5 Jun 2024, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Gawai Dayak merupakan perayaan yang diraikan masyarakat pelbagai kaum Dayak di Sarawak. Perayaan ini disambut pada 1 Jun setiap tahun dalam suasana meriah di seluruh Sarawak. Perayaan Hari Gawai atau lebih mesra disebut sebagai Ari Gawai dalam bahasa Iban, Andu Gawai atau Hari Gawea dalam dialek bahasa Bidayuh, menjadi simbolik yang memperlihatkan perpaduan, aspirasi dan harapan kaum Dayak di Sarawak.

Konsep perayaan Gawai ini disambut dalam pelbagai cara dan maksud serta berbeza-beza mengikut suku kaum serta etnik berdasarkan bahagian dan daerah tempat masing-masing. Hari Gawai Dayak merupakan satu tradisi budaya yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Dayak.

Hari Gawai Dayak tidak hanya sekadar perayaan semata-mata, tetapi juga mempunyai makna yang lebih mendalam dalam mengekalkan keharmonian dan kebersamaan di kalangan masyarakat. Dalam perayaan ini, masyarakat Dayak mengadakan pelbagai acara dan aktiviti yang meriah sebagai tanda penghormatan kepada nenek moyang mereka serta menjunjung tinggi budaya dan adat istiadat mereka.

Erti Sebenar Hari Gawai

Secara umumnya, Hari Gawai merupakan hari bagi kaum Dayak memanjatkan kesyukuran atas segala keberkatan, nikmat dan tuah yang dilimpahkan oleh Tuhan. Perayaan Gawai Dayak menuntut masyarakatnya menghargai budaya dan memastikan ”semangat” padi sentiasa dijaga dan terus dihormati selama-lamanya.

Perayaan ini juga untuk meraikan segala hasil usaha dan kerja keras mereka sepanjang tahun. Lebih daripada itu, juga dilihat sebagai suatu permulaan baharu bagi setiap perkara yang ingin dilakukan tidak kira dalam apa-apa jua perkara, sama ada perancangan, pekerjaan mahupun perjalanan.

Pada setiap perayaan Hari Gawai Dayak, masyarakat Dayak berhimpun bersama ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga untuk merayakan kejayaan dan mengharungi masa depan dengan semangat yang baharu. Perayaan ini turut disertai dengan upacara adat, persembahan seni, tarian tradisional, serta makanan khas yang membuka selera.

Masyarakat Dayak menganggap Hari Gawai Dayak sebagai saat yang paling penting untuk mengerat talian persaudaraan dan memperkuat hubungan sosial dalam kalangan mereka. Setiap ahli keluarga akan memperagakan pakaian tradisi mengikut kaum masing-masing. Makanan dan juadah tradisional seperti ayam pansuh, lemang pulut hitam, nasi merah dan umai ikan turut disediakan sebagai menu utama. Sambutan hari Gawai merupakan peluang untuk memartabatkan kebudayaan, adat istiadat, serta seni tradisional masyarakat Dayak kepada generasi muda dan masyarakat setempat agar tidak lapuk ditelan zaman.

Perayaan Gawai Dayak mula disambut secara besar-besaran sejak 25 September 1964 apabila Hari Gawai diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama adalah pada 1 Jun 1965. Musim perayaan ini berlangsung selama sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir bulan Jun setiap tahun.

Aktiviti Perayaan Hari Gawai Dayak

Perayaan Hari Gawai Dayak menjadi tumpuan dengan pelbagai acara yang diadakan di seluruh Sarawak. Antara acara utama yang disertai oleh masyarakat adalah Rumah Terbuka Hari Gawai, persembahan kebudayaan, pameran makanan tradisional, serta perarakan dan bazar Gawai.

Perayaan Hari Gawai Dayak bukan sahaja menjadi tarikan kepada penduduk tempatan, malah turut menarik minat para pelancong dari dalam dan luar negara. Bagi mereka yang ingin merasai sendiri keunikan dan keindahan budaya masyarakat Dayak, penganjuran Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak merupakan aktiviti wajib yang tidak boleh dilepaskan. Sambutan ini mengimbangkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat Sarawak. Ia juga menjadi medium untuk memahami dan menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi yang menjadi kebanggaan negeri ini.

Bersempena dengan perayaan Gawai Dayak, para pelancong tempatan mahupun antarabangsa serta pengunjung dijemput hadir untuk merasai sendiri kemeriahan sambutan ini dan turut menyaksikan kekayaan budaya serta tradisi masyarakat Dayak yang memukau. Perayaan Hari Gawai Dayak di Sarawak merupakan warisan tradisi yang berharga untuk memperkukuhkan semangat persaudaraan dan keharmonian pelbagai kaum.

Melalui tradisi dan adat istiadat yang diwarisi turun-temurun, perayaan ini juga menjadi wadah untuk memartabatkan kebudayaan serta seni tradisional masyarakat Dayak kepada generasi muda dan masyarakat setempat. Lebih daripada itu, perayaan ini juga tidak hanya memperkaya khazanah budaya negara, tetapi juga menjadi aset penting dalam mempromosikan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum bagi memajukan industri pelancongan negara.

Diharapkan agar perayaan ini terus menjadi tonggak kekuatan dalam memperkukuhkan ikatan persaudaraan dan perpaduan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Sarawak. Bagi menghadapi masa depan yang penuh cabaran, marilah kita terus menghargai, memelihara, dan mempromosikan kekayaan budaya serta kepelbagaian etnik di Sarawak. Dengan usaha ini, pastinya kita akan terus melangkah maju sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan tradisi yang membanggakan di mata dunia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.