Oleh Putraery Ussin
7 November 2024, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Program Dialog Puncak 2024 yang baru sahaja melabuhkan tirai telah memfokuskan kepada budaya bercerita dan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Dalam memperkatakan tentang hal tersebut, Prof. Madya Dr. Mohd. Kasri Saidon dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diundang dengan memperihalkan “Cerita Warisan dan Sosial Orang Kedah.”

Dalam ceramahnya, beliau menekankan pentingnya budaya bercerita dalam masyarakat.

Hal ini dilihat sebagai cara untuk memelihara dan meneruskan tradisi, seterusnya boleh mempengaruhi minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

“Budaya bercerita adalah medium penting dalam menyampaikan warisan dan nilai sosial bangsa serta agama kita.”

Melalui penceritaan juga, beliau menyatakan interaksi akan terjalin, oleh itu bukan sahaja berhibur akan tetapi menerapkan didikan sekali gus dapat menyambung kisah kepada generasi akan datang.

Mengakhiri ucapannya, beliau berharap generasi terutamanya golongan remaja meneruskan amalan membaca sepanjang hayat agar dapat mengutip seberapa banyak ilmu dan dapat diaplikasikan kepada semua perkara.

Sebelum itu, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), En. Armin Azhari telah menyentuh tentang keperluan untuk membangunkan budaya membaca yang lebih kukuh di Malaysia.

“Buku adalah jendela ilmu, dengan membaca, kita dapat meluaskan pemahaman dan menambah pengetahuan yang amat penting dalam dunia yang semakin kompleks ini,” ujarnya.

Seterusnya beliau merasmikan majlis dan melancarkan beberapa buah buku hasil tangan ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

Program tahunan Dialog Puncak ini merupakan anjuran ASASI dengan kerjasama DBPWU bukan sahaja menjadi platform kepada para penulis dan pencinta sastera untuk berkongsi idea dan karya.

Malah memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang berbudaya ilmu dan cintakan pengetahuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.