Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Biarpun pelbagai genre seni hadir mewarnai industri hiburan dan budaya di Malaysia, namun warisan seni nasyid, tazkirah, sajak dan syair tetap kekal relevan ibarat kata pepatah tak lapuk di hujan, tak lekang di panas.
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) menerusi Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) telah mengadakan Program Persembahan Maal Hijrah – Nasyid, Tazkirah, Sajak, Syair di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.
11 kumpulan telah menyertai pertandingan ini bagi menyerlahkan bakat selain bersaing untuk muncul sebagai pemenang pertandingan.
Pengarah program merangkap Ketua UHEI, Ustazah Nor Baihah Daud menerusi ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program tersebut.
“Sekalung tahniah dan penghargaan kepada ahli jawatankuasa program yang bekerja keras dan bertungkus-lumus untuk menjayakan program ini meskipun terhimpit dengan tugasan-tugasan yang lain,” kata beliau.
“Dengan penyertaan yang amat memberangsangkan ini, UHEI akan menghidupkan semula program nasyid kerana sudah lama tidak diadakan di kampus ini,” tambah beliau lagi.
Persembahan oleh para peserta pertandingan telah diadili oleh Ustaz Rohisyam Abidin dari Sekolah Menenegah Kebangsaan Tengku Budriah dan Encik Umar Mukhtar Mahamad dari Kolej Universiti Islam Perlis berdasarkan penilaian kriteria nasyid sebanyak 50% manakala kriteria tazkirah, sajak dan syair sebanyak 50%.
Sementara itu, Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Islam), Ustaz Mohd Rizal Hanafi berkata, penganjuran program tersebut menjadi satu platform semangat setia kawan dan muhibah dalam usaha memantapkan selain meningkatkan elemen inovasi serta kualiti kerja.
“Bukan sahaja semangat kebersamaan dan bekerjasama dapat dipupuk, malahan para peserta juga dapat menyerlahkan bakat yang terpendam dan menjanakan idea-idea bernas dalam melakukan gerak dan mesej persembahan,” kata beliau.
“Penganjuran program ini juga menghidupkan seni dan budaya nasyid yang berperanan sebagai elemen komunikasi berbentuk hiburan dalam menyampaikan mesej kemanusiaan, nasihat, jati diri, ketuhanan, ketamadunan, patriotisme, kebangsaan, kekeluargaan dan isu semasa selaras dengan hukum dan pandangan agama Islam,” tambah beliau lagi.
Pertandingan nasyid pada kali ini menyaksikan kumpulan Ikhwanul Miski dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dinobatkan sebagai johan. Naib johan pula disandang oleh kumpulan Hannan dari Fakulti Perakaunan manakala kumpulan Khalifah Nur yang mewakili Bahagian Hal Ehwal Pelajar mendapat tempat ketiga.
Sementara itu, kumpulan Al-Bushra (Bahagian Pentadbiran), kumpulan As Siddiq (Gabungan Unit Makmal Sains dan Ladang), kumpulan Al-Fasiliti (Bahagian Pembangunan Fasiliti), kumpulan Muharib Amal (Pejabat Bendahari), kumpulan Al-Farabi (Bahagian Hal Ehwal Akademik), kumpulan Semarak PJIMA (Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan), kumpulan PDJH (Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan) dan kumpulan InfoSinergi (Bahagian Infostruktur) pulang dengan hadiah sagu hati.
Turut hadir menyaksikan pertandingan tersebut ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, YBhg. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim; Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan, YBhg. Profesor. Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, YBhg. Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor.