Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan Program Semarak Kenegaraan Sekretariat Rukun Negara dan Pemerkasaan Adiwangsa UiTM Cawangan Perlis Bersama Komuniti pada pagi tadi.
Program yang berlangsung di UiTM Cawangan Perlis ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta, termasuk Sekretariat Rukun Negara dari UiTM Cawangan Perlis, Universiti Utara Malaysia (UUM), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, serta komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Alor Lanchang.
Gimik perlepasan program telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis, YBrs Puan Hanita Ahmad, di Dataran Kompleks STAR UiTM.
Dalam ucapan beliau, YBrs Puan Hanita menekankan kepentingan program ini dalam menyemai semangat perpaduan serta mengukuhkan hubungan antara kaum selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
“Penganjuran program ini mampu meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum tentang pentingnya perpaduan dan integrasi nasional demi membentuk negara yang harmoni, sejahtera dan stabil,” ujar beliau.
Majlis perasmian penutupan program telah dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM, YBhg Profesor Dr. Amer Shakir Zainol, yang menyifatkan kolaborasi antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan sebagai usaha penting untuk memperkasa generasi muda dan menyemarakkan semangat cintakan negara.
“Prinsip Rukun Negara yang kita hayati bersama adalah asas kepada keharmonian dan perpaduan. Melalui program seperti ini, kita dapat memastikan nilai-nilai ini terus disemai dalam masyarakat,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pemerkasaan Adiwangsa UiTM bertujuan melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti serta memiliki jati diri yang tinggi untuk membina negara yang bersatu dan harmoni.
Antara subprogram yang dianjurkan ialah Jejak Rukun Negara, Cross Culture Sharing Session, Permainan Tradisional, Program Cakap Baik-baik serta pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan Uniti Plogging Bersama Komuniti. Program turut diserikan dengan aktiviti Sumbangan Bakul Rahmah sebagai tanda solidariti bersama komuniti setempat.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim; Penaung Program, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi; Pengarah Program, YBrs. Encik Ahmad Muaz Mahzair; Pengerusi KRT Alor Lanchang, YBrs. Encik Roshidi Rahman serta barisan pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis dan pegawai badan bukan kerajaan.