Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan International Cultural Exchange Program 2024 baru-baru ini di Anjung Siswa, UiTM Cawangan Perlis.
Program ini disertai oleh delegasi dari Nakhon Si Thammarat College of Dramatic Arts yang diketuai oleh YBrs Pengarah, Puan Sujitra Mina dan YBrs Penolong Pengarah, Puan.Knarat Buathong.
Delegasi Nakhon Si Thammarat College of Dramatic Arts yang terdiri daripada ahli akademik dan mahasiswa tiba ke UiTM Cawangan Perlis dan dibawa menghadiri perjumpaan bersama YBhg. Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.
YBhg. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, merakamkan penghargaan dan mengalu-alukan kehadiran delegasi Nakhon Si Thammarat College of Dramatic Arts bagi menjayakan program tersebut.
“Kehadiran delegasi Nakhon Si Thammarat College of Dramatic Arts bukan sahaja mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak malah memberikan peluang untuk memahami budaya yang diterjemahkan dalam seni tarian tradisional, “katanya
“Seni tari sentiasa menjadi jambatan yang merentas sempadan antara budaya dan dalam konteks ini adalah antara budaya tradisional Malaysia dengan Thailand,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, Encik Ahmad Muaz Mahzair berkata, program yang bertemakan Menjelajah Budaya Antarabangsa melalui Tarian Pelbagai Budaya itu sejajar dengan komitmen UiTM untuk menggalakkan pemahaman budaya dan penghayatan seni sejagat dalam kalangan warga UiTM.
“Program ini dianjurkan untuk memperkenalkan dan mengangkat kesenian tradisional Melayu terutamanya di negeri Perlis dan Thailand selain menyuburkan program pengantarabangsaan di UiTM Cawangan Perlis,” katanya.
Pada waktu petang pula diadakan bengkel budaya yang melibatkan peserta mempelajari seni tarian tradisional Malaysia dan Thailand menerusi tunjuk ajar oleh fasilitator.
Mengulas tentang bengkel tersebut, Penolong Pegawai Kebudayaan, Puan Nor Fadhilah Mohamad Noor Akae berkata, program itu memberikan peluang terutamanya kepada peserta daripada Malaysia untuk mempelajari, menghayati dan meningkatkan ilmu pengetahuan berkenaan budaya negara Thailand, iaitu keunikan gerak tari dan persembahannya.
Beliau juga berkata melalui program ini, peserta dapat meningkatkan elemen kreativiti, mempelajari bahasa asing dan memupuk pemahaman tentang kebudayaan masyarakat yang berlainan bangsa dan agama.
“Sesi ini dapat meningkatkan kesedaran peserta untuk melestarikan serta mempromosikan tarian Melayu yang mempunyai nilai estetika tersendiri,” kata beliau.
Pada sebelah malam pula diadakan Majlis Pertukaran Budaya Antarabangsa dengan para peserta mempersembahkan tarian tradisional masing-masing.
Persembahan pembukaan menampilkan kumpulan Colour Guards UiTM Cawangan Perlis dan diteruskan dengan beberapa selingan persembahan daripada para peserta program.