3 Disember 2024, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Filem aksi Venom: The Last Dance telah mencuri perhatian para pelayar dalam media sosial, baru-baru ini. Hal ini disebabkan poster tersebut menggunakan motif seni batik Malaysia. Kesan poster tersebut menyebabkan syarikat Sony Pictures Malaysia telah dipuji oleh netizen yang menatapnya. Sony Pictures telah mengumumkan bahawa poster tersebut dihasilkan oleh Arif Rafhan.

Beliau telah melukiskan sebuah karya gabungan antara watak terkenal Marvel; Venom dan seni batik Malaysia. Lukisan Venom: The Last Dance yang menggabungkan budaya popular dan warisan tempatan telah mendapat pujian ramai, malah dipuji oleh Pengarah Urusan Sony Pictures Entertainment Malaysia.

Kolaborasi julung-julung kali antara Sony Pictures Malaysia dan Arif Rafhan membuktikan bahawa usaha yang berterusan amat digalakkan bagi merapatkan jurang dunia luar dengan seni budaya tempatan. Lukisan yang memukau ini telah dipaparkan di pelbagai platform media sosial termasuklah pawagam sehingga membuatkan seni batik dikenali dalam dunia digital.

Umum mengetahui, seni batik merupakan satu daripada warisan negara yang perlu dipelihara supaya tidak hilang ditelan zaman. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan seni batik ini berkembang selaras dengan arus pemodenan. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah mengisytiharkan 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia. Pada tarikh tersebut, rakyat Malaysia digalakkan untuk memakai busana yang bermotifkan corak batik.

Hari Batik Malaysia ini dapat membantu para usahawan dan komuniti kraf tangan Malaysia untuk menghasilkan pelbagai produk yang berunsurkan seni batik bagi kegunaan harian. Selain itu, teknik dalam penghasilan batik dan penggunaan elemen baharu juga dapat dikembangkan agar industri seni batik mempunyai potensi untuk bersaing pada masa hadapan.

Kepelbagaian ini dapat menarik perhatian orang ramai tidak kira dalam atau luar negara untuk mencuba batik tempatan yang mempunyai kualiti unggul setanding produk antarabangsa. Pengisytiharan Hari Batik Malaysia juga menyumbang kepada kelahiran pelukis-pelukis batik dan usahawan yang berjiwa kreatif dan inovatif.

Mereka dapat menggunakan peluang ini untuk mempromosikan batik Malaysia di persada dunia melalui sentuhan moden dan penggunaan teknologi terkini. Permintaan bagi produk batik juga akan meningkat dan memberi kesan positif kepada pendapatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam penghasilan batik. Hari Batik Malaysia merupakan satu daripada bukti yang menunjukkan usaha kerajaan dalam memelihara warisan karya seni batik, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Di samping itu, kempen “Ini Batik Malaysia” juga merupakan inisiatif dalam mengembangkan seni batik tempatan. Hal ini dikatakan demikian kerana kempen ini telah membantu dalam meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan masyarakat mengenai karya seni batik warisan Malaysia.

Media massa merupakan sebuah platform untuk meraih publisiti dan memperluaskan hebahan mengenai kempen tersebut. Usaha ini sesuai digunakan selaras dengan perkembangan teknologi. Oleh itu, kempen ”Ini Batik Malaysia” mendapat sambutan yang hangat oleh seluruh rakyat Malaysia tidak kira peringkat umur.

Natijahnya, pembuatan batik dalam era digital memberi peluang yang luas supaya seni tradisional dapat dikembangkan tanpa mencemarkan identiti dan nilai karya seni tersebut. Penggunaan teknologi telah membuka jalan baru dalam penghasilan batik yang kaya dengan elemen inovatif dan relevan dengan zaman.

Sentuhan inovasi ini mampu menjadikan batik bukan sahaja diterima oleh masyarakat tempatan malah di pasaran global. Oleh itu, gabungan tradisi dan teknologi mampu memastikan batik berkembang dan dihargai oleh generasi baru.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.