20 Julai 2024, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mak andam bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk mencantikkan bakal pengantin, bahkan turut memberikan didikan yang berkaitan dengan rumah tangga bagi mempelai pasangan. Mak andam memainkan peranan penting sebagai “tekong” majlis dalam istiadat perkahwinan masyarakat Melayu pada zaman dahulu.

Kemahiran mak andam bukan sahaja mahir dalam menguruskan susun atur majlis perkahwinan dan juga mencantikkan jasmani bakal pengantin sebelum bermula majlis perkahwinan, malah juga bertanggungjawab dari segi aspek kerohanian bakal mempelai pengantin lelaki dan perempuan sebagai persediaan sebelum melayari ranjau kehidupan rumah tangga.

Mak andam dikatakan mempunyai ilmu yang mampu mengenal pasti bagi pasangan mempelai, sama ada pasangan mempelai tersebut masih mempunyai perawan atau tidak. Di daerah Muar, Johor misalnya, terdapat upacara yang dikenali sebagai upacara “Memotong Berajan” yang dilakukan oleh mak andam untuk menentukan sama ada bakal pengantin perempuan tersebut masih mempunyai dara ataupun tidak.

Semasa upacara tersebut dijalankan, hanya ibu pengantin perempuan sahaja yang dibenarkan untuk berada di dalam bilik ketika istiadat upacara ini dijalankan. Bahan yang diperlukan oleh mak andam untuk melaksanakan upacara ini adalah berbeza-beza. Antara bahan yang lazim yang diperlukan untuk upacara tersebut termasuklah sebiji kelapa tua, tin beras (sukatan tin susu pekat), kain putih dua ela, sepasang persalinan pakaian pengantin yang baharu, gunting, paku dan cermin, asam dan garam.

Dalam upacara tersebut, bakal pengantin perempuan akan duduk menghadap kiblat dan tujuh helai rambut akan dipotong dengan menggunakan gunting kecil sama paras dengan lubang hidung bersama-sama bacaan ayat tertentu. Rambut yang tinggal tetap berada di tempat asal sekiranya pengantin masih mempunyai dara. Tetapi, jika daranya sudah hilang, rambut tadi bergerak-gerak seolah-olah hidup selepas dipotong. Rahsia keperawanan bakal pengantin perempuan setelah upacara tersebut hanya diketahui oleh mak andam dan ibu pengantin sahaja.

Berbeza pula di Kampung Tanjung Bidara Pulau Tiga, daerah Parit di Perak, mak andam menentukan keperawanan bakal pengantin perempuan dengan cara memotong hujung rambut di bahagian dahi, bulu pelipis kanan dan bulu pelipis kiri. Mak andam dapat mengetahui kedudukan dara bakal pengantin perempuan dengan kedudukan rambut setelah jatuh digunting.

Sekiranya potongan anak rambut yang jatuh membentuk seperti bulatan, menunjukkan bahawa pengantin sudah tiada lagi dara. Sekiranya rambut yang jatuh itu membentuk lengkung menghala ke kiri, menunjukkan bahawa bakal pengantin tersebut masih mempunyai dara.

Kaedah lain untuk mengetahui bakal pengantin tersebut masih mempunyai dara ialah dengan cara mengurut tiga helai anak rambut di dahi sebanyak tiga kali dengan jari kanan. Setiap urutan, bacaan dan jampi mantera turut dibaca oleh mak andam semasa proses pengurutan dilakukan. Bahagian dahi ditiup oleh mak andam dan dilepaskan.

Jika bakal pengantin tersebut masih mempunyai dara, ketiga-tiga helai itu akan tetap lurus ke bawah untuk beberapa ketika, kemudiannya baru naik ke atas perlahan-perlahan kembali seperti sedia kala. Jika rambut tadi naik ke atas sebaik-baik sahaja dilepaskan, menunjukkan bahawa bakal pengantin tersebut tidak mempunyai dara lagi.

Menurut pendapat bagi mak andam, wanita yang masih mempunyai dara adalah sangat penting. Hal ini dikatakan demikian kerana kesucian bagi wanita yang masih mempunyai dara akan menjadikan wajah bakal pengantin perempuan tersebut sentiasa berseri ketika majlis bersanding berlangsung.

Bagi bakal pengantin perempuan yang tidak mempunyai dara, wajah bakal pengantin tersebut akan kelihatan tidak bermaya, muram dan hilang serinya. Terutamanya di bahagian kening mata. Bagi mak andam, merupakan satu tugas yang sukar bagi dirinya untuk mengembalikan seri muka bagi bakal pengantin yang sudah hilang.

Persoalannya, mengapakah mak andam melakukan upacara istiadat seperti ini? Terdapat beberapa sebab yang penting mengapa upacara ini perlu dilakukan dan antaranya termasuklah untuk mengekalkan kesucian seseorang wanita. Masyarakat Melayu terdahulu amat menitikberatkan tentang soal agama dan kesucian wanita. Rahsia ini hanya diketahui oleh mak andam, mempelai dan ibu bapa sahaja. Oleh sebab itu, tidaklah mengaibkan bakal pengantin tersebut di khalayak masyarakat.

Sebaliknya, istiadat ini merupakan sesuatu yang “menakutkan” bagi anak muda yang masih belum berkahwin. Hal ini dikatakan demikian kerana anak muda baik lelaki mahupun perempuan akan takut untuk melakukan maksiat lantaran perbuatannya itu bakal diketahui oleh mak andam yang mempunyai kepandaian dalam mengesan keperawanan wanita.

Hal ini dapat mendidik anak-anak muda agar lebih berjaga-jaga dan berdisiplin dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dan Muslimah di muka bumi ini. Jika difikirkan semula, upacara istiadat seperti ini merupakan satu mekanisme yang bijaksana bagi menuruti syariat Islam dalam kalangan masyarakat Melayu.

Namun begitu, upacara istiadat seperti ini sudah tidak dilakukan oleh masyarakat pada masa ini. Upacara istiadat seperti ini semakin hari semakin ditinggalkan oleh peredaran masa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.