Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Pada 25 Oktober dan 26 Oktober 2024 telah berlangsung pementasan teater Asy Syura di Auditorium Jabatan Kebudayaan Kesenian Negera (JKKN) Perlis. Teater Asy Syura merupakan karya agung Tan Sri Johan Jaafar.
Antara barisan pelakon yang terlibat ialah Fendy Bakry, Yaakob Aziz, Hairi Safwan, Hanan, Gee Makbol, Aninda Nurtedja, Iswani, Chekmat, Bella, Shahida dan Hafedz.
Rata-rata pelakon berpengalaman luas dalam pementasan teater. Oleh hal yang demikian, tidak menghairankan apabila persembahan dan permainan lakonan mereka nampak bersahaja serta meruntun jiwa sehingga berjaya membuatkan penonton hanyut dengan emosi pelakon.
Mutu lakonan pelakon berjaya menyakinkan penonton bahawa mereka sedang menyaksikan kisah pergolakan yang berlaku dalam sebuah keluarga yang berpunca daripada tanah pusaka peninggalan arwah bapa.
Pelakon telah membuat kajian yang teliti tentang watak yang dibawa untuk membina perwatakan dan psikologi watak supaya penonton dapat melihat warna yang berbeza di atas pentas. Hal tersebut adalah penting kerana peranan pelakon sangat besar bagi memastikan watak yang dibawa berkesan supaya penonton tidak jemu untuk mengikuti kisah yang dipaparkan dari mula hingga akhir.
Sememangnya sangat sukar untuk mementaskan naskhah yang berat tanpa latihan yang cukup, namun produksi berjaya membuktikan bahawa karya agung ini masih mendapat tempat di hati masyarakat Perlis.
Program Karya Agung merupakan satu daripada inisiatif Belanjawan 2024 yang diperkenalkan kerajaan bagi mengangkat karya-karya yang diiktiraf pada peringkat negeri dan negara.
Kira-kira 700 orang penonton memenuhi ruang Auditorium JKKN Perlis untuk menyaksikan pementasan teater Asy Syura. Fenomena ini menjadi bukti bahawa rakyat Perlis masih mencintai pementasan teater dan sentiasa menantikan persembahan karya-karya hebat yang ada.
Justeru, hal tersebut menjadi isyarat bahawa karyawan seni di Perlis perlu lebih agresif mengangkat naskhah teater yang berkualiti supaya kegiatan berkaitan teater dapat disemarakkan dan kekal relevan.