Oleh Lutfi Zahid
26 Mei 2024, 08:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Barisan pelakon dan kru produksi selepas pementasan teater “Harimau Johor: Jauhar Tanah Permata” di JOTIC, semalam.

Johor Bahru – Pementasan teater perdana “Harimau Johor: Jauhar Tanah Permata” yang berlangsung di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (JOTIC) di sini menerima sambutan yang luar biasa daripada khalayak, khususnya masyarakat Johor, yang memenuhi panggung Dewan Auditorium JOTIC sejak hari Jumaat.

Pementasan teater yang berlangsung selama dua hari itu, iaitu pada 24 Mei dan 25 Mei, merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Tourism Johor sebagai penaja utama, serta dengan kerjasama Majlis Teater Negeri Johor dan Gerak Teater Anak Johor.

Senjakala, atau nama sebenar Azri Azmi, sebagai penulis skrip dan pengarah teater “Harimau Johor: Jauhar Tanah Permata”.

Menurut Pengarah DBPWS, Encik Mohd Riduwan Wahab, sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat, termasuklah generasi muda, untuk menonton pementasan teater ini membuktikan mereka amat cintakan negeri ini dan menghargai perjuangan pahlawan terdahulu.

“Dapat dikatakan penjualan tiket pementasan teater ‘Harimau Johor: Jauhar Tanah Permata’ amat memberangsangkan pada setiap sesi pementasan. Pihak penaja amat berbesar hati atas sokongan yang diberikan oleh segenap lapisan masyarakat yang memenuhi panggung ini,” kata Encik Mohd Riduwan.

Teater “Harimau Johor: Jauhar Tanah Permata” merupakan inspirasi daripada karya¬† Sasterawan Negeri Johor Shaharom Husin dan mendapat sentuhan daripada penggiat teater negeri Johor, iaitu Senjakala, sebagai penulis skrip dan pengarah.

Pertarungan antara Nong Mutalib dengan Labek.

Naskhah ini mengisahkan perjuangan dan pengorbanan bangsa Johor pada tahun 1850 bagi menentang kekejaman lanun yang berleluasa di negeri itu, terutamanya di Mersing dan Teluk Ramunia. Kehadiran Nong Mutalib, seorang pahlawan Johor yang diberikan gelaran sebagai “Harimau Johor”, memberikan sinar kepada penduduk tempatan bagi menghapuskan ketua lanun yang kejam, Mat Derus.

Watak Mat Derus sebagai ketua lanun yang kejam.

Pementasan yang berdurasi kira-kira dua jam ini bukan sahaja memaparkan erti sebuah perjuangan, malah sarat dengan elemen kebudayaan, keagamaan dan kerohanian. Hal ini turut diperkuatkan dengan pembawaan watak yang berkesan daripada para pelakon, serta paparan visual, audio dan teknikal yang hebat daripada pihak produksi.

Teater “Harimau Johor: Jauhar Tanah Permata” diterajui oleh para pelakon daripada Gerak Teater Johor, antaranya termasuklah Hairey sebagai Nong Mutalib, Azrul Syafiq sebagai Labek, Nurul Khairunnisa sebagai Melur dan Haziq Zufayri sebagai Mat Derus.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.