Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKulim – Pertandingan mendeklamasi sajak sempena UniKL ARTS Festival 2024 di Universiti Kuala Lumpur Malaysia Spain Institute (UniKL MSI), berlangsung dengan penuh kemeriahan dan kreativiti.
Acara ini menampilkan 12 peserta berbakat yang berentap mewakili semua cawangan UniKL di seluruh negara untuk merebut gelaran juara melalui penghayatan keindahan seni, budaya dan berbahasa.
Pertandingan ini diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Encik Zainal Abidin Mohd Zin, Pegawai Perancang Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara; Dr. Husairi Hussin, pensyarah kesusasteraan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia; bersama Puan Nor Hayati Haya, seorang penulis kreatif.
Menurut pengerusi penganjur Dr. Afifah Abd Rahim, pertandingan ini bertujuan untuk memperkasakan budaya dan sastera di samping mendekatkan generasi muda dengan keindahan berbahasa melalui sajak.
“Kami ingin memberi peluang kepada pelajar untuk menyampaikan mesej dan emosi melalui karya seni, di samping memartabatkan seni sastera di peringkat universiti,” katanya.
Acara sebegini bukan sahaja menjadi pentas untuk menonjolkan bakat, malah membuka peluang besar kepada generasi muda di UniKL yang terkenal dengan bidang sains dan teknikal untuk mengembangkan potensi mereka dalam bidang sastera dan seni persembahan.
Dengan menyertai sayembara seperti ini, pelajar berpeluang memupuk keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan daya kreativiti iaitu elemen yang sangat berharga dalam dunia kerjaya dan kehidupan sosial.
Menurut Puan Noor Hayati Haya pertandingan sebegini adalah medan terbaik untuk mahasiswa meneroka kemampuan diri.
“Deklamasi sajak bukan hanya tentang menyampaikan bait-bait indah tetapi juga mengenai kemampuan seseorang itu memimpin khalayak memahami emosi dan mesej yang ingin disampaikan”
“Kemahiran ini sangat bernilai terutamanya untuk generasi muda yang bakal mendepani negara pada masa depan. Kita mahu mereka meneruskan akar budaya kita.” ujarnya.
Peserta-peserta mempersembahkan pelbagai tema menarik seperti cinta akan tanah air, keindahan alam dan kemanusiaan.
Peserta dari UniKL MSI, Siti Asma’ Ishak muncul sebagai johan. Tempat kedua peserta dari UniKL MIAT Tengku Arash Daniel dan tempat ketiga dari UniKL RCMP; Norislah Mohd Basri. Program sebegini terus menjadi platform unggul dalam memupuk bakat mahasiswa dan menggalakkan perkembangan bahasa melalui aktiviti seni dan budaya.