Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Minggu Budaya Malaysia 2024 bersempena dengan 8th China-Eurasia Expo 2024 yang berlangsung selama lima hari dari 26 hingga 30 Jun 2024 yang lalu di Urumqi, Xinjiang, China berjaya mengangkat dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Pavilion Malaysia mencuri tumpuan pengunjung apabila Pavilion Malaysia satu-satunya negara yang mengetengahkan kebudayaan dan pelancongan di 8th China–Eurasia Expo berbanding pavilon negara-negara lain yang berteraskan aktiviti perdagangan sahaja.
Sepanjang penganjuran Minggu Budaya Malaysia ini, Pavilion Malaysia menyerlahkan keunikan reka bentuk berkonsepkan tanjak, songket dan pelbagai elemen kebudayaan sehingga berjaya menarik lebih daripada 55 ribu pengunjung.
Sesi interaktif seperti persembahan kebudayaan dan demonstrasi makanan warisan, Teh Tarik dan Roti Canai serta promosi Raja Buah iaitu Durian, khas dari Malaysia menjadi tarikan utama pengunjung untuk mengunjungi Pavilion Malaysia.
Menurut MOTAC, Sesi Business to Business (B2B) yang melibatkan Tourism Malaysia dan Islamic Tourism Centre juga mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan yang mewakil Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, telah diundang untuk menghadiri Majlis Makan Malam sempena pembukaan 8th China-Eurasia Expo di Urumqi, Xinjiang, China.
Majlis Makan Malam tersebut dikendalikan oleh TYT Ma Xingrui, Secretary of the Party Committee of the Xinjiang Uygur Autonomous Region dan TYT Erkin Tuniyaz, Chairman of the Xinjiang People’s Government of the Autonomous Region.
YB Timbalan Menteri juga telah menghadiri Majlis Perasmian 8th China-Eurasia Expo pada 26 Jun 2024 lalu yang turut dihadiri oleh para pemimpin tertinggi daripada beberapa negara termasuk Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Kazakhstan.
Malaysia merupakan satu daripada negara tetamu khas yang diberikan slot intervensi ketika Mesyuarat Meja Bulat yang dihadiri oleh para pemimpin tertinggi beberapa negara, termasuk China, serta pertubuhan seperti Pengerusi Pusat Eropah-Asia China.
YB Timbalan Menteri juga menyampaikan kenyataan negara yang menekankan aspek kerjasama hubungan dua hala Malaysia dan China terutama dalam bidang kebudayaan dan pelancongan, lebih-lebih lagi sempena sambutan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang ke-50 pada tahun ini.
Dalam pada itu, TYT Ma Xingrui amat berbesar hati dan teruja dengan Minggu Budaya Malaysia serta menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Malaysia atas usaha negara dalam mengekalkan hubungan budaya dua hala yang kukuh dengan China.
Malaysia merupakan satu-satunya negara yang diundang untuk mempromosikan kebudayaan dan pelancongan sempena ekspo ini dengan Pavilion Malaysia yang bertemakan “Malaysia Truly Asia“.
Kejayaan pelaksanaan Minggu Budaya Malaysia 2024 ini merupakan gabungan usaha padu Kementerian dan jabatan atau agensi di bawahnya melalui Bahagian Pengurusan Acara, Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan, Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya, Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre (ITC) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) World Culture Organisation (WCO).
MOTAC komited untuk meneruskan kerjasama erat antara agensi bawah Kementerian dan NGO dalam usaha untuk memartabatkan lagi seni, budaya dan warisan negara di samping mempromosikan pelancongan Malaysia di peringkat antarabangsa.