Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPusat Manuskrip Kebangsaan (PMK) di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ditubuhkan pada tahun 1985. Fungsi utamanya adalah menghimpunkan manuskrip Melayu lama dan menyediakan akses kepada sumber untuk kajian manuskrip Melayu lama. Setakat ini 5,205 manuskrip teks asal telah terhimpun dan 2,700 manuskrip dari pelbagai tempat sedunia telah didigitalkan.
Sumbangan itu cukup bermakna, tetapi saya menyarankan PNM agar menambah fungsi pusat itu. Selain sebagai pusat repositari, PMK PNM patut menjadi pusat penyelidikan bagi analisis kandungan manuskrip lama yang kaya dengan pelbagai bidang ilmu watan seperti historiografi, agama, ketatanegaraan, undang-undang, perubatan, teknologi, seni bina, astronomi, adat dan pelbagai genre susatera (prosa dan puisi).
Sejumlah manuskrip Melayu lama telah diiktiraf sebagai warisan dunia dalam kategori “Memory of the World Register” oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO), seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Kitab Bedil, Surat-surat Sultan Abdul Hamid Kedah, pantun dan yang terbaharu pada tahun 2024 ialah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Surat-surat Diraja Baginda Omar (Terengganu). Koleksi Kitab Tib atau perubatan pula telah dicalonkan untuk pengiktirafan yang sama oleh UNESCO.
Namun begitu, setakat ini hanya 19 buah manuskrip Melayu lama yang dikerjakan oleh PMK PNM dengan kerjasama mualim tamu dan sarjana lain yang dilantik. Jika dicampur dengan 32 buah karya agung yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan Malaysia, sekitar 30 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan beberapa terbitan pihak lain seperti Yayasan Fatoni, negara kita baru berjaya mengetengahkan tidak sampai 100 teks warisan persuratan yang bernilai tinggi dalam konteks keilmuan dan kesusasteraan.
Angka itu tentu amat kecil, berbanding dengan jumlah lebih 5,000 manuskrip yang terhimpun di PMK PNM, dan belum lagi diperhitungkan lebih 20,000 manuskrip Melayu lama yang bertebaran di seluruh dunia, dengan jumlah terbesar tersimpan di Universiti Leiden, Belanda.
Kerajaan, khasnya Kementerian Perpaduan Negara yang bertanggungjawab kepada PNM perlu menjadikan usaha penyelidikan manuskrip Melayu lama sebagai agenda negara untuk mengangkat ilmu dan sastera yang mewakili “kearifan setempat” ke peringkat antarabangsa.
Program itu perlu bermula dengan program pelatihan mentransliterasi teks dalam Jawi klasik kepada Rumi atau Jawi baharu, pengeditan dan analisis kandungan manuskrip berdasarkan disiplin dan kaedah filologi, sebelum diolah menjadi karya agung, karya adaptasi, karya edisi ringkas dan lain-lain (termasuklah animasi, komik, skrip teater atau filem), untuk memenuhi khalayak khusus, termasuklah pembaca umum, remaja dan kanak-kanak, selain golongan sarjana.
Kos untuk memenuhi fungsi baharu atau tambahan itu pasti besar. Maka kerajaan perlu memberikan peruntukan yang cukup bagi menjayakan program mengangkat manuskrip Melayu lama itu. PMK PNM perlu dilantik menjadi penyelaras program untuk bersinergi dengan badan-badan pemegang kepentingan yang lain seperti DBP, Yayasan Karyawan Malaysia, institusi pendidikan tinggi yang berkaitan dan lain-lain. Sinergi itu dapat membentuk perkongsian kepakaran, penyelarasan tugas dan juga perkongsian kewangan, selain dana khas daripada kerajaan.
Perlu diunjurkan jumlah manuskrip yang perlu dikerjakan menurut tahun, dengan pelibatan ahli-ahli bidang bahasa, sastera, budaya, sejarah, agama, sains, perubatan, teknologi, seni bina dan lain-lain. Sebagai contoh, dalam tempoh lima tahun wajar diterbitkan 50 buah karya manuskrip Melayu lama yang meliputi bidang-bidang ilmu dan kesusasteraan yang telah saya sebut lebih awal.
Penyebaran karya-karya itu amat bermakna sebagai sumbangan negara kepada pemerkayaan ilmu dan persuratan watan untuk negara dan juga untuk dihayati pada peringkat antarabangsa. Hal itu juga merupakan sumbangan negara dan tamadun Asia dalam proses globalisasi seimbang, yang setakat ini lebih bersifat globalisasi Barat ke Timur.
Kepentingan manuskrip Melayu lama telah saya bahaskan sewaktu Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025.
_________________________
Senator Datuk Seri Awang bin Sariyan merupakan Ahli Dewan Negara, mantan Ketua Pengarah DBP dan mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.