Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Forum Biblioterapi bertemakan “Pembacaan, Penulisan dan Penyembuhan” di bawah Program Gerakan Membaca 2024 yang diadakan bersempena dengan Hari Pustakawan Malaysia, bertempat di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Aras 2 Menara DBP pada pagi tadi.
Program yang menjadi medan perkongsian ilmu tentang kaedah biblioterapi ini dimulakan dengan ucapan perasmian daripada Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Rahman Shaari. Memetik ucapan dalam perasmiannya, beliau menyatakan hasrat untuk melihat generasi muda yang berjiwa sihat dan bebas daripada masalah depresi.
“Hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang bebas depresi dengan membaca bahan-bahan biblioterapi dalam kalangan masyarakat memerlukan komitmen yang tinggi dan berterusan serta sumber bersepadu yang merentas pelbagai sektor dan segala penggiat literasi di negara ini.”
Forum yang memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kaedah biblioterapi ini menampilkan tiga orang panel yang pakar dalam pelbagai bidang, iaitu Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah Abdul Aziz dan Encik Ramlan Ramli dari Unit Pengurusan Psikologi, Penjara Sungai Buloh. Profesor Madya Dr. Masitah Ahmad dari Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan pula bertindak sebagai pemudah cara forum.
Puan Rafidah Abdul Aziz yang juga Presiden Persatuan Biblioterapi Malaysia (PERBIMA) menyatakan bahawa biblioterapi merupakan suatu pendekatan terapeutik menggunakan buku, kata motivasi, artikel, sajak, cerita, lirik lagu, filem dan video motivasi sebagai sokongan kepada individu dalam mengenal pasti masalah berkaitan emosi, psikologi dan tingkah laku.
Menurut beliau lagi, sasaran biblioterapi adalah untuk mengatasi masalah berkaitan jiwa, emosi dan tingkah laku dengan menggunakan bahan bacaan untuk membantu seseorang individu dengan memberikan mereka sokongan, motivasi, panduan dalam menyelesaikan masalah, membuat keputusan dan seterusnya mampu untuk menikmati hidup yang bahagia.
Tambah beliau, pustakawan turut memainkan peranan penting untuk mempromosi dan menyediakan bahan bacaan yang tepat dan berkualiti kepada pembaca agar mereka mendapat kebaikan melalui bahan tersebut dan menjadikan buku sebagai terapi jiwa dan emosi.
Buku pula diibaratkan seperti jendela yang membuka mata minda dan hati pembaca melalui keindahan susunan kata yang terkandung di dalamnya.
Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin dalam forum tersebut memetik kata-kata hikmah Umar al-Khattab, “Siapa yang tidak berterapi dengan al-Quran, maka Allah tidak akan memberi kesembuhan. Dan siapa yang tidak merasa cukup dengan al-Quran, maka Allah tidak akan memberikan kecukupan kepadanya.”
Beliau turut menyatakan bahawa kaedah biblioterapi ini sudah wujud sekian lamanya namun tidak popular dalam kalangan rakyat Malaysia seperti di luar negara kerana kurang pendedahan dan pengetahuan berkaitan Biblioterapi. Malah, katanya lagi surah pertama iaitu al-Alaq adalah ayat pertama yang menyuruh kita membaca kerana dapat membantu menganalisis maklumat dalam al-Quran yang juga dikenali sebagai al-Syifa atau pun penawar kepada penyakit dan kesembuhan.
Sementara itu, Encik Ramlan Ramli berkongsi pengalaman beliau dalam memberi kefahaman kepada penghuni di Penjara Sungai Buloh tentang manfaat ilmu biblioterapi sebagai platform untuk merawat minda dan jiwa tanpa menggunakan sebarang bantuan ubat-ubatan.
Selain itu, kaedah biblioterapi juga mampu membantu golongan ini untuk berfikir dengan lebih matang dan menyelesaikan masalah yang dihadapi secara realistik dan rasional melalui pemilihan bahan bacaan yang tepat bagi membentuk akhlak yang lebih baik dan sempurna. Yang jelasnya, ada kebahagiaan dalam membaca jika kita mampu menemukan buku yang tepat dan serasi dengan jiwa dan emosi kita.
Forum yang dianjurkan ini mampu menyemai penghayatan orang awam khususnya generasi muda terhadap hasil penerapan nilai-nilai positif melalui karya sastera selain memberi kesan yang baik dari aspek perkembangan bahasa dan komunikasi, kognitif serta personaliti.
Forum yang bermanfaat ini turut dihadiri oleh karyawan DBP, pelajar-pelajar universiti dan tetamu undangan yang terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan berdekatan.