Diterbitkan pada 2 Disember 2024, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Phnom Penh (Kemboja) – Jawatankuasa Kebudayaan dan Penerangan ASEAN (ASEAN-COCI) kali ke-59 sebulat suara meluluskan permohonan Kementerian Komunikasi Malaysia bagi dana tiga Projek Sektor Budaya dan Komunikasi bernilai RM520,000 melalui tiga agensi di bawah kementerian tersebut.

Tiga agensi tersebut ialah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Delegasi Malaysia yang menghadiri mesyuarat tersebut di ketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha-Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengarah IPPTAR, Roslan AriffinKetua; Setiausaha Bahagian, Perhubungan Antarabangsa Kementerian Kebudayaan Dr. Christina Yeo Ken Yin dan beberapa orang pegawai lain.

“Saya sangat bersyukur kerana jawatankuasa yang bersidang kali ini menyambut baik pembentangan tiga kertas kerja projek utama oleh pihak IPPTAR, SKMM dan RTM. Ketiga-tiga kertas kerja ini dapat memberikan dimensi dan kerjasama yang lebih baik bersempena dengan kepengerusian ASEAN di Malaysia selaku tuan rumah pada tahun 2025.

Malaysia perlu lebih proaktif dalam memastikan program yang dirancang dapat memberikan impak positif kepada pemain industri media, penyiaran dan kebudayaan. Pembangunan modul latihan yang komprehensif dalam usaha menangani penyebaran berita palsu secara holistik dapat dibangunkan untuk kesejahteraan negara khasnya dan ASEAN amnya,” jelas Nik Kamaruzaman.

Sementara itu, Ketua Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin berkata, pihaknya amat menyambut baik pendirian positif jawatankuasa ASEAN-COCI yang bersidang di Hotel Sunway Phnom Penh.

“IPPTAR sebagai pusat sehenti latihan dalam bidang penyiaran dan komunikasi, saya mencadangkan kertas kerja bertajuk “Seminar Pembangunan Modul Latihan Memerangi Berita Palsu ASEAN 2025 (KLACFN 2025) dengan anggaran kos berjumlah RM210,000 (USD47,061). Penganjuran seminar seumpama ini penting agar pemain dalam industri media dan penyiaran semua negara anggota ASEAN mendapat manfaat dan dapat menghasilkan modul yang boleh diguna pakai oleh semua pihak.

Seminar yang bakal diadakan ini membabitkan pegawai latihan kepada pengamal media ASEAN yang dijadualkan akan diadakan pada bulan Oktober 2025. Seminar empat hari ini akan berlangsung di Lembah Klang bakal melibatkan 200 orang peserta terdiri daripada pegawai-pegawai latihan komunikasi dan media ASEAN khususnya peserta dari Malaysia. Seminar ini bertujuan menyediakan satu modul latihan yang komprehensif bagi mengurus berita palsu yang boleh memudaratkan negara anggota ASEAN,” tegas Roslan.

Selain IPPTAR, SKMM pula membentangkan kertas kerja bertajuk “Panduan Keselamatan dan Tanggungjawab Penggunaan Media Sosial untuk ASEAN” dengan kos RM178, 000 (USD39,879), manakala RTM pula membentangkan kertas kerja bertajuk “Colour of ASEAN” (Siri 3) dengan kos sebanyak RM133,000 (USD30,000). Kos keseluruhan bagi ketiga-tiga projek ini ialah RM520,000.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi