24 September 2024, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tatkala memperagakan pakaian yang berwarna-warni serta mampu menarik perhatian orang ramai, pasti individu itu akan disamakan dengan peminat boria oleh segelintir masyarakat. Penggunaan perkataan “boria” turut digunakan untuk menggambarkan sesuatu keadaan yang riuh.

Namun begitu, adakah masyarakat kini mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan boria dan bagaimanakah bermulanya hiburan tradisional ini yang cukup sinonim dengan Pulau Pinang?

Menurut H.T. Haughton dalam buku Boria: A Form of Malay Theatre, perkataan “boria” dikatakan berasal daripada perkataan Hindustan yang membawa maksud tikar, atau lebih tepat tikar gulung. Perkataan ini muncul oleh kerana kumpulan boria pada masa dahulu gemar menggunakan pakaian yang diperbuat daripada tikar untuk menggambarkan kesengsaraan yang berlaku dalam peristiwa berdarah Karbala.

Ada juga sesetengah pengkaji berpendapat bahawa perkataan boria ini berasal dari perkataan “borai” yang membawa maksud gila. Hal ini dikatakan demikian kerana kelakuan pemain serta pakaian peserta boria dilihat seperti orang kurang siuman dengan nyanyian dan tariannya.

Seni permainan ini sebenarnya mempunyai sejarah dan latar belakang yang cukup panjang serta mencerminkan sendiri percampuran pengaruh budaya yang membentuk identiti masyarakat di Pulau Pinang. Berdasarkan catatan sejarah serta sumber lisan, boria dibawa masuk oleh pedagang dan pelaut dari India yang menetap di Pulau Pinang sejak awal abad ke-19.

Pada awal kemunculannya, boria sangat berkaitan rapat dengan peristiwa memperingati tragedi Karbala yang berlaku pada awal bulan Muharam. Dalam peristiwa tersebut, sebilangan mereka akan meratapi dan bersedih dengan menggambarkannya dalam persembahan boria.

Pendapat ini disokong oleh Ghouse Nasuruddin, iaitu pada awal kemunculan boria, para pengikut bersyair, bersajak dan berlakon sementara ada sebilangan pengikut yang akan meratap sambil mencederakan diri sendiri untuk menggambarkan kesedihan itu. Perubahan masa dan kesedaran orang ramai menyebabkan boria berubah ke arah lebih “lembut” termasuk memperkenalkan pemakaian kostum dalam persembahan.

Tambahan lagi, boria merupakan sejenis seni persembahan yang agak unik dan menarik. Seni persembahan ini menggabungkan elemen teater, muzik, tarian dan nyanyian dalam satu persembahan yang sangat meriah dan penuh dengan ragam serta warna-warni.

Boria mempunyai beberapa struktur dan komponen persembahan. Dari segi bentuk dan genre, boria dahulu dan kini mengandungi dua segmen utama, iaitu sketsa komedi berjenaka yang dilakonkan dalam segmen pertama persembahan, dan diikuti dengan segmen kedua iaitu nyanyian serta tarian dengan iringan muzik. Kedua-dua segmen semuanya berteraskan tema yang sama dengan unsur kritikan sosial kepada masyarakat sering diketengahkan.

Berbalik kepada dua segmen tersebut, boria juga mempunyai lima elemen dalam persembahannya, iaitu sketsa, nyanyian, tarian, muzik dan kostum. Berdasarkan elemen tersebut, terdapat komponen seperti pelakon sketsa, tukang karang, sailor dan pemuzik yang mengalami perubahan elemen kostumnya.

Dalam komponen tersebut, istilah sailor dianggap unik dan sebenarnya merujuk kepada kelasi, pelaut atau pekerja yang berada dalam kapal dengan mempunyai bilangan yang ramai.  Oleh hal yang demikian, penggunaan kata nama sailor yang merujuk kepada penari persembahan berkaitan rapat dengan penjajahan Inggeris di Pulau Pinang.  

Selain itu, persembahan boria mengalami pelbagai perubahan dan evolusi sejak mula diperkenalkan. Walaupun pada asalnya mempunyai pengaruh India, boria telah diserap dan diubahsuai mengikut citarasa dan budaya tempatan. Hal ini juga menerima tempias pengaruh daripada seni persembahan Melayu tradisional lain seperti dikir barat dan bangsawan Melayu.

Pada tahun 1950-an hingga awal tahun 1990-an, boria mencapai zaman kegemilangannya dan dipersembahkan dengan sangat meluas di seluruh Pulau Pinang. Pada masa itu juga, setiap sekolah di Pulau Pinang mempunyai kumpulan boria tersendiri. Kini, boria sedang melalui zaman kemerosotannya dan hanya dipersembahkan di daerah tertentu, di samping dipersembahkan untuk tujuan pelancongan dan Hari Kebangsaan.

Penggiat seni persembahan boria dalam arus perdana hanya dapat dikira dengan jari sahaja. Antara penggiat seni yang masih bergiat aktif dalam persembahan boria termasuklah Omar bin M. Hashim, atau lebih dikenali sebagai OMARA, yang telah dianugerahkan sebagai Tokoh Seni Budaya Negeri Pulau Pinang pada tahun 2016 oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Punca kekurangan ini berlaku kerana generasi pada masa ini tidak lagi menerima pendedahan awal serta minat untuk berkecimpung dalam boria. Oleh sebab itu, OMARA cuba mempromosikan kembali Boria Pulau Pinang dalam media sosial seperti Facebook, Tiktok dan bergiat aktif dalam saluran YouTube.

Sebagai kesimpulannya, boria sepatutnya mendapat tempat yang setanding dengan persembahan tradisional lain seperti mak yong, dikir barat dan lain-lain lagi. Sememangnya persembahan ini tidak berasal daripada gugusan Nusantara dan dibawa masuk oleh pedagang dari India. Walaupun begitu, percampuran budaya asing dan asimilasi dengan budaya dan ragam tempatan menjadikan persembahan ini mempunyai nilainya yang tersendiri.

Pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk mengangkat kembali seni persembahan boria ke mata masyarakat tidak hanya di Pulau Pinang, tetapi diseluruh pelusuk tanah air. Usaha ni tidak sewajarnya dibebankan kepada bahu penggiat seni dan pihak penyiaran semata-mata, tetapi tanggungjawab kita bersama agar seni persembahan ini tidak hanya tinggal kenangan dalam muzium dan galeri semata-mata.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.