2 Disember 2024, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gelugor – Wacana Gambus Alat Muzik Melayu Tradisional: Sejarah dan Fungsinya membuka tirai Fiesta Ghazal Nusantara yang berlangsung mulai 30 November 2024 hingga 1 Disember 2024.

Fiesta anjuran Persatuan Karyawan Pulau Pinang dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Pejabat Exco Kebudayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini telah dilaksanakan di Auditorium Recsam, Gelugor, Pulau Pinang.

Wacana tersebut menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ghouse Nasaruddin dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Profesor Madya Dr. Kamaruzaman Mohammad Karim, Timbalan Dekan Fakulti Muzik dan Persembahan Seni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta dikendalikan oleh Dato Dr. Sohaimi Abdul Aziz sebagai pemudah cara.

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ghouse Nasaruddin (kiri), Dato Dr. Sohaimi Abdul Aziz (tengah), dan Profesor Madya Dr. Kamaruzaman Mohammad Karim dalam Wacana Gambus Alat Muzik Melayu Tradisional: Sejarah dan Fungsinya.

Wacana membincangkan perihal sejarah dan peranan gambus dalam seni tradisional Melayu, sekali gus meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap warisan budaya.

Fiesta Ghazal Nusantara 2024 berjaya memikat khalayak dengan persembahan petikan gambus dan keunikan muzik ghazal.

Pemain gambus terkenal, Abdullah Abdul Hamid daripada kumpulan ghazal Parti Omara memulakan persembahan dengan petikan gambus yang memukau dan diikuti persembahan oleh Jimah Chin yang lebih dikenali sebagai Putih Hashim dari Parit Buntar, Perak. Beliau yang mula bermain gambus sejak berusia 12 tahun merupakan satu-satunya pemain gambus wanita dalam acara ini.

Persembahan diteruskan dengan petikan indah oleh Zakaria Hashim dari Kedah, seorang pemain gambus berpengalaman yang aktif dengan kumpulan ghazal.

Lebih menarik, acara ini turut diserikan dengan penampilan pemain gambus khas dari Pulau Penyengat, Riau, Indonesia, iaitu Tommy Mabrur. Beliau menghiburkan penonton dengan lagu Zapin Penyengat yang memperlihatkan keunikan muzik tradisional yang kaya dengan elemen seni dan budaya Nusantara.

Peserta Wacana Gambus Alat Muzik Melayu Tradisional: Sejarah dan Fungsinya bergambar kenang-kenangan dengan para panel dan pemain gambus.

Penganjuran program ini mengukuhkan kedudukan Fiesta Ghazal Nusantara sebagai platform untuk melestarikan seni tradisional selain memberikan kefahaman dan apresiasi terhadap seni ghazal serta alat muzik tradisional gambus yang sinonim dengan identiti budaya Melayu.

Fiesta Ghazal Nusantara 2024 bukan sahaja meraikan warisan seni muzik tetapi juga menjadi medan untuk menghubungkan generasi lama dengan generasi baharu dalam usaha melestarikan tradisi dan budaya Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.