcase Satu Daerah Satu Industri Peringkat Nasional 2015 pada 6 Disember 2015. Beliau juga menerima beberapa sijil penghargaan atas segala usaha dan produk yang dihasilkan.

Dapat dilihat di sini, para pengunjung tetap memperoleh serba sedikit ilmu. Apatah lagi Haron sangat peramah, mudah mesra dan petah berkata-kata dengan loghat Sayong yang kadang-kadang menggelikan hati semasa memberikan taklimat dan bercerita secara ringkas namun padat dengan pengisian.

Bahagian dalam tempat pameran peralatan, dan bahan-bahan dalam proses membuat labu sayong secara tradisional.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.