Oleh Kho Thong Eng
28 Mei 2024, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pesta Duanwu ialah satu daripada pesta tradisional utama bagi masyarakat Cina. Pesta ini juga dikenali sebagai Pesta Lumba Perahu Naga, Pesta Cang, Pesta Lima Kembar atau Pesta Cangpu. Kata duan bererti permulaan. Kata wu pula bererti tengah hari dan berbunyi seperti angka lima dalam bahasa Cina. Pesta ini disambut pada hari kelima dalam bulan kelima berdasarkan kalender Cina, iaitu permulaan pertengahan musim panas di negara China.

Masyarakat Cina beranggapan bahawa pesta ini diadakan untuk memperingati kematian Qu Yuan, penyair patriotik yang terkenal dengan semangat patriotisme dan puisinya. Penyair tersebut membunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Miluo pada 27 Jun 278 sebelum Masihi sebagai bantahan terhadap kejatuhan negara Chu ke tangan negara Qin. Walau bagaimanapun, bukti menunjukkan bahawa Pesta Duanwu sudah diadakan sebelum kematian Qu Yuan untuk menyembah dewa naga air dengan mencampakkan bahan penyembahan ke dalam sungai.

Asal usul Pesta Duanwu berkaitan dengan kepercayaan tradisi orang Cina bahawa bulan kelima dalam kalender Cina merupakan bulan berbisa. Hal ini dikatakan demikian kerana lima makhluk berbisa yang ditakuti mula muncul pada bulan itu, iaitu lipan, kala jengking, ular, kodok dan lelabah. Pada bulan kelima yang panas pada pertengahan musim panas, banyak orang jatuh sakit dan wabak merebak. Maka itu, bulan tersebut merupakan tempoh untuk rawatan dan kesihatan tradisi bagi menjauhi penyakit dan semangat jahat.

Pesta Duanwu biasanya melibatkan dua perkara utama. Perkara pertama adalah penyembahan dewa naga dan pahlawan seperti Qu Yuan. Aktivitinya termasuklah lumba perahu naga dan makan zongzi (cang atau ketupat Cina). Perkara kedua pula adalah mandi dengan air herba, menggantung wormwood (sejenis herba) dan daun mugwort atau calamus serta minum arak realgar. Selain dapat menghalau lalat, nyamuk dan serangga lain yang membawa penyakit, menggantung daun mugwort dan calamus dikatakan boleh membawa rezeki dan nasib baik kepada seisi keluarga.

Hal ini disebabkan daun calamus berbau kuat dan bentuknya menyerupai pedang. Arak realgar ialah arak Cina yang dibuat daripada bijirin yang ditapai dan ditambah dengan realgar (arsenic sulphide). Pada zaman dahulu, orang Cina percaya bahawa arak realgar merupakan penawar racun selain dapat membunuh serangga dan menjauhi semangat jahat.

Pada zaman dahulu, masyarakat Cina membuat zongzi sendiri untuk dinikmati seisi keluarga atau dihadiahkan kepada sanak saudara dan sahabat handai. Kini, kebanyakan orang Cina membeli zongzi dari kedai makan atau restoran. Zongzi dibuat daripada beras pulut dan berinti daging, kacang, kuning telur masin, cendawan, pes keladi, pes kacang, udang kering, ikan masin, berangan dan sebagainya. Aroma zongzi berbeza dari satu daerah dengan daerah yang lain di negara China. Terdapat zongzi yang masin dan manis. Dari segi bentuk, zongzi yang berbentuk kon paling biasa dihasilkan.

Selain itu, ada zongzi yang bentuknya memanjang atau berbentuk seperti bantal, pagoda dan tanduk. Dari segi saiz, zongzi daripada suku kaum Hainan paling besar, iaitu berbentuk seperti bantal dan beberapa kali ganda lebih besar daripada zongzi lain. Ada zongzi tanpa inti yang beras pulutnya direndam di dalam air berakali sebelum dimasak. Pada zaman moden ini, ada juga zongzi kristal yang berwarna-warni dan lut cahaya yang dibuat daripada tepung sagu.

Naga dianggap sebagai semangat air yang berhati baik. Naga melambangkan tenaga yang, dan dipercayai juga berperanan mengawal hujan. Oleh itu, dewa naga disembah pada musim panas agar mendatangkan hujan secukupnya supaya tanaman menjadi tetapi tidak berlebihan sehingga mengakibatkan berlakunya kejadian banjir. Naga Cina mempunyai kepala yang menyerupai kuda, badan yang menyerupai ular, sayap seperti burung dan empat atau lima kaki. Selain itu, naga juga menjadi lambang kepada Maharaja Cina yang memperlihatkan kuasa, kekayaan dan kemakmuran.

Pesta Lumba Perahu Naga berkaitan dengan dewa naga atau Qu Yuan. Qu Yuan ialah menteri yang setia di negara Chu. Qu Yuan telah mengingatkan Raja Huai negara Chu tentang ancaman daripada negara Qin di utara. Raja Huai tidak mengendahkan nasihat daripada Qu Yuan sebaliknya Qu Yuan disingkirkan. Qu Yuan yang kecewa menghasilkan puisi yang hebat seperti Li Sao dan Jiu Ge. Pada tahun 278 sebelum Masihi, ibu kota Chu jatuh ke tangan Raja Qin, dan Qu Yuan pun membunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Miluo.

Terdapat kisah yang menceritakan bahawa para nelayan cuba menyelamatkan Qu Yuan tetapi tidak berjaya. Oleh itu, mereka membalut nasi dengan daun buluh dan mencampakkannya ke dalam sungai untuk mengelakkan ikan daripada makan mayat Qu Yuan. Demikianlah permulaan amalan makan zongzi. Ada juga kisah yang menceritakan bahawa petani meluncurkan perahu naga untuk menyelamatkan Qu Yuan. Sejak itu, acara lumba perahu naga diadakan secara tahunan pada hari kelima dalam bulan kelima untuk memperingati Qu Yuan.

Sementara itu, perahu naga merupakan perahu kayu yang dibentuk seperti rupa naga Cina. Saiz perahu naga berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain, iaitu antara 40 kaki hingga 100 kaki panjang. Haluan perahu berupa naga dengan mulut yang ternganga dan buritannya berbentuk ekor yang bersisik. Satu upacara suci diadakan sebelum perlumbaan bermula dan perahu naga itu dihidupkan dengan mengecat mata naga. Perahu biasanya dikayuh oleh 30 orang hingga 60 orang.

Mereka mengayuh perahu secara serentak dengan laju mengikut rentak pukulan gendang. Pasukan yang pertama mencabut bendera di garisan penamat dianggap sebagai pemenang. Dipercayai bahawa pasukan yang menang akan dilimpahi tuah dan hidup bahagia . Antara acara lumba perahu naga yang paling terkenal adalah yang diadakan di Hong Kong, Guangzhou dan Hangzhou.

Sebelum hari pesta lumba perahu naga tiba, ibu bapa biasanya membuat kantung wangi untuk anak-anak mereka. Kantung itu dibuat daripada kain sutera dan berisi daun herba untuk menjauhi penyakit dan nasib buruk. Kantung itu digantung pada leher kanak-kanak atau diikat pada bahagian hadapan baju mereka sebagai perhiasan.

Oleh sebab Pesta Duanwu berkaitan dengan bulan berbisa, adalah kurang wajar apabila kita menyapa seseorang dengan ucapan “Semoga gembira menyambut Pesta Duanwu”. Sebaliknya, ucapan yang lebih sesuai ialah “Semoga selamat dan sihat menyambut Pesta Duanwu”. Terdapat juga kepercayaan bahawa jika seseorang dapat menegakkan telur mentah tepat pada tengah hari Pesta Duanwu, dia akan dilimpahi tuah sepanjang tahun.

Selain itu terdapat juga amalan melekatkan gambar Zhung Kui (dewa fahaman Tao yang dipercayai dapat menawan segala hantu dan semangat jahat) pada pintu untuk menghalang nasib buruk yang mungkin melanda mereka. Terdapat amalan di Taiwan, iaitu amalan mengambil air dari perigi pada petang hari Pesta Duanwu kerana dipercayai bahawa air tersebut dapat mengubati pelbagai penyakit.

Pada hari ini, sambutan Pesta Duanwu masih popular dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia. Malahan, zongzi atau cang (termasuk yang halal) telah menjadi makanan kegemaran masyarakat Malaysia yang berbilang kaum tanpa mengira hari dan musimnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.