Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Teater Di Sebalik Topeng arahan pengarah berbakat, Zainorhisyam Samudin yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkisarkan isu kesihatan mental yang dialami oleh seorang wanita setelah kematian suaminya dan perlu menghadapi cabaran hidup dalam kalangan masyarakat.
Ikon seni tanah air terkenal, Fauziah Dato’ Ahmad Daud atau lebih mesra dipanggil Ogy memaklumkan bahawa teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai satu wadah untuk seseorang itu merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup.
Menurut beliau, setiap watak dalam teater ini melambangkan topeng yang dipakai oleh manusia untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang dialami.
Ujar beliau,
Saya berharap teater ini dapat menyedarkan masyarakat tentang kesan ujian yang ditinggalkan yang mengakibatkan semangat atau jiwa seseorang itu hilang.
Selain menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan untuk menyingkap kisah setiap watak yang penuh dengan adegan rahsia, teater ini juga menekankan kepentingan dalam mencari bantuan dan memahami bahawa kesakitan emosi adalah sebahagian daripada kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.
Tambah beliau,
Masyarakat masih canggung dan kurang memahami kepentingan merawat masalah ini. Masyarakat sering menyebut “Aku sihat, aku tidak sakit”, namun sebenarnya mereka tidak menyedari bahawa diri mereka perlu dirawat.
Sementara itu, Zainorhisyam Samudin menyatakan bahawa teater ini merupakan sebuah eksperimen kepada situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan.
Jelas beliau,
Dalam teater ini, kami mempersembahkan pelbagai latar kehidupan yang menyebabkan gangguan mental, termasuklah sosok narsistik, penagih dadah, penipu, wanita yang dihina dan dikecam, pemerdagangan manusia dan mangsa penderaan.
Katanya, pementasan ini juga dapat membuka mata masyarakat mengenai kepentingan sokongan emosi.
Teater yang sarat dengan emosi dan pengajaran ini dilakonkan oleh Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omard.
Turut hadir menyaksikan pementasan teater berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato Shaharuddin Abu Sohot dan Timbalan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, Encik Shahrrul Rizal Hashim.