11 September 2024, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Menjelang Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) terus dimeriahkan dengan hiasan bendera Jalur Gemilang di segenap ruangan kampus.

YBrs Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof Madya Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata UiTM menyokong kempen yang dianjurkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menyemai perasaan cinta akan negara dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warganya.

“Melalui kempen kibar Jalur Gemilang di setiap ruang kampus, warga dapat menyemai perasaan bangga, cinta dan hormat kepada Jalur Gemilang sejajar dengan tema sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka’,” kata beliau.

“Jalur Gemilang merupakan representasi Malaysia dan terus menjadi inspirasi di mana-mana sahaja kita berada,”

“Amatlah wajar semangat ini meresap dalam jiwa warga yang akan terus mempateri komponen patriotisme bagi merapatkan perpaduan dan integrasi kaum warga UiTM,” tambah beliau lagi.

Staf Pejabat Bendahari UiTM Cawangan Perlis menghias ruang pejabat dengan bendera Jalur Gemilang.

Sementara itu, Koordinator Unit Komunikasi Korporat, Puan Eliy Nazira Mat Nazir berkata, memasang bendera di pejabat-pejabat UiTM Cawangan Perlis menunjukkan semangat patriotisme tinggi warga UiTM.

“Seharusnya semua pihak mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan menggunakan ruang serta peluang secara optimum, tidak kira di rumah, pejabat, mahu pun bendera yang kecil yang dilekat atas kenderaan,” katanya.

“Perlu diingat bahawa semangat patriotisme tidak diukur oleh saiz bendera yang dikibarkan. Perasaan cinta terhadap negara yang ikhlas dan jujur cukup memadai.

 “Jadi, ayuh bersama-sama kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda inspirasi, pedoman dan peringatan untuk semua,” tambah beliau lagi.

Bangunan PJIM&A UiTM Cawangan Perlis dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang.

Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, Puan Rohayu Ramli berkata kempen mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan pejabat adalah bertepatan dengan usaha mewujudkan perasaan cinta akan tanah air terutamanya oleh golongan mahasiswa.

“Segelintir mahasiswa hari ini masih tidak memahami secara total maksud di sebalik bentuk, warna dan nama Jalur Gemilang yang menjadi simbol kedaulatan dan kemerdekaan negara,“ kata beliau.

“Oleh hal yang demikian, kempen ini boleh memupuk semangat cinta akan negara terutamanya oleh golongan mahasiswa muda yang berulang-alik melalui premis-premis perniagaan dan bangunan-bangunan pentadbiran dalam UiTM yang dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang,“ tambah beliau lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.