2 Mac 2024, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Hari pertama pementasan, panggung sudah penuh, habis kerusi di luar dibawa masuk ke dalam,” kata Roziah Adama, penulis skrip Teater Malam Minggu: Buat Baik Berpada-pada, Buat Jahat Jangan Sekali kepada JendelaDBP.

Jelasnya lagi,

Saya percaya ukuran teater yang baik bukan kerana jumlah penonton semata-mata tetapi bagaimana penulis menghidang karya berkualiti kepada penonton.

Skrip teater tersebut ditulis bersumberkan naskhah beliau bertajuk Sebelum Subuh yang pernah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Skrip Drama Pendek pada tahun 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Roziah turut berkongsi, penghasilan skrip drama pada kali ini dilihat sedikit mencabar kerana skrip terbaharu yang diolah semula mengambil masa dalam tempoh seminggu untuk dibaiki sebagai sebuah pementasan penuh yang berdurasi satu jam.

Karya yang mengangkat isu kemanusiaan ini mengisahkan konflik antara seorang tua yang telah kematian isteri dengan anak tunggalnya yang menyangka kakitangan syarikat utiliti sebagai pencuri yang menceroboh rumah mereka.

Teater ini mengangkat isu kemanusiaan dan nilai murni dalam masyarakat.

Pementasan teater anjuran DBP melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (BPI) ini diadakan selama dua hari bermula pada 1 Mac 2024 hingga 2 Mac 2024 di Sudut Karyawan DBP, Kuala Lumpur.

Sebagai catatan, Siri Teater Malam Minggu merupakan program pementasan teater secara minimalis yang dianjurkan oleh DBP dan dilaksanakan sejak tahun 2023 dengan mengangkat tema peribahasa Melayu.

Poster Siri 1/2024 Teater Malam Minggu: Buat Baik Berpada-pada, Buat Jahat Jangan Sekali.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.