Oleh Putraery Ussin
24 September 2024, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gelugor – Dunia penulisan dalam kalangan warga Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) telah diperkaya dengan satu seminar khas bertajuk “Menulis dengan Hati” yang berlangsung di Bilik Mesyuarat 3, Canselori II, semalam.

Seminar ini menekankan kepentingan penulisan artikel yang bermanfaat kepada masyarakat, sekali gus memperkenalkan peluang penerbitan dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry telah dijemput memberi bimbingan dan pendedahan kepada 30 peserta terpilih tentang cara menggabungkan kepakaran akademik dengan penulisan mesra umum.

Puan Julia turut menekankan; “Pentingnya menyampaikan idea akademik dalam bentuk yang mudah difahami oleh orang awam agar manfaat ilmu dapat disebarkan dengan lebih meluas.”

Dengan memfokuskan kepada penulisan berkualiti, seminar ini bertujuan meningkatkan pemahaman peserta mengenai proses penerbitan dan memberi motivasi kepada para pensyarah untuk menghasilkan artikel yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat.

Semasa ucapan perasmian Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob menekankan kepentingan budaya menulis dalam kalangan pensyarah.

“Penulisan bukan sekadar satu medium untuk menyampaikan pengetahuan, tetapi satu cara untuk memantapkan pengaruh intelektual kita dalam masyarakat.

Dengan menulis, pensyarah dapat mengembangkan idea-idea baharu yang bukan sahaja relevan dalam bidang akademik tetapi juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat yang lebih meluas.” Ujar beliau lagi.

Beliau turut menekankan bahawa budaya menulis ini perlu disuburkan agar para pensyarah sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu dan negara.

PPPJJ USM sentiasa komited untuk membentuk pelajar dan kakitangannya menjadi penulis yang dapat menyumbang kepada masyarakat melalui artikel-artikel bermakna yang dapat dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Dengan adanya bimbingan dan peluang seperti yang disediakan oleh seminar ini, warga PPPJJ dapat memanfaatkan peluang penerbitan di platform terkemuka seperti media massa dan majalah DBP, seterusnya meningkatkan keterlibatan mereka dalam arena penulisan nasional.

Seminar ini menandakan satu langkah penting dalam menyatukan dunia akademik dan masyarakat melalui penulisan yang berimpak, seterusnya memperkukuh reputasi USM dalam menghasilkan penulis-penulis berkaliber di masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.