23 November 2022, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila disebut tentang Teluk Intan, ramai dalam kalangan kita membayangkan Menara Condong Teluk Intan yang berdiri megah di tengah-tengah pekan Teluk Intan umpama Menara Condong Pisa di Itali. Inilah sebuah permata yang bernilai dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri sejak sekian lama. Teluk Intan telah mengalami perubahan dari segi pembangunan prasarana pelancongan bagi menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke Teluk Intan.

Menurut portal Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), kedudukan Teluk Intan berada di sebelah pantai Barat Semenanjung Malaysia dan berperanan sebagai pusat pentadbiran di Hilir Perak. Teluk Intan menduduki tangga ke-17 kedudukan bandar utama di Malaysia dan menduduki tangga ketiga bandar utama di Perak.

Menyoroti kembali asal-usul nama Teluk Intan, terdapat pelbagai versi berbeza dan yang sering didengar daripada mulut penduduk tempatan. Antaranya termasuklah nama Teluk Intan diambil bersempena nama seorang janda yang bernama Mak Intan dan memiliki rupa paras yang cantik. Beliau yang berasal dari Mandahiling, Sumatera merupakan peneroka terawal yang membuka Teluk Intan pada sekitar abad ke-19.

Pemandangan pekan Teluk Intan dari atas udara.

Kawasan yang diteroka oleh beliau adalah pekan Teluk Intan dan sejak itu, semakin ramai para pedagang dan petani dari Jawa, Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan India-Bombay datang menetap di tempat ini. Pada 1 Januari 1982, nama Teluk Anson ditukar kepada Teluk Intan dan kekal sehingga hari ini. Sektor pertanian yang terdapat di Teluk Intan adalah penanaman kelapa sawit dan hal ini terbukti dengan banyak pohon kelapa sawit yang ditanam di sekitar perkampungan seperti di Kampung Selabak dan Batak Rabit.

Pada penghujung tahun 2021, penulis dan isteri berpeluang untuk bercuti singkat di Teluk Intan, Perak. Kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan dan perjalanan memakan masa sekitar 2 jam 30 minit dengan jarak sejauh 160 kilometer. Kami memilih perjalanan dengan menaiki kereta persendirian melalui jalan raya yang melewati kawasan Segambut, Kuang, Rawang, Bukit Beruntung, Slim River dan Sungkai. Sebaik sahaja tiba di Pekan Teluk Intan pada waktu tengah hari, kami melihat kesibukan dan hiruk-pikuk pekan Teluk Intan yang dipenuhi dengan deretan kedai dan restoran.

Seterusnya, kami singgah sebentar di Pusat Rekreasi Waterfront Teluk Intan untuk berehat setelah menempuh perjalanan yang agak jauh. Di sini kami dapat menikmati panorama Sungai Perak yang indah sambil bertemankan tiupan angin yang menenangkan. Lokasi ini juga turut dilengkapi dengan prasarana seperti taman permainan kanak-kanak, tandas awam, tempat makan dan tempat parkir kereta yang banyak.

Kedudukan Pusat Rekreasi Waterfront Teluk Intan yang berhadapan dengan Sungai Perak membuatkan kebanyakan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengambil foto di sekitar lokasi ini terutamanya di kala senja menjengah sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam. Di samping itu, tidak jauh daripada lokasi ini, terdapat perkhidmatan pelayaran sungai yang disediakan untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman pelayaran menelusuri Sungai Perak sambil melihat tinggalan sejarah kolonial di sekitar Teluk Intan.

Pada kesempatan ini, kami menaiki feri pelayaran menyusuri Sungai Perak. Menerusi tema “Jelajah Persisiran Sungai Perak”, kami dapat mengimbau era kolonial dengan menyaksikan beberapa tinggalan bangunan lama yang masih teguh sehingga kini. Antaranya termasuklah balai polis lama, pejabat pos, bangunan HSBC dan Mahkamah Lama Teluk Intan. Selain itu, kami juga melalui sebuah tokong Buddha, iaitu Eastern Sea Dragon Temple dan sekitar Kampung Esso yang dahulu dijadikan sebagai depoh penyimpanan minyak Syarikat Petroleum Esso sebelum minyak tersebut dihantar ke seluruh Malaysia melalui jalan kereta api.

Pemandangan laluan Sungai Perak.

Pelayaran feri kami diteruskan lagi melalui kawasan Batak Rabit dan akhirnya kami tiba di lokasi Pulau Bangau yang terdapat sebuah enjin kapal wap lama yang dipercayai berusia sekitar 100 tahun dan tenggelam dalam dasar sungai. Enjin tersebut hanya dapat dilihat apabila berlakunya fenomena air sungai surut dan kemunculan enjin ini menggemparkan penduduk tempatan serta ada yang mendakwa bahawa enjin tersebut sebenarnya adalah kepala sebuah lokomotif.

Selepas puas menikmati pemandangan indah nan permai di sepanjang Sungai Perak, kami tiba di jeti dan meneruskan aktiviti bersiar-siar pada waktu lewat petang melalui pekan Teluk Intan. Kami melihat monumen bersejarah, iaitu sebongkah batu bersaiz sebuah kereta kancil yang terletak di persimpangan jalan. Monumen tersebut dibina demi memperingati tentera yang terkorban pada Perang Dunia Pertama. Kami mengabadikan kenangan indah ini dengan mengambil gambar berlatarbelakangkan batu tenggek tersebut yang ternyata mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.

Pada hari kedua, selepas sarapan kami meneruskan perjalanan menuju ke Menara Condong Teluk Intan yang begitu terkenal dengan jolokan Menara Condong Pisa dan jarak dari hotel kami menginap ke menara tersebut hanyalah 500 meter. Menara ini terletak di tengah-tengah dataran Pekan Teluk Intan yang menghubungkan Jalan Pasar, Jalan Selat, Jalan Bandar dan Jalan Ah Cheong. Menara ini mempunyai nilai sejarah yang tersendiri dan masih terpelihara sehingga ke hari ini hasil usaha pemulihan oleh pihak berkuasa tempatan.

Kami berpeluang melihat keadaan sebenar di dalam menara tersebut yang mempunyai tiga tingkat. Menurut sejarah, menara ini dibina pada tahun 1885 oleh seorang kontraktor Cina yang bernama Leong Choon Chong dan berperanan sebagai tangki simpanan air ketika musim kemarau serta membekalkan air kepada penduduk tempatan. Dengan ketinggian 25 meter serta mempunyai 110 anak tangga, lapisan bawah menara ini mempunyai ukuran garis pusat 13 meter dan semakin menguncup ke atas dengan ukuran 8.2 meter.

Menara Condong Teluk Intan yang menjadi mercu tanda Teluk Intan di Perak.

Pembangunan menara ini adalah hasil sumbangan penduduk tempatan dan diperbuat daripada kayu dan batu bata dengan seni binanya yang berkonsepkan pagoda. Selain itu, menara ini turut berfungsi sebagai penanda waktu dan juga penunjuk arah laluan kapal ke pelabuhan Teluk Anson suatu ketika dahulu. Jam besar menara ini dipasang dan dibangunkan oleh firma James William Benson dari Ludgate Hill London. Kecondongan menara ini disebabkan banjir besar yang berlaku mengakibatkan perubahan struktur tanah dan bebanan tangki air yang berat menyebabkan Menara sedikit condong ke arah barat. Waktu melawat menara ini adalah pada setiap hari bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (Isnin hingga Jumaat) dan pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang (Sabtu dan Ahad). Masuk adalah percuma.

Teluk Intan juga tidak kurang hebatnya sebagai lokasi makanan yang menarik. Kami sempat singgah makan mi rebus dan rojak di Restoran Mastan Ghani yang terletak di Jalan Selat yang berdekatan dengan Menara Condong Teluk Intan. Mi rebus dan rojak merupakan sajian istimewa yang telah menambat hati ramai pengunjung merangkumi penduduk tempatan dan pelancong asing.

Restoran Mastan Ghani dahulunya hanyalah sebuah kedai kecil dan mula beroperasi pada tahun 1961 sebagai sebuah perniagaan keluarga. Setelah beroperasi beberapa tahun dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan, beberapa cawangan telah dibuka di sekitar Teluk Intan. Ternyata rahsia keenakan mi rebusnya terletak pada kuah yang dihasilkan dengan mengadunkan bahan-bahan asas seperti cili, serbuk cili, rempah-ratus dan resipi rahsia mereka yang tersendiri. Restoran ini juga turut menyediakan minuman sejuk dan panas buat pengunjung serta dibuka setiap hari bermula pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam.

Setelah menikmati hidangan makan tengah hari, perjalanan diteruskan lagi menuju ke lokasi seterusnya, iaitu Jeti Beting Beras Basah yang terletak di Bagan Datoh, Perak. Perjalanan ke sana memakan masa satu jam dari pekan Teluk Intan dengan menaiki kenderaan dan kami berasa teruja kerana lokasi ini menjadi saksi pertabalan Sultan Perak yang pertama, iaitu Sultan Mudzaffar Shah.

Jeti Beting Beras Basah merupakan antara destinasi pelancongan di Bagan Datoh, Perak.

Menurut sejarah, pada tahun 1528, bahtera yang dinaiki baginda tersadai di Beting Beras Basah setelah menyusuri Sungai Perak dan baginda melaungkan seruan agar bahtera yang dinaikinya bergerak. Setelah berakhir seruan keramat tersebut, bahtera yang dinaiki baginda bergerak dengan sendiri dan ketibaannya disambut dengan laungan “Daulat Tuanku” sebanyak 3 kali oleh para pembesar negeri dan rakyat jelata yang menyaksikan kejadian tersebut. Seterusnya baginda dibawa ke sebuah lokasi, iaitu Tanah Abang lalu ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama.

Seterusnya kami kembali ke pekan Teluk Intan dan berehat di tempat penginapan kami. Usai solat maghrib, kami bergerak menuju ke restoran Apong D’Hilir yang terletak 200 meter daripada penginapan kami. Restoran ini unik kerana berkonsepkan restoran terapung di atas air sungai selain turut dimeriahkan dengan persembahan penghibur jalanan daripada kalangan penduduk tempatan.

Apabila malam menjelma, suasana di pekan Teluk Intan “hidup dan meriah” dengan gelagat warga tempatan yang meluangkan masa bersama-sama keluarga melaksanakan pelbagai aktiviti di sekitar Menara Condong Teluk Intan. Bagi para peniaga trak makanan dan jualan but kereta, inilah peluang buat mereka untuk menjana pendapatan dan kenderaan mereka sentiasa memenuhi jalan-jalan sekitar Menara Condong Teluk Intan.

Pemandangan di Pulau Bangau, Teluk Intan, Perak.

Tidak jauh dari Menara Condong Teluk Intan, terdapat bazar yang sering dikunjungi penduduk tempatan yang ingin membeli pelbagai barangan. Jika di Kuala Lumpur terkenal dengan Petaling Street, maka di sini pula terkenal dengan Gerbang Malam yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, aksesori, barangan runcit, kasut, makanan dan sebagainya dengan harga yang berpatutan. Bagi penduduk tempatan, mereka lebih suka berkunjung ke Gerbang Malam pada lewat malam kerana pada waktu tersebut, mereka boleh membeli barangan dengan harga yang lebih murah. Jika anda berkunjung ke pekan Teluk Intan, jangan lepaskan peluang keemasan menempuh pengalaman membeli-belah yang berbeza daripada tempat-tempat yang lain.

Ternyata perjalanan singkat di Teluk Intan membawa seribu kenangan manis buat penulis. Teluk Intan sememangnya permata yang bernilai dan tidak kalah dengan tempat-tempat pelancongan lain di sekitar Perak dan turut mempunyai pilihan makanan yang menarik. Buat seluruh warga Malaysia, ayuh bercuti di Teluk Intan dan luangkan masa berharga anda bersama-sama keluarga tercinta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.