Oleh Putraery Ussin
6 September 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Ketil – Timbalan Naib Canselor Kelestarian Institusi dan Jaringan Industri Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), YBrs. Prof. Ahmad Rozelan Yunus menekankan kepentingan mencari ilmu dan mewujudkan budaya membaca dalam perkukuhkan daya saing sesama rakan sekerja.

Beliau menyatakan perkara sedemikian ketika merasmikan Program Bicara Buku Parasit di Tempat Kerja sempena Dekad Membaca Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Kedah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) di Perpustakaan UniSHAMS, semalam.

Dalam ucapan perasmian, beliau memperlihatkan budaya membaca merupakan asas yang akan membentuk karakter pekerja dan pemimpin masa depan.

“Dengan membaca, setiap orang akan menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kreativiti dan sudah tentu akan melatih diri untuk lebih berdisiplin”

“Perkara-perkara ini akan membentuk sahsiah diri agar terhindar daripada melakukan kerja yang sia-sia dan membuang masa.” Ujar beliau.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau sekali lagi menegaskan bahawa budaya membaca merupakan amalan yang baik dan penting.

“Dengan membaca serta berdiskusi, kegiatan ini mampu membuka mata terhadap cabaran yang sering kali tidak disedari dalam organisasi.

“Sebagai contoh karya Parasit di Tempat Kerja, buku ini perlu dibaca oleh semua orang terutamanya yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran. “

Terdahulu Bicara buku Parasit di Tempat Kerja telah menampilkan barisan panel yang berwibawa, iaitu Prof. Dr. Ab Aziz Yusof (pengarang buku) Dr. Zaidi Fadzil (Pensyarah UniSHAMS) dan Puan Noor Halizawati Abd Ghani.

Sesi perbincangan ini dikendalikan oleh Dr. Husairi Hussin selaku moderator dan mereka memperincikan isu-isu di tempat Kerja, terutamanya tentang elemen parasitisme serta ketidakadilan yang boleh memberi kesan buruk kepada produktiviti dan suasana kerja.

Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari ini berjaya mencipta ruang diskusi yang segar dalam memperkasakan masyarakat dengan pandangan baru tentang budaya kerja sihat dan pentingnya peranan setiap individu dalam menangani masalah ‘parasit’ di tempat kerja.

Selain diskusi, para peserta turut berpeluang bertukar pandangan secara langsung dengan para panel yang menjadikan program ini bukan sekadar wacana ilmiah tetapi juga platform untuk memupuk budaya kerja positif dalam kalangan masyarakat setempat.

Pembicara karya bersama-sama hadirin yang hadir dalam Program Bicara Buku Parasit di Tempat Kerja di Perpustakaan UniSHAMS, semalam.

Lebih daripada 70 peserta yang terdiri daripada guru, pelajar, masyarakat setempat serta ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) telah hadir memeriahkan program tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.