Oleh Avatar photo Lutfi Zahid
16 September 2024, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

ArauPemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menjadi hos untuk Majlis Makan Malam “Perlis Soiree” bagi meraikan delegasi persidangan Proposed ASEAN – China Heritage Dimensions of National Arts (DNA) Initiative 2024 di Galeri Diraja Arau, baru-baru ini.

Majlis yang bertemakan “Kampung Melayu” ini dihadiri oleh para peserta dari Indonesia, Laos, Thailand, Myanmar, Kemboja, Singapura dan China.

Selain dijamukan dengan menu makan serta kuih-muih tradisional kampung, para peserta dapat beramah mesra bersama-sama Baginda berdua.

Para peserta turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik seperti beberapa permainan tradisional batu seremban, boling kelapa dan terompah gajah menggunakan tempurung kelapa.

Turut sama hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Budaya), Kementerian Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Datuk Mohd Yusri dalam ucapan menjunjung kasih menyatakan bahawa selain mempromosikan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024, persidangan DNA ini bertujuan untuk menggalakkan pertukaran budaya dengan dialog dan interaksi dalam kalangan peserta untuk memupuk rasa hormat, persefahaman dan penghargaan terhadap warisan budaya yang pelbagai di negara ASEAN.

Majlis Makan Malam “Perlis Soiree” diadakan di Galeri Diraja Arau, Perlis.

Beliau yakin akan hubungan budaya dalam ASEAN, di samping hubungan antara ASEAN dengan China akan terus bertambah kukuh. Warisan bersama yang diraikan pada hari ini bukan sekadar pautan pada masa lalu, bahkan asas untuk masa depan negara dan masyarakat.

“Perlis menawarkan pengalaman budaya yang unik dan asli untuk pelancong. Negeri yang menawan ini, walaupun tidak besar, namun kaya dengan warisan dan tradisi.”

“Pengunjung dapat meneroka budaya Melayu tradisional melalui seni tempatan yang rancak, seperti tenunan songket dan sulaman Tekat yang rumit,” tambah beliau.

MOTAC akan terus komited bagi memperkasakan ekosistem inklusif dalam industri pelancongan dan kebudayaan dengan dasar untuk memacu sektor pelancongan dan kebudayaan yang berdaya saing dan mampan yang penting untuk pembangunan sosioekonomi negara ini.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama delegasi persidangan Proposed ASEAN – China Heritage Dimensions of National Arts (DNA) Initiative 2024.

MOTAC juga terus membangunkan tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif yang akan memacu pelbagai sektor ini ke hadapan bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan untuk pelawat dari seluruh dunia, di samping mengekalkan kekayaan warisan budaya tempatan.

Sebagai rekod, persidangan DNA itu yang bermula 8 September 2024 dan berakhir pada 14 September 2024 menjalankan pelbagai aktiviti lawatan dan pengisian kesenian di sekitar Perlis.

Majlis perasmian pada 9 September 2024 lalu juga turut dirasmikan oleh Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis di Kangar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.