24 September 2024, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Para atlet Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) yang terdiri daripada mahasiswa Persatuan Tekwando ITF telah menyertai kejohanan MGTF Taekwon-Do Invitational Open Championship 2024 di Convention Hall, Freeport A’Famosa Outlet, Alor Gajah, Melaka.

Dalam kejohanan yang dianjurkan bersempena Hari Malaysia 2024 ini, kontinjen UiTM Cawangan Perlis berjaya membawa pulang dua pingat emas, empat pingat perak dan tujuh pingat gangsa.

Bagi kategori Sparring, pingat emas berjaya diperoleh menerusi Tengku Ahmad Faiz Tengku Shamsul Arjunaidi dan Abdul Mun’im Ab Razak, manakala pingat perak diperoleh menerusi Wan Farah Sofea Wan Saiful Bahri, Noor Haira Affina Noor Haizal, dan Muhammad Haziq Qayum Sharul Anuar.

Pingat gangsa pula berjaya diperoleh menerusi Nurfatina Zamri, Asyrofil Mujahid Amir dan ⁠⁠Anis Nazirah Che Gahazali.

Para atlet tekwando UiTM Cawangan Perlis di Kejohanan MGTF Taekwon-Do Invitational Open Championship 2024 di Convention Hall, Freeport A’Famosa Outlet, Alor Gajah, Melaka.

Bagi kategori Pattern pula, pingat perak berjaya digondol oleh Abdul Mun’im Ab Razak manakala pingat gangsa pula diperoleh daripada Tengku Ahmad Faiz Tengku Shamsul Arjunaidi, Asyrofil Mujahid Amir, Muhammad Haziq Qayum Sharul Anuar dan Anis Nazirah Che Gahazali.

Tengku Ahmad Faiz Tengku Shamsul Arjunaidi berkata penyertaan beliau dalam kejohanan ini menyemarakkan semangat kesukanan dan memupuk elemen kebersamaan antara ahli pasukan.

“Saya lihat kedua-dua aspek ini adalah penting dalam memastikan rakan-rakan berada dalam keadaan tenang dan kekal fokus terhadap sasaran pingat dalam kategori yang dipertandingkan pada kejohanan ini.”

“Penglibatan dalam kejohanan kali ini juga memberi peluang kepada saya untuk menuai pengalaman berharga, meningkatkan disiplin dan kemahiran insaniah serta merapatkan ukuwah bersama ahli pasukan,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Abdul Mun’im Ab Razak berasa bangga dan terharu kerana dapat mengharumkan nama UiTM di kejohanan berprestij ini.

“Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi kerana masih diberi peluang dan kesempatan untuk menyertai kejohanan peringkat nasional ini.”

“Selain merapatkan hubungan silaturahim bersama-sama para atlet dari negeri lain, saya juga mengutip pengalaman sebagai jurulatih ketika pasukan ini tidak mempunyai jurulatih,” tambah beliau.

Penasihat Persatuan Tekwando ITF UiTM Cawangan Perlis, Gs. Sharir Aizat Kamaruddin mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada para atlet dan jurulatih, Mohd Firdaus Razali.

“Kejayaan yang membanggakan ini terus meningkatkan ketampakan UiTM dalam arena seni mempertahankan diri tekwando dan memperkasakan kemahiran insaniah dalam usaha membentuk keperibadian mahasiswa UiTM kelas pertama,” kata beliau.

“Penglibatan mahasiswa juga menyokong proses pengembangan bakat luar akademik dan mengilap kemahiran kepimpinan sejajar saranan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengenal pasti Bakat Terbaik Negara dalam kalangan mahasiswa,” tambah beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.