5 Julai 2024, 08:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat Jawa di Malaysia mempunyai budaya tersendiri yang sesetengahnya telah berasimilasi dengan masyarakat tempatan.  Antara budaya tersebut termasuklah budaya kenduri dan tatacara jemputan atau undangan ke majlis kenduri.

Kenduri dalam Kamus Dewan Edisi Keempat didefinisikan sebagai perjamuan makan (yang lazimnya didahului oleh zikir, doa, dan sebagainya) kerana sesuatu tujuan keagamaan (minta berkat, mendoakan orang yang telah meninggal dunia, memperingati sesuatu peristiwa dan lain-lain).  Kenduri dalam masyarakat Jawa yang disebut sebagai “selamatan”, merupakan majlis kesyukuran yang meraikan jiran tetangga, saudara-mara, kenalan dan rakan-rakan.

Masyarakat Jawa banyak terdapat di Johor, Selangor dan Perak. Kebanyakan masyarakat Jawa yang tinggal di sesuatu kawasan  membentuk kumpulan atau persatuan yang dikenali sebagai pakatan. Ahli pakatan dikira berdasarkan bilangan rumah.  Jika sesuatu kawasan itu mempunyai bilangan rumah yang banyak, maka akan dibahagikan mengikut kawasan kecil seperti kawasan baruh, wetan, kulon, depan atau belakang.  Jika di kawasan felda, kawasan dibahagikan mengikut blok atau di kawasan pekan, kumpulan pakatan dibahagikan mengikut seksyen.

Ahli pakatan terdiri daripada tiga puluh hingga empat puluh buah rumah.  Bilangan rumah ini mengambil kira keluasan rumah ahli yang dapat menampung ahli kumpulan untuk berkumpul apabila mahu mengadakan aktiviti dan persiapan tuan rumah untuk menyediakan jamuan yang sesuai dengan bilangan ahli. Tempoh giliran untuk sesuatu majlis yang akan diadakan lebih kurang 40 minggu sekali.

Melalui kumpulan ini pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan diadakan.  Antaranya termasuklah aktiviti berkala seperti bacaan surah Yasin, bermain kompang, jidur, kempling, berzanji, berselawat dan sebagainya.  Melalui perkumpulan ini ada beberapa kebiasaan atau adat yang tidak tertulis yang harus dipatuhi oleh setiap ahli terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan undangan atau jemputan kenduri dan jamuan.

Antara aktiviti yang menjadi kemestian kumpulan masyarakat Jawa atau majlis mingguan termasuklah majlis bacaan surah Yasin atau disebut sebagai yasinanYasinan diadakan pada setiap malam Jumaat secara bergilir-gilir di rumah ahli kumpulan.  Tujuan lain yasinan diadakan adalah untuk berkumpul dan bertemu serta membincangkan perkara berbangkit dalam kalangan masyarakat setempat.  Hal tersebut juga bertujuan untuk mengimarahkan rumah kediaman dengan bacaan al-Quran.

Sebelum majlis berlangsung, kaum perempuan sibuk membuat persiapan, terutamanya menyediakan juadah untuk jamuan. Mereka akan mengundang jiran terdekat dan saudara yang rapat untuk membantu memasak makanan di rumah.  Mereka memasak kuih-muih atau lauk-pauk. Pada sebelah petang, apabila makanan sudah siap, mereka membungkus makanan dan dihantar kepada jiran terdekat serta saudara-mara sebagai “punjungan”.

Pada sebelah malam, selepas Maghrib atau Isyak, kaum lelaki iaitu bapa selaku ketua keluarga akan datang ke majlis yasinan.   Jika bapa sudah tiada, anak lelaki menjadi ketua keluarga menghadiri kenduri tersebut.  Pada kebiasaannya, hanya seorang sahaja bagi setiap rumah yang datang ke majlis tersebut.  Jika ketua keluarga tidak dapat datang, maka dia akan mewakilkan seorang ahli keluarga yang tertua ke majlis itu.

Pada kebiasaannya, hidangan disediakan di dalam dulang, kuih-muih pula diisi di dalam pinggan untuk lima orang tetamu.  Cara menghidangkan makanan juga mempunyai tatasusila, iaitu dulang hidangan diberikan kepada orangtua atau orang kenamaan lebih dahulu dengan pinggan dan cawan yang istimewa.  Hal ini merupakan cara untuk memberikan penghormatan kepada golongan ini.

Pada zaman dahulu hidangan cara bufet kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Jawa.  Orang tua dan muda beratur bersama-sama untuk mengambil makanan. Dalam hal seumpama ini, disediakan meja hidangan khas untuk orang tua dan orang kenamaan. Wakil tuan rumah yang menjadi penyambut tetamu akan menentukan individu yang perlu duduk di meja itu.  Pendek kata, dalam masyarakat Jawa, orang tua sangat dihormati termasuklah dalam hal jamuan.

Jika tuan rumah mahu mengundang orang luar daripada pakatan dalam yasinan,  undangan itu disebut sebagai “menimbal”, iaitu tetamu datang selepas majlis selesai.  Tuan rumah sudah menyediakan hidangan khas untuk mereka, iaitu satu hidang untuk lima orang.  Hal ini juga untuk menghormati tetamu dan mengelakkan kekurangan atau hidangan yang berlebihan.

Majlis berzanji dalam kalangan masyarakat Jawa.

Nasi ambeng merupakan hidangan istimewa masyarakat Jawa.  Hidangan nasi ambeng disediakan untuk majlis khusus seperti kenduri potong jambul, majlis berzanji dan selawat serta majlis kesyukuran yang lain. Nasi ambeng disediakan dalam satu dulang dengan lauk-pauk seperti ayam masak kicap atau masak ungkep, mi goreng, tempe goreng, serunding kelapa, ikan kering dan lain-lain.  Lauk-pauk ini tidak terlalu berkuah.  Hidangan ini disediakan untuk tetamu umum.

Sementara itu, dua atau tiga dulang khusus disediakan untuk orang tua dan orang kenamaan, iaitu hidangan ayam bulat masak ungkep atau masak kicap yang disebut “engkong” yang diletak di tengah-tengah nasi.   Hidangan ini disediakan untuk memberikan penghormatan kepada orang tua dan orang kenamaan sebagai hidangan yang istimewa.

Nasi ambeng tidak dimakan di tempat kenduri, sebaliknya disediakan daun pisang dan kertas pembungkus.  Tetamu akan membungkus nasi dan lauk untuk dibawa pulang.  Satu dulang untuk lima orang sebagai oleh-oleh dan dimakan bersama-sama ahli keluarga di rumah.

Pecal juga merupakan menu hidangan istimewa dalam kenduri masyarakat Jawa.  Pecal merupakan sayur-sayuran seperti daun ubi, kacang panjang, kangkung, daun keledek, tempe goreng dan lain-lain serta dimakan dengan sambal pecal.  Pecal dimakan di tempat kenduri dan tidak dibawa pulang seperti nasi ambeng kerana pecal yang dicampur taugeh  mudah basi jika disimpan lama.

Masyarakat Jawa sangat beradab untuk menjemput tetamu menghadiri majlis kenduri.  Dalam majlis yasinan yang diadakan setiap minggu, ahli diberitahu dan dijemput untuk majlis kenduri di rumah berikutnya. Tuan rumah boleh membuat persiapan awal untuk kenduri yang bakal diadakan. Ahli keluarga terdekat atau jiran tetangga yang berhajat untuk menyumbangkan sesuatu boleh berbuat demikian pada minggu tersebut.  Sumbangan ini adalah suatu bentuk kerjasama dalam kalangan masyarakat Jawa.

Tuan rumah juga akan menerima sumbangan daripada rakan-rakan yang pernah menerima sumbangan daripadanya.  Sumbangan berupa gula, pisang, ubi, keladi dan buah-buahan digunakan untuk menyediakan menu hidangan yang disediakan. Wang juga merupakan bentuk sumbangan bagi menggantikan barangan. Walaupun sumbangan itu tidak wajib dibalas tetapi pada kebiasaanya tuan rumah akan memberikan sumbangan yang serupa apabila rakannya mengadakan kenduri.

Sekiranya tuan rumah mahu mengadakan majlis di luar waktu gilirannya, maka dia boleh membuat undangan seminggu lebih awal kepada ahli-ahli di rumah orang yang mengadakan kenduri.  Jika majlis diadakan secara khusus dan tidak semua ahli pakatan diundang, tuan rumah akan meminta seseorang sebagai wakil untuk mengundang dari rumah ke rumah.

Semenatara itu, jika tuan rumah mahu mengadakan majlis yang lebih besar seperti kenduri kahwin, tuan rumah akan memberitahu ketua pakatan untuk mengumumkan jemputan itu bagi pihak tuan rumah. Ketua pakatan juga akan mewakili tuan rumah untuk menjemput semua ahli pakatan bergotong-royong atau rewang.  Hal ini boleh dibuat sama ada tuan rumah mengadakan majlis khas untuk membuat pengumuman itu atau di majlis yasinan di rumah giliran orang lain.

Gotong-royong atau rewang dimulakan dengan mendirikan balai sehinggalah selesai majlis kenduri. Jemputan rewang pada kebiasaannya juga melibatkan untuk semua ahli keluarga. Tuan rumah yang mahu menjemput orang luar daripada pakatan, akan melantik wakil untuk mengundang mareka. Kepada ahli tertentu, seperti orang tua atau pemimpin masyarakat, tuan rumah perlu datang sendiri ke rumah orang berkenaan untuk mengundang mereka.

Membentuk pakatan yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan menjalankan aktiviti keagamaan, kebudayaan, kenduri, jemputan dan gotong-royong sudah menjadi kemestian untuk masyarakat Jawa di sesuatu kawasan.

Di sesetengah kawasan pula, budaya ini mengalami perubahan ke arah budaya yang lebih mudah.  Amalan membaca surah Yasin lebih banyak dilakukan di surau atau masjid.  Jamuan atau kenduri kini diadakan secara bufet atau disediakan nasi bungkus, minum di warung atau restoran yang disediakan secara katering.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.