Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perubahan gaya hidup dan kemajuan teknologi komunikasi dan penyiaran telah menyebabkan pelbagai elemen kehidupan manusia berubah. Perkara ini memberikan cabaran kepada para pelajar institut pengajian tinggi dan pengamal dalam industri media, penyiaran dan pendidikan.
Menyedari tentang cabaran tersebut, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil pendekatan proaktif menganjurkan Forum Industri Media dan Pendidikan ASEAN (AMIEF2024) di Auditorium Canselori UniMAP (Kangar, Perlis) pada 21 Oktober 2024.
Ketua Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin menegaskan AMIEF 2024 merupakan pelantar strategik untuk mengukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN dan memberikan pendedahan penting kepada para pelajar, pengamal industri dan kakitangan awam mengenai gaya popular dan keperluan masa hadapan industri media dan penyiaran.
“AMIEF 2024 yang kali pertama dianjurkan ini dapat memberikan pemahaman mendalam tentang keperluan kerjaya dalam industri media dan penyiaran di peringkat ASEAN yang dapat menyediakan landasan untuk memperkukuh kolaborasi antara pengamal industri media penyiaran dengan para pelajar universiti.
Hasil pembentangan dan perbincangan ini dapat membuka ruang dan membantu pihak universiti dan para pelajar memahami keperluan industri media dan penyiaran dalam negara ASEAN.
Kolaborasi pelbagai pihak dalam industri media penyiaran dengan bidang pendidikan ialah kunci pembangunan tenaga kerja yang berdaya saing dan inovatif kerana dapat membantu menyediakan pelajar dan pengamal media untuk bersaing dan memimpin dalam dunia media yang semakin dinamik.
Forum ini membuktikan bahawa dengan kerjasama yang baik, kita boleh mencapai penyelesaian yang berkesan dalam menghadapi cabaran media masa depan dan membina hubungan yang lebih erat antara sektor akademik dengan industri media penyiaran di rantau ASEAN,” tegas Roslan lagi.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Ir. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid berkata, AMIEF 2024 memberikan peluang kepada negara-negara ASEAN untuk berkongsi amalan terbaik mengenai kurikulum pendidikan dalam bidang media dan teknologi digital.
Setiap negara mempunyai konteks pendidikan yang berbeza, namun cabaran globalisasi, digitalisasi dan perkembangan teknologi media memerlukan pendekatan yang lebih seragam di seluruh ASEAN.
“Forum ini boleh menjadi medan untuk memperkenalkan dan memperbaiki kurikulum yang relevan, termasuk kemahiran media digital, kewartawanan dan etika digital untuk membina generasi media yang berpengetahuan.
Pendidikan bukan sahaja memainkan peranan penting bagi melatih tenaga kerja masa depan malah membentuk minda kritikal, inovatif dan kreatif yang diperlukan untuk berjaya dalam era digital ini.
Melalui perkongsian dan perbincangan seumpama ini, negara-negara ASEAN boleh merangka kurikulum yang lebih inklusif, inovatif dan diselaraskan dengan keperluan industri semasa. Ini akan membantu institusi pengajian tinggi menghasilkan graduan yang mampu memenuhi permintaan pasaran kerja dalam industri media dan teknologi yang kian kompetitif di rantau ini,” tambah Mohd Syukry.

AMIEF 2024 menyaksikan penyertaan 300 orang peserta yang terdiri daripada pelajar universiti, pemain industri media penyiaran dan kakitangan awam-universiti. Forum ini memberikan ruang perbincangan yang mendalam mengenai isu seperti perubahan landskap digital, kepentingan pendidikan media dan keperluan untuk meningkatkan tenaga mahir dalam industri tersebut yang semakin kompleks.
Forum ini menampilkan dua sesi panel utama yang membincangkan “Cabaran dan Harapan Media Masa Depan” dan “Merapatkan Jurang Perbezaan dalam Industri Media”. Pakar-pakar media-penyiaran dari rantau ASEAN seperti Dr. Rudianto M. Si dari Universiti Muhammadiyah (Indonesia), Dr. Attanan Tachopisalwong dari Universiti Walailak (Thailand) dan Ahmad Saifullizam Arshad, wakil industri media dari Malaysia, akan berkongsi pandangan dan pengalaman serta perspektif masing-masing.
Bagi Dr. Rudianto M. Si beliau melihat landskap media penyiaran kini telah mengalami transformasi yang amat besar dengan kemunculan teknologi digital berasaskan dalam talian yang telah merevolusikan cara berita dihasilkan dan disampaikan.
“Kewujudan pelantar media sosial, telefon pintar dan teknologi dalam talian telah membawa cabaran dan peluang baharu kepada syarikat media dan wartawan. Pada era digital ini, elemen kewartawanan tidak lagi terhad kepada media cetak atau siaran berita TV dan radio (konvensional), sebaliknya kini kewartawanan digital membolehkan pengintegrasian pelbagai medium seperti video, audio siar, infografik dan elemen interaktif dalam penyampaian berita.
Kepentingan kewartawanan data dalam era maklumat yang tidak terhad yang menyaksikan wartawan perlu memiliki kemahiran dalam menganalisis dan memaparkan data bagi menyampaikan cerita atau berita yang lebih mendalam dan bermaklumat,” ujar Dr. Rudianto.
Manakala Dr. Attanan Tachopisalwong pula menegaskan dalam era media digital, pola penggunaan media telah berubah dengan amat ketara berbanding dengan penggunaan teknologi analog.
“Teknologi dan industri komunikasi yang berkembang pesat telah mengubah norma masyarakat atau khalayak berkomunikasi yang melibatkan sekatan geografi dan masa. Khalayak menggunakan media sosial dan mencipta kandungan agar mudah diakses namun pada masa yang sama terdapat pengabaian yang menyedihkan terhadap fakta dan maklumat yang dikongsikan.
Secara langsung dan tidak langsung berlakunya penyebaran maklumat palsu yang menyebabkan pelbagai impak negatif dalam semua elemen kehidupan manusia. Selain itu, pengguna berita masa kini sering meletakkan kepercayaan yang lebih besar kepada individu di luar media konvensional seperti pempengaruh yang mempunyai pengaruh signifikan terhadap persepsi awam. Oleh itu, media arus perdana wajar tangkas dan fleksibel selari dengan perkembangan media sosial,” terang Dr. Attanan.
Ahmad Saifullizam Arshad, wakil industri media Malaysia pula menekankan bahawa fokus utama setiap pemain industri media penyiaran haruslah kepada penyelesaian, bukan pada masalah.
“Untuk kekal relevan, semua pemain industri ini harus terus belajar dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi komunikasi yang berubah amat pantas.
Kita perlu mengambil pendekatan yang kreatif dan mesti berani mengambil risiko serta tidak takut untuk melakukan kesilapan. Hanya dengan pendekatan ini kita boleh terus menghasilkan idea yang inovatif dan berdaya saing,” jelas Ahmad Saifullizam yang merupakan penerbit Anugerah Juara Lagu, TV3 (Media Prima).
Melalui forum ini juga, beberapa penyelesaian dan cadangan turut dikemukakan, antaranya adalah keperluan untuk universiti di rantau ASEAN memperkasakan kurikulum pendidikan media agar lebih sejajar dengan keperluan industri. Usaha ini penting bagi memastikan pelajar yang bakal tamat pengajian mempunyai kemahiran relevan yang boleh terus diaplikasikan dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif dan dipacu teknologi.
AMIEF2024 menjadi penanda aras baharu dalam usaha memperkukuh industri media di ASEAN, dengan IPPTAR dan UniMAP memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada perubahan positif ini. Hasil forum ini diharap dapat memberikan impak yang berterusan, bukan sahaja kepada peserta, tetapi juga kepada industri media ASEAN secara keseluruhan.